Su Haijin , salah seorang daripada 10 tertuduh dalam kes pengubahan wang haram melibatkan wang berbilion dolar, dijangka mudah melolos keluar dari negara ini menerusi pesawat kerana dipercayai memiliki pasport dari lima negara, kata pendakwa raya pada 13 September.
Semasa sidang yang berlangsung lebih dua jam di mahkamah negara, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Eric Hu berkata, selain pasport Cyprus dan China, Su Haijin juga mempunyai pasport Kemboja dan Turkey yang belum ditemui oleh pihak polis.
DPP menambah, polis turut menemui gambar pasport dari St Lucia – sebuah pulau kecil di Caribbean – dalam telefonnya di bawah nama ‘Su Junjie’ dan beliau tidak memberitahu polis tentang perkara ini.
Pasport-pasport ini bermakna, Su Haijan boleh meninggalkan Singapura dengan mudah, kata DPP Hu.
Menurut laporan The Straits Times, warga Cyprus berusia 40 tahun itu sudah menghadapi satu tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menentang penahanan.
Su Haijin dipercayai memiliko lebih $4 juta dalam akaun UOB yang dikatakan diperolehinya melalui perjudian atas talian tanpa lesen.
DPP Hu berkata, afidavit pegawai penyiasat menunjukkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada jumlah ini adalah hasil daripada perniagaan perjudian atas talian yang beroperasi di Filipina, menyasarkan penjudi dari Taiwan atau China.
Su Haijin telah dikenakan tahanan reman sejak 15 Ogos lalu dan memohon pada 13 September untuk diikat jamin, dan menghadiri mahkamah melalui pautan video dari Pusat Perubatan Changi.
Permohonan ikat jamin itu telah ditolak.
“Walaupun kedua-dua kakinya patah dan tangannya cedera, dia masih bertekad meninggalkan rumahnya untuk bersembunyi daripada polis di sebuah longkang,” kata DPP Hu mengenai tindakan tertuduh.
Dalam menolak pemohonan ikat jamin, DPP Hu berkata, wujud bukti awal yang boleh dipercayai tertuduh melakukan kesalahan pengubahan wang secara haram dan berisiko besar melakukan pakatan sulit sekiranya dia dibebaskan.
“Kes ini adalah satu kes pengubahan wang haram paling serius, jika bukan yang paling teruk, di Singapura,” tambah DPP Hu.
Kes Su Haijin dijadualkan untuk persidangan praperbicaraan pada 11 Oktober ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg