Apabila umat Islam di seluruh dunia bersiap sedia untuk menunaikan ibadah haji, doa dan harapan kita mengiringi jemaah yang terpilih untuk menyempurnakan ibadah suci ini – anugerah yang hanya datang sekali seumur hidup bagi kebanyakan orang.
Ibadah haji menuntut ketahanan fizikal yang tinggi.
Ia melibatkan tempoh yang panjang untuk berjalan kaki, berdiri, dan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, khususnya di kawasan seperti Makkah, Mina, Arafah dan Muzdalifah.
Semua ini dilakukan dalam cuaca yang sangat panas dan kering, dengan suhu pada musim haji sering melebihi 40 darjah Celsius.
Dalam keadaan ini, antara risiko kesihatan yang paling biasa dihadapi oleh jemaah ialah penyakit berkaitan haba, terutama keletihan haba dan strok haba.
Kedua-duanya boleh menjadi serius dan mengancam nyawa sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Namun begitu, ia adalah keadaan yang boleh dicegah – dengan pengetahuan yang tepat dan persediaan rapi.
Artikel ini disediakan untuk memberi panduan kesihatan praktikal berdasarkan bukti perubatan kepada jemaah serta anggota keluarga mereka.
Ia bertujuan membantu jemaah memahami risiko sebenar yang mungkin dihadapi semasa ibadah haji, serta bagaimana melindungi diri agar perjalanan suci ini dapat dilalui dengan selamat, sihat dan penuh keinsafan rohani.
Strok haba berlaku apabila badan menjadi terlalu panas dan tidak lagi mampu menyejukkan dirinya sendiri.
Keadaan ini merupakan kecemasan dari sudut perubatan dan ia boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera.
Ibadah haji melibatkan pelbagai amalan yang menuntut ketahanan fizikal tinggi seperti tawaf (mengelilingi Kaabah), sai (berjalan antara Bukit Safa dengan Marwah), berwuquf di Arafah, serta berjalan kaki antara Mina dengan Muzdalifah.
Semua ibadah ini dilakukan dalam cuaca panas terik dan boleh mengambil masa berjam-jam di bawah sinar matahari.
Tanpa pengambilan air yang mencukupi, rehat berkala, dan perlindungan daripada panas, badan boleh menjadi terlalu panas ke tahap melampau dalam masa yang singkat – sekali gus menjadikan jemaah lebih terdedah kepada keletihan haba dan seterusnya strok haba.
Jemaah dan pengiring mereka perlu peka terhadap tanda-tanda awal berikut: Terlalu banyak berpeluh diikuti dengan kulit kering dan panas, rasa pening, keliru, atau pitam, sakit kepala, loya, atau muntah, degupan jantung yang laju atau berdebar serta pernafasan yang pantas.
Jika mana-mana gejala ini berlaku, dapatkan bantuan perubatan dengan segera dan pindahkan individu tersebut ke kawasan teduh atau berhawa dingin untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.
Menunaikan ibadah haji memerlukan ketahanan fizikal dan mental, terutama dalam cuaca panas yang mencabar.
Berikut adalah panduan praktikal untuk membantu jemaah kekal sihat sepanjang perjalanan suci ini:
Pastikan Badan Sentiasa Hidrat
* Minum air kosong dengan kerap sepanjang hari, jangan tunggu sehingga terasa dahaga.
* Bawa botol air boleh isi semula atau beg air khas (hydration pack).
* Gunakan larutan rehidrasi oral (ORS) jika anda berpeluh dengan banyak atau rasa lemah.
* Elakkan minuman berkafein dan bergula kerana ia boleh meningkatkan risiko dehidrasi.
* Bawa dan gunakan payung semasa menjalani ibadah di kawasan terbuka.
* Pakai pakaian cerah, longgar dan berfabrik ringan (seperti kapas), selagi tidak dalam ihram.
* Gunakan krim pelindung matahari (sunscreen) pada bahagian kulit yang terdedah, terutama jika berada lama di luar.
* Cuba lakukan tawaf dan ibadah utama pada waktu lebih sejuk, seperti awal pagi atau selepas matahari terbenam.
* Rehat secara berkala di kawasan yang berteduh atau berhawa dingin, terutama antara 11 pagi dengan 3 petang.
