WASHINGTON: Ramai individu gemar mengira jumlah langkah harian bagi mengukur tahap kegiatan fizikal mereka.

Malah, ada yang menetapkan sasaran 10,000 langkah sehari demi menjaga kesihatan.

Penggunaan jam tangan pintar dan alat pemantau kecergasan turut mendorong ramai untuk mencapai sasaran tersebut setiap hari.

Pelbagai kajian menunjukkan bahawa berjalan kaki merupakan antara cara paling mudah untuk meningkatkan tahap kesihatan dan memanjangkan jangka hayat.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal, British Journal of Sports Medicine, mendapati berjalan sekurang-kurangnya 2,200 langkah sehari boleh membantu mengurangkan risiko penyakit yang dikaitkan dengan gaya hidup kurang aktif, seperti penyakit jantung dan kencing manis.

Namun, manfaat kesihatan didapati lebih besar apabila seseorang berjalan sehingga 9,000 langkah sehari.

Pakar bagaimanapun berpendapat bahawa memberi tumpuan semata-mata kepada jumlah langkah harian tidak memberi gambaran menyeluruh tentang manfaat berjalan kaki.

Selepas mencapai tahap tertentu, cara seseorang berjalan, termasuk kelajuan, intensiti dan keadaan laluan, sama pentingnya dengan jumlah langkah yang diambil.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sama ada seseorang baru mampu mencapai 2,200 langkah sehari atau sudah terbiasa berjalan 10,000 langkah, terdapat beberapa cara untuk meningkatkan manfaat kegiatan tersebut.

Mula dengan berjalan kaki

Profesor Kinesiologi (kajian pergerakan tubuh manusia) di Universiti Massachusetts Amherst, Profesor Amanda Paluch, berkata langkah pertama bagi mereka yang sudah lama tidak aktif adalah dengan mula berjalan.

Seseorang boleh bermula dengan berjalan di sekitar kawasan kejiranan atau berulang-alik di dalam rumah.

Tetapkan sasaran awal sebanyak 2,000 langkah, bersamaan kira-kira 1.6 kilometer, sebelum meningkatkan jumlah langkah secara berperingkat mengikut kemampuan masing-masing.

Bagi warga emas atau individu yang menghidap penyakit kronik sehingga menyukarkan mereka bergerak, berjalan pada apa jua kelajuan tetap memberikan manfaat kepada kesihatan, kata Profesor Paluch.

Tingkatkan kelajuan berjalan

Menghitung jumlah langkah merupakan pendekatan yang baik pada peringkat awal.

Namun, apabila seseorang sudah mampu mencapai sekitar 6,000 hingga 8,000 langkah sehari secara tekal, perhatian boleh diberikan kepada kelajuan berjalan.

Ketika berjalan, otot mengecut dan membantu mengalirkan darah dari kaki kembali ke jantung.

Dalam jangka panjang, proses tersebut membantu jantung menjadi lebih kuat dan berfungsi dengan lebih cekap.

Profesor Fisiologi Senaman Molekul di Universiti California, Davis, Profesor Keith Baar, berkata manfaat tersebut bagaimanapun boleh menjadi semakin terhad apabila tubuh sudah terbiasa dengan jumlah langkah dan kelajuan yang sama setiap hari.

“Untuk mendapatkan kesan yang lebih besar, anda memerlukan rangsangan yang lebih kuat,” katanya.

Beliau menyarankan agar individu mencabar diri dengan berjalan lebih pantas sehingga kadar pernafasan meningkat.

Meningkatkan intensiti berjalan bukan sekadar bertujuan membakar lebih banyak kalori, bahkan juga menguatkan sistem kardiovaskular, yang melibatkan jantung dan saluran darah.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal, Nature Medicine, pada 2022 mengaitkan berjalan lebih pantas dengan risiko lebih rendah mengalami apnea tidur (gangguan pernafasan ketika tidur), refluks asid, kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Sebagai permulaan, seseorang boleh berjalan lebih pantas selama 30 saat atau seminit sebelum kembali kepada kelajuan biasa.

