Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes ubah wang haram $3b: Peguam didakwa palsu dokumen pembelian hartanah
Kes ubah wang haram $3b: Peguam didakwa palsu dokumen pembelian hartanah
Kes ubah wang haram $3b: Peguam didakwa palsu dokumen pembelian hartanah
Seorang peguam pindah milik hartanah didakwa atas tuduhan pemalsuan dokumen pada 16 Julai.
Dokumen mahkamah mengaitkan tindakannya dengan sekutu kepada salah seorang daripada 10 warga asing yang disabitkan dalam satu kes pengubahan wang haram melibatkan $3 bilion.
Chan I-Fei Julia, 61 tahun, didakwa bersubahat dengan Lim Lai Hong untuk membuat dokumen palsu yang ditandatangani oleh Chen Lingling sekitar 14 Disember 2023.
Dokumen tersebut berkaitan dengan pembelian hartanah oleh Chen di South Beach Residences di 28 Beach Road.
Bagaimanapun, dokumen mahkamah tidak memberi sebarang maklumat mengenai Lim dan Chen.
Semakan oleh The Straits Times (ST) menunjukkan Chen sebelum ini dikenal pasti oleh pihak berkuasa sebagai salah seorang sekutu kepada 10 warga asing yang disabitkan dalam kes pengubahan wang haram berkenaan.
Dia dinamakan sebagai pemegang saham dalam beberapa firma yang memiliki hartanah komersial, termasuk sebuah rumah kedai empat tingkat di North Bridge Road, yang mencecah nilai $42 juta dalam satu jualan hartanah berprofil tinggi.
Kes terhadap Chan, seorang pengarah di Sterling Law, akan disebut semula pada 13 Ogos.
Bagi kesalahan pemalsuan, pesalah boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada 2025 telah mengambil tindakan terhadap empat firma guaman dan seorang peguam atas pelanggaran peraturan antipengubahan wang haram melibatkan pembelian hartanah yang berkait dengan kes pengubahan wang haram $3 bilion.
Langkah itu diambil susulan siasatan oleh Pengarah Perkhidmatan Guaman (DLS) – iaitu sebuah jabatan di bawah MinLaw – yang mengawal selia entiti amalan undang-undang dan pendaftaran peguam asing di Singapura.
DLS telah mengarahkan sebuah firma guaman membayar penalti kewangan sebanyak $30,000, manakala firma guaman kedua diarah membayar $100,000, iaitu penalti maksimum.
Satu notis berkanun pula dikeluarkan terhadap firma guaman ketiga berhubung hasrat DLS untuk mengarahkannya membayar denda sebanyak $70,000.
DLS turut memberi teguran peribadi kepada firma guaman keempat, dan merujuk seorang peguam kepada Persatuan Peguam-Peguam Singapura untuk tindakan tatatertib.
Pada Jun 2025, kementerian tersebut telah mengeluarkan nota panduan kepada industri guaman bagi mengingatkan firma guaman dan peguam tentang tanggungjawab mereka di bawah kewajipan berkanun berhubung antipengubahan wang haram.
Ia termasuk menjalankan analisis risiko pelanggan, mengenal pasti petunjuk mencurigakan yang ketara, menetapkan sumber kekayaan pelanggan, serta tempoh masa untuk memfailkan laporan urus niaga mencurigakan (STR).
Semua firma guaman dan peguam tertakluk kepada kewajipan antipengubahan wang haram di bawah Akta Kerjaya Guaman.
MinLaw sebelum ini berkata sebuah firma guaman atau peguam juga wajib memfailkan STR kepada pihak polis sekiranya mereka mengesyaki pelanggan mungkin terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Seramai 10 warga asing yang terlibat secara langsung dalam kes pengubahan wang haram berkenaan – salah satu kes terburuk di Singapura – telah dijatuhi hukuman penjara antara 13 dengan 17 bulan pada 2024 atas tuduhan berkaitan pengubahan wang haram, penipuan, dan pemalsuan.
Kesemua mereka telah dihantar pulang ke negara asal dan dilarang daripada memasuki semula Singapura selepas selesai menjalani hukuman penjara masing-masing.