* Elakkan terdedah terlalu lama kepada matahari pada waktu kemuncak panas.
* Sentiasa semak ramalan cuaca harian dan rancang kegiatan ibadah mengikut keadaan semasa.
* Perlahankan pergerakan, terutama semasa di Mina, Arafah dan Muzdalifah.
* Ambil rehat pendek secara kerap bagi mengelakkan keletihan melampau.
* Jangan segan menggunakan alat bantuan mobiliti seperti kerusi roda atau tongkat jika perlu, dan usah malu meminta bantuan jika berasa tidak mampu.
* Amalkan pengambilan makanan ringan tetapi seimbang yang mengandungi buah-buahan, sayuran, dan sedikit garam.
* Elakkan makanan berat, berminyak atau terlalu pedas, terutama sebelum berjalan jauh.
* Bawa snek sihat seperti kurma atau kekacang untuk bekalan tenaga segera.
Gunakan teknik penyejukan mudah seperti lap muka dan leher dengan kain lembap atau tuala penyejuk, gunakan botol semburan berisi air untuk menyegarkan kulit dan pakai skaf penyejuk atau gunakan kipas leher kecil jika ada.
Menunaikan ibadah haji merupakan satu nikmat dan anugerah besar dalam kehidupan seorang Muslim.
Namun bagi jemaah warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, atau sakit jantung, perancangan dan penjagaan kesihatan rapi amat penting agar ibadah dapat dilaksanakan dengan selamat dan sempurna.
Berikut ialah beberapa nasihat penting yang harus diikuti:
* Dapatkan nasihat doktor sebelum berangkat dan bawa ringkasan sejarah perubatan bersama anda. Ini akan membantu pasukan perubatan jika berlaku kecemasan.
* Simpan ubat-ubatan dalam bungkusan asal yang berlabel dengan jelas untuk mengelakkan kekeliruan.
* Berjalan perlahan-lahan, elakkan naik tangga jika tidak perlu, dan pertimbangkan untuk menggunakan kerusi roda untuk perjalanan jauh.
* Jangan malu atau segan untuk meminta bantuan daripada petugas, pegawai kesihatan atau ahli rombongan.
Ibadah haji adalah satu penghormatan rohani yang sangat tinggi, namun dalam Islam, menjaga keselamatan jiwa dan kesihatan diri juga merupakan satu tuntutan.
Sekiranya seseorang anggota jemaah berasa tidak sihat, adalah diharuskan untuk meminda amalan atau mendapatkan bantuan yang bersesuaian.
Anggota keluarga juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan jemaah, lebih-lebih lagi pada hari-hari utama dalam musim Haji:
8 Zulhijah – Berangkat ke Mina
9 Zulhijah – Hari wuquf di Arafah
10 Zulhijah – Hari Raya Aidiladha dan melontar jamrah
11–13 Zulhijah – Hari-hari tasyrik (melontar dan kembali ke Makkah)
Ketika ini, anggota keluarga digalakkan supaya sentiasa berhubung, memantau keadaan jemaah, dan memberi sokongan moral.
Berkongsi panduan kesihatan, membantu persiapan ibadah dan memberi dorongan daripada segi emosi boleh memberi kesan amat besar terhadap kesejahteraan dan semangat mereka.
Sebagai umat Islam, kita sentiasa mendoakan keselamatan dan kelancaran ibadah jemaah.
Namun doa sahaja tidak mencukupi, kita juga harus menyokong mereka dengan ilmu dan persediaan yang tepat.
Dengan langkah persediaan yang menyeluruh, pengetahuan tentang kesihatan, dan kepekaan terhadap keperluan fizikal, perjalanan haji bukan sahaja akan menjadi pengalaman rohani yang mendalam, bahkan juga perjalanan yang selamat dan terjaga.
Penulis ialah Pakar Perubatan Kakitangan Kanan Pusat Perubatan Sukan dan Senaman Singapura, Hospital Besar Changi (CGH); Timbalan Pengarah Promosi Kesihatan dan Pencegahan Penyakit, Pejabat Kesihatan Serantau SingHealth; Pengarah, Komuniti Pusat Perubatan Sukan dan Senaman SingHealth-Duke Universiti Nasional Singapura (NUS); dan Pengarah, Program Komuniti bagi Senaman adalah Perubatan Singapura (EIMS).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg