Lapan syarikat di Singapura telah disenarai hitam dan diharamkan daripada menjalankan sebarang urus niaga kerana kaitan mereka dengan dua individu yang dipercayai memainkan peranan utama dalam kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion.
Dalam jawapan kepada The Straits Times (ST), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) berkata tindakan pengawalseliaan atau penguatkuasaan telah diambil terhadap syarikat milik Su Binghai sejak September 2023 dan syarikat yang dikaitkan dengan Xu Haika sejak April 2024.
“Memandangkan lapan syarikat ini telah disenaraihitamkan dan aset mereka telah dibekukan sejak tindakan diambil ke atas mereka, syarikat-syarikat ini tidak boleh menjalankan sebarang urus niaga atau transaksi kewangan lagi di Singapura,” kata SPF dan Acra dalam kenyataan bersama.
Su dan Xu merupakan antara 17 suspek yang berjaya melarikan diri dalam satu operasi polis yang menyaksikan 10 warga asing ditangkap pada 15 Ogos 2023.
Semakan pada daftar perniagaan itu menunjukkan bahawa Xu disenaraikan sebagai pengarah tunggal syarikat pemegangan, Rong Hai Development sejak Disember 2020.
Xu juga merupakan pemegang saham tunggal syarikat itu dengan nilai keseluruhan sebanyak $500,000.
Su pula disenaraikan sebagai pengarah bagi enam syarikat yang semuanya didaftarkan di sebuah banglo kelas baik (GCB) berhampiran dengan Adam Food Centre, di mana dia pernah tinggal.
Dia turut kekal sebagai pemegang saham dalam lapan firma lain, termasuk New Future Holdings, di mana beliau memegang saham bernilai $2.5 juta.
Syarikat tersebut dikaitkan dengan firma ekuiti persendirian yang berpangkalan di Hong Kong, iaitu New Future International.
SPF dan Acra berkata lima daripada lapan syarikat yang dikaitkan dengan pasangan itu adalah firma tidak aktif dan sedang melalui proses pembubaran sejak Oktober 2025.
“Tiga lagi syarikat belum dibubarkan kerana aset mereka masih dalam rampasan atau sedang menunggu pelaksanaan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 2024,” kata SPF dan Acra.
Namun, pasangan itu telah bersetuju untuk menyerahkan aset mereka kepada negara, sebagai pertukaran bagi penarikan Notis Merah dan Notis Biru Interpol terhadap mereka pada Oktober 2024.
Notis Merah ialah permohonan untuk mengesan dan menahan individu yang dikehendaki bagi tujuan pendakwaan atau untuk menjalani hukuman, manakala Notis Biru ialah permintaan untuk mengumpul maklumat tambahan mengenai identiti, lokasi atau kegiatan seseorang yang berkaitan dengan siasatan jenayah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg