Topik diikuti
Pergi ke BHkuKesalahan trafik: 13 pemandu ditangkap di Pusat Pemeriksaan Woodlands semasa cuti Hari Kebangsaan
Cuti panjang hujung minggu Hari Kebangsaan baru-baru ini kurang meriah bagi 13 pemandu yang ditangkap di Pusat Pemeriksaan Woodlands atas kesalahan lalu lintas termasuk memotong barisan dan tindakan berbahaya lain di jalan raya.
Daripada 13 kes antara 6 dengan 10 Ogos, 11 kenderaan diarahkan membuat pusingan U untuk kembali berbaris, manakala dua pemandu kenderaan berdaftar asing dilarang memasuki Singapura kerana melintasi garisan putih berkembar dan memotong barisan, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 15 Ogos.
Tindakan berbahaya lain termasuk membelok ke kanan secara haram serta berhenti di tempat yang boleh membahayakan, menghalang lalu lintas atau menyusahkan pengguna jalan raya.
Seramai 10 pemandu dirujuk kepada Polis Trafik (TP) untuk tindakan lanjut, kata ICA.
Kesemua 13 pemandu ditangkap dalam operasi penguatkuasaan di pusat pemeriksaan itu bagi mengesan pesalah lalu lintas dan mencegah pemandu lain daripada berbuat demikian.
“ICA bersikap tegas terhadap pemandu yang melanggar undang-undang lalu lintas atau tidak mematuhi arahan pegawai di pusat pemeriksaan sehingga menjejaskan keselamatan pemandu lain.
“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” jelasn ICA.
Pelawat dinasihatkan supaya bekerjasama dengan pegawai ICA, mematuhi undang-undang lalu lintas dan kekal di lorong masing-masing, tambah pihak berkuasa itu.
Pada 3 Ogos, ICA memberi amaran menjangkakan “kesesakan lalu lintas yang sangat teruk” di pusat pemeriksaan darat dari 7 hingga 10 Ogos.
ICA berkata pemeriksaan keselamatan di semua pusat pemeriksaan dipertingkat sejak 28 Februari berikutan keadaan keselamatan dunia yang semakin tegang selepas tercetusnya perang Iran di Timur Tengah.
ICA menambah bahawa semasa Hari Raya Haji, hujung minggu Hari Vesak dan cuti sekolah Jun, lebih 18 juta pelawat melalui pusat pemeriksaan darat, dengan 52 pemandu ditangkap atas kesalahan lalu lintas dan tindakan berbahaya di jalan raya.