Tempoh dan kekerapan berjalan pantas itu boleh ditingkatkan secara berperingkat mengikut kemampuan.

Berjalan di kawasan terbuka

Berjalan di kawasan terbuka, terutama di taman atau laluan alam semula jadi, juga boleh memberikan manfaat tambahan.

Walaupun kajian pada 2023 belum dapat memastikan sama ada berjalan di luar rumah memberikan manfaat fizikal lebih besar, Profesor Baar berpendapat berjalan di permukaan lembut seperti pasir, batu kerikil atau tanah memerlukan lebih banyak tenaga.

Ini kerana tendon, iaitu tisu yang menghubungkan otot dengan tulang, membantu tubuh bergerak dengan lebih cekap apabila berjalan di permukaan keras.

Beliau turut menggalakkan orang ramai berjalan di laluan alam semula jadi kerana meluangkan masa dalam persekitaran tersebut terbukti memberikan manfaat kepada kesihatan mental.

Laluan sedemikian juga lazimnya mempunyai lebih banyak cerun dan bukit berbanding laluan di kawasan kejiranan.

Berjalan mendaki cerun

Selain meningkatkan kelajuan, berjalan mendaki bukit atau cerun merupakan satu lagi cara meningkatkan kecergasan.

Pakar jantung di Northwestern Medicine dan sukarelawan Persatuan Jantung Amerika, Dr Sadiya Khan, berkata pendekatan tersebut amat sesuai bagi mereka yang mempunyai masa terhad untuk bersenam.

Kebanyakan kajian menunjukkan bahawa manfaat tambahan daripada peningkatan jumlah langkah mula berkurangan selepas seseorang berjalan sekitar lapan kilometer.

Oleh itu, daripada menambah sasaran kepada 12,000 atau 15,000 langkah sehari, seseorang boleh memilih laluan berbukit bagi meningkatkan kadar denyutan jantung.

Berjalan mendaki secara mengundur juga boleh meningkatkan cabaran dan melibatkan kumpulan otot yang berbeza, namun ia perlu dilakukan di tempat selamat bagi mengelakkan risiko terjatuh.

Profesor Paluch menyarankan satu kaedah mudah untuk mengukur intensiti kegiatan fizikal, iaitu ujian bercakap dan menyanyi.

Seseorang boleh meningkatkan kelajuan sehingga masih mampu mengucapkan ayat pendek, tetapi sukar menyanyikan lagu.

“Jika anda masih boleh bercakap dengan selesa ketika melakukan kegiatan tersebut, intensitinya mungkin terlalu rendah untuk dianggap sebagai kegiatan fizikal lasak,” kata Dr Khan.

Berjalan sambil bawa beban

Satu lagi cara meningkatkan intensiti berjalan adalah dengan membawa beban di dalam beg galas.

Kegiatan yang dikenali sebagai rucking itu membantu melatih kekuatan otot di samping meningkatkan kadar denyutan jantung, ujar Dr Khan.

Namun, Profesor Paluch mengingatkan agar kegiatan tersebut dimulakan dengan beban ringan sebelum beratnya ditambah secara berperingkat.

Ini kerana membawa beban boleh mengubah cara seseorang berjalan dan postur tubuh, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan.

Selang-seli berjalan dengan joging

Bagi mereka yang ingin meningkatkan lagi tahap kecergasan, berjalan kaki boleh diselang-selikan dengan joging.

Menurut Dr Khan, walaupun jarak yang dilalui adalah sama, berlari boleh memberikan manfaat kesihatan jangka panjang yang lebih besar berbanding dengan berjalan kaki.

Seperti ketika mula meningkatkan kelajuan berjalan, seseorang boleh bermula dengan berjoging selama 30 saat atau seminit sebelum menambah tempohnya secara berperingkat.

Bagaimanapun, seseorang tidak semestinya perlu berlari untuk memperoleh manfaat tambahan daripada kegiatan berjalan kaki.

Menurut Dr Khan, sama ada berjalan atau berlari, apa yang penting ialah mencabar diri untuk bergerak lebih giat daripada kebiasaan. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan