Pendarahan dari dubur adalah gejala biasa yang boleh berlaku akibat masalah tidak berbahaya seperti buasir, tetapi ia juga boleh menjadi tanda awal barah kolorektal.

Pendarahan akibat buasir biasanya tidak menyakitkan dan darah berwarna merah terang.

Bagaimanapun, sebarang pendarahan dari dubur harus diperiksa doktor bagi memastikan puncanya.

Darah merah terang biasanya menunjukkan pendarahan mungkin berpunca dari dubur atau rektum.

Ia sering disebabkan buasir, apabila salur darah kecil di dubur pecah akibat meneran atau najis yang keras.

Jika darah berwarna merah lebih gelap, merah tua atau kehitaman, ia lebih membimbangkan kerana mungkin menunjukkan pendarahan berpunca dari bahagian lebih dalam pada usus besar, usus kecil atau perut.

Selain warna najis, perubahan pada kekerapan membuang air besar serta bentuk dan keadaan najis juga perlu diberi perhatian.

Infografik menunjukkan perbezaan utama antara buasir dengan barah kolorektal, termasuk corak pendarahan, perubahan tabiat membuang air besar, rasa sakit, tanda amaran dan tempoh gejala. Walaupun kedua-duanya boleh menyebabkan pendarahan dari dubur, gejala yang berterusan atau semakin teruk, kehilangan berat badan tanpa sebab dan keletihan boleh menjadi petanda barah kolorektal yang memerlukan pemeriksaan doktor.
Infografik menunjukkan perbezaan utama antara buasir dengan barah kolorektal, termasuk corak pendarahan, perubahan tabiat membuang air besar, rasa sakit, tanda amaran dan tempoh gejala. Walaupun kedua-duanya boleh menyebabkan pendarahan dari dubur, gejala yang berterusan atau semakin teruk, kehilangan berat badan tanpa sebab dan keletihan boleh menjadi petanda barah kolorektal yang memerlukan pemeriksaan doktor. - Foto BH

Tanda amaran

Perubahan tabiat membuang air besar yang berterusan lebih daripada beberapa hari, seperti cirit-birit atau sembelit yang baru berlaku atau semakin teruk, atau keadaan berselang-seli antara kedua-duanya.

Najis menjadi gelap atau hitam, atau tiba-tiba menjadi luar biasa kecil, nipis atau seperti reben akibat ketumbuhan yang menghalang laluan najis.

Masih mahu membuang air besar atau berasa usus tidak kosong sepenuhnya walaupun baru selesai ke tandas.

Sakit atau ketidakselesaan pada perut yang berterusan atau tidak dapat dijelaskan, termasuk kekejangan, kembung atau angin berlebihan.

Berat badan turun tanpa sebab.

Keletihan dan anemia tanpa sebab. Pendarahan dalaman yang berterusan boleh menyebabkan anemia akibat kekurangan zat besi walaupun darah tidak kelihatan pada najis.

Kesan Darah Berterusan Dalam Najis

Najis keras atau meneran boleh memburukkan pendarahan akibat buasir.

Bagaimanapun, jika darah dalam najis berlaku walaupun najis lembut atau disertai lendir, ia mungkin bukan disebabkan buasir semata-mata.

Gejala tersebut boleh menunjukkan terdapat keradangan atau barah.

Oleh itu, usah menganggap pendarahan dubur sekadar disebabkan buasir.

Segera berjumpa doktor jika gejala itu berlarutan melebihi dua minggu.

Doktor boleh menilai gejala, menjalankan pemeriksaan fizikal jika perlu dan menentukan sama ada ujian seperti kolonoskopi perlu dilakukan.

Ia merujuk kepada prosedur pemeriksaan perubatan menggunakan tiub fleksibel berkamera (kolonoskop) untuk melihat bahagian dalam kolon – usus besar– dan rektum.

Pembedahan Robotik Bantu Pesakit Pulih Segera

Kemajuan pembedahan robotik kolorektal meningkatkan ketepatan rawatan, sekali gus mempercepat proses pemulihan serta mengurangkan kesan trauma fizikal pada tubuh.

Tempoh pemulihan menjadi jauh lebih singkat dan pesakit mengalami kurang rasa sakit kerana luka pembedahan lebih kecil.

Pada masa yang sama, keberkesanan jangka panjang dalam mengawal barah adalah setanding dan tidak terjejas.

Berbeza dengan kaedah konvensional, pembedahan invasif minimum hanya memerlukan bukaan atau belahan yang jauh lebih kecil berbanding dengan pembedahan terbuka.

Pesakit biasanya kurang mengalami kesakitan, kurang kehilangan darah, serta menikmati tempoh rawatan hospital dan masa pemulihan yang lebih singkat.

Pembedahan laparoskopi – sejenis prosedur pembedahan invasif minimum yang membolehkan pakar bedah melihat dan merawat organ di dalam perut atau pelvis tanpa perlu membuat belahan luka yang besar – kian popular.

Ia menjadi pilihan utama kerana kadar komplikasi yang rendah dan kurang memberi tekanan pada tubuh.

Selain mempercepat pemulihan fungsi usus dan memendekkan tempoh rawatan, kaedah moden ini mengekalkan keberkesanan optimum dalam mengawal sel barah.

Pembedahan dengan bantuan robot memberikan pakar bedah gambaran tiga dimensi yang lebih jelas, pergerakan peralatan lebih tepat, keupayaan bergerak yang lebih baik serta kawalan lebih tinggi dalam ruang anatomi yang sempit.

Pendekatan Pemulihan Dipertingkat Selepas Pembedahan (ERAS) pula memberi tumpuan kepada pengurusan kesakitan yang lebih baik.

Ia menggalakkan pesakit bergerak lebih awal dan memperbaiki pemakanan.

Dikaitkan dengan kurang komplikasi, tempoh rawatan di hospital juga lebih singkat dan pesakit dapat kembali menjalani kegiatan harian dengan lebih cepat.

Teknologi seperti ujian DNA tumor dalam peredaran darah (ctDNA), pemprofilan molekul dan pengimejan canggih juga boleh membantu doktor membuat keputusan rawatan dan merancang pembedahan yang lebih khusus mengikut keadaan pesakit.

Secara keseluruhan, kemajuan pembedahan barah kolorektal menuju ke arah matlamat yang sama – membuang ketumbuhan dengan lebih tepat, mengurangkan kesan pembedahan terhadap tubuh dan komplikasi serta mempercepat pemulihan tanpa menjejas keberkesanan kawalan barah.

Penulis Pengarah Perubatan, Aelius Surgical Centre, Mount Elizabeth Orchard, Singapura.