Topik diikuti
Pergi ke BHkuCampak kembali meningkat: Patutkah warga berasa bimbang?
Kes campak di Singapura kembali menunjukkan peningkatan apabila 40 jangkitan direkodkan setakat 2026.
Ia merupakan angka tertinggi dalam tempoh enam tahun, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada negara sedang berdepan risiko wabak baharu.
Bagaimanapun, pakar kesihatan menegaskan orang ramai tidak perlu panik kerana peningkatan itu lebih banyak dipengaruhi oleh pertambahan kes import dari luar negara berbanding penularan meluas dalam kalangan masyarakat tempatan.
Menurut data terkini Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), jumlah 40 kes yang direkodkan setakat ini telah melepasi keseluruhan 27 kes yang dicatatkan sepanjang 2025.
Walaupun begitu, angka tersebut masih jauh lebih rendah berbanding 152 kes yang direkodkan pada 2019 ketika dunia mengalami gelombang besar wabak campak.
Daripada keseluruhan kes pada 2026, sekurang-kurangnya tiga pesakit telah menerima dua dos lengkap vaksin campak, beguk dan rubela (MMR), manakala selebihnya tidak pernah divaksin atau tiada rekod imunisasi.
Golongan dewasa berusia antara 25 dengan 44 tahun terus mencatatkan bilangan kes tertinggi.
Bagi tempoh antara 4 April dengan 4 Julai lalu pula, sebanyak 12 kes direkodkan, membabitkan seorang pelancong dan 11 penduduk Singapura.
Daripada jumlah itu, sembilan diklasifikasikan sebagai kes import selepas pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, manakala hanya dua kes dipercayai dijangkiti di dalam negara.
Dua daripada 12 pesakit itu telah menerima dua dos vaksin MMR, manakala selebihnya tidak mempunyai rekod vaksinasi.
Agensi itu turut memaklumkan seorang daripada pesakit yang telah divaksinasi mempunyai penyakit sedia ada, manakala seorang lagi tidak mempunyai masalah kesihatan.
Kedua-duanya telah pulih sepenuhnya.
Pengarah Pusat Keselamatan Kesihatan Asia di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Hsu Li Yang, berkata peningkatan kes di Singapura sejajar dengan kebangkitan semula wabak campak di pelbagai negara.
Menurutnya, peningkatan jangkitan sejagat menyebabkan lebih banyak kes dibawa masuk ke Singapura oleh individu yang baru pulang dari luar negara, sekali gus menyebabkan beberapa jangkitan tempatan berlaku secara terpencil.
“Walaupun penularan tempatan secara sporadik akan berlaku, risiko berlakunya wabak campak yang besar dan berpanjangan di Singapura adalah amat rendah kerana kadar imunisasi negara ini sangat tinggi,” katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), sebanyak 97 peratus kanak-kanak di Singapura telah menerima vaksin campak menjelang usia tujuh tahun, manakala 99 peratus orang dewasa mempunyai kekebalan terhadap penyakit itu.
Kedua-dua kadar tersebut melepasi had 95 peratus yang diperlukan untuk membentuk imuniti kelompok, iaitu tahap perlindungan yang mampu menghalang penularan meluas dalam masyarakat serta melindungi individu yang tidak boleh menerima vaksin seperti bayi berusia bawah 12 bulan.
Walaupun terdapat beberapa kes dalam kalangan individu yang telah lengkap divaksin, pakar menegaskan keadaan itu jarang berlaku.
Vaksin MMR mempunyai keberkesanan sekitar 97 peratus selepas dua dos.
Sekiranya individu yang telah divaksin masih dijangkiti, mereka lazimnya mengalami gejala lebih ringan serta berisiko lebih rendah mengalami komplikasi serius.
Mantan Presiden Persatuan Mikrobiologi Klinikal dan Jangkitan Asia Pasifik, Profesor Paul Tambyah, berkata jangkitan dalam kalangan individu yang telah divaksin boleh berlaku dalam keadaan tertentu.
“Kes sebegini sangat jarang berlaku. Ia mungkin berkait dengan keadaan kesihatan pesakit yang menjejas sistem imun atau faktor tertentu ketika proses penyimpanan dan pengendalian vaksin,” katanya.
Beliau berkata individu yang tidak pasti sama ada mereka pernah menerima dua dos vaksin MMR disaran mendapatkan nasihat doktor.
Menurutnya, mereka boleh menjalani ujian darah bagi mengesan tahap imuniti terhadap campak atau menerima dos penggalak sekiranya diperlukan.
Beliau turut menggesa penjaga bayi berusia bawah setahun serta individu yang mempunyai sistem imun lemah diberi keutamaan kerana kumpulan tersebut lebih mudah mengalami komplikasi serius akibat jangkitan campak.
Seiring peningkatan kes sejagat, CDA menjangkakan Singapura akan terus merekodkan kes sporadik dan kelompok kecil memandangkan negara ini merupakan hab perjalanan antarabangsa yang menerima kemasukan pelancong dari pelbagai negara setiap hari.
Bagi mengurangkan risiko penularan, CDA memperketat langkah kawalan sejak Februari lalu.
Ia termasuk mewajibkan pengasingan pesakit campak, menjalankan pengesanan kontak bagi semua kes serta mengenakan kuarantin terhadap sebahagian kontak rapat.
Langkah itu diperkukuhkan lagi sebulan kemudian apabila semua individu yang disyaki menghidap campak di lokasi berisiko tinggi seperti sekolah dan tempat kerja tidak dibenarkan kembali sehingga keputusan ujian mengesahkan mereka bebas daripada jangkitan.
CDA turut menasihatkan kanak-kanak yang lebih besar serta orang dewasa, khususnya mereka yang merancang melancong ke negara yang sedang mengalami wabak campak, supaya memastikan mereka telah menerima dua dos vaksin MMR.
Bayi berusia antara enam dengan 11 bulan yang akan ke negara berisiko pula disaran mendapatkan nasihat doktor sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berlepas bagi mempertimbangkan pemberian dos awal vaksin.
Campak merupakan antara penyakit berjangkit paling mudah merebak di dunia.
Ia disebabkan oleh virus campak dan merebak melalui titisan udara apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin, selain sentuhan dengan rembesan hidung dan tekak.
Gejalanya termasuk demam, batuk, hidung berair, sakit tekak dan ruam pada kulit.
Tiada ubat khusus untuk merawat campak dan kebanyakan pesakit pulih dalam tempoh dua hingga tiga minggu dengan rawatan sokongan.
Namun, penyakit itu boleh menyebabkan komplikasi serius terutama kepada bayi, warga emas serta individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Profesor Hsu berkata peningkatan kes yang berlaku ketika ini sepatutnya dilihat sebagai peringatan kepada orang ramai agar memastikan status vaksinasi diri dan keluarga sentiasa lengkap, bukannya sebagai alasan untuk panik.
“Kita tidak seharusnya bimbang dengan peningkatan angka ini.
“Sebaliknya, ia perlu dijadikan peringatan supaya memastikan anak-anak menerima vaksin mengikut jadual, selagi tiada sebab perubatan yang menghalang mereka daripada divaksin,” kata Profesor Hsu.
