SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Panduan ambil ubat dengan selamat sepanjang Ramadan

Panduan ambil ubat dengan selamat sepanjang Ramadan

Beri perhatian kepada tanda amaran bagi elak komplikasi kesihatan
Feb 9, 2026 | 5:30 AM

Panduan ambil ubat dengan selamat sepanjang Ramadan

Muhammad Farhaan Abdul Kareem, skh
Ahli Farmasi, Hospital Besar Sengkang, Encik Muhammad Farhaan Abdul Kareem. - Foto SKH

Encik Ahmad, seorang lelaki berusia 58 tahun yang menghidapi kencing manis sejak lebih 10 tahun lalu, mengambil ubat Metformin dua kali sehari serta suntikan insulin pada waktu malam.

Setiap kali menjelang Ramadan, beliau sering ragu-ragu sama ada selamat untuk berpuasa, apatah lagi setelah mengalami pening dan hampir pitam ketika berpuasa pada tahun sebelumnya.

Kebimbangan utamanya adalah bagaimana untuk mengambil ubat dan insulin tanpa menyebabkan paras gula darah menjadi terlalu rendah.

Keadaan yang dialami Encik Ahmad bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Ramai pesakit yang mengambil ubat kronik menghadapi cabaran serupa apabila tiba Ramadan.

Bagi sesetengah pesakit, perubahan rutin harian menimbulkan kekeliruan tentang cara pengambilan ubat, manakala bagi yang lain pula, berpuasa mungkin tidak digalakkan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.

Oleh itu, pesakit dinasihatkan agar mendapatkan pandangan pakar kesihatan mengenai keselamatan berpuasa dan pengurusan ubat semasa berpuasa.

Dengan maklumat yang tepat dari sudut perubatan dan agama, pesakit dapat membuat keputusan yang sesuai sama ada untuk berpuasa atau sebaliknya.

Antara persoalan yang kerap timbul adalah cara pengambilan ubat yang betul sepanjang Ramadan serta tanda amaran yang perlu diberi perhatian bagi mengelakkan komplikasi kesihatan.

Kekerapan Ambil Ubat

Sepanjang Ramadan, waktu pengambilan ubat perlu disusun semula agar selaras dengan waktu tidak berpuasa.

Bagi ubat yang diambil sekali sehari, ia boleh diambil semasa berbuka puasa atau sahur, bergantung kepada sama ada ubat tersebut biasanya diambil pada waktu pagi atau malam.

Untuk ubat yang perlu diambil dua kali sehari, satu dos boleh dimakan semasa sahur dan satu lagi semasa berbuka.

Namun, bagi ubat yang perlu diambil tiga atau empat kali sehari, pesakit dinasihatkan agar mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi bagi memastikan pengambilan ubat kekal berkesan dan selamat.

Doktor atau ahli farmasi mungkin akan membantu membuat pelarasan terhadap rejimen ubat, termasuk perubahan waktu pengambilan, bilangan dos sehari, jarak masa antara setiap dos, atau jumlah dos harian yang diambil.

Pilihan Alternatif Ubat Semasa Berpuasa

Ubat yang perlu diambil lebih dari tiga kali sehari boleh digantikan dengan pilihan lebih sesuai semasa berpuasa.

Sebagai contoh, antibiotik yang biasanya diambil tiga atau empat kali sehari mungkin boleh ditukar kepada antibiotik yang hanya perlu diambil dua kali sehari, bergantung kepada jenis jangkitan dan kesesuaian pesakit.

Begitu juga dengan ubat penahan sakit seperti paracetamol yang lazimnya boleh diambil sehingga empat kali sehari.

Alternatif lain termasuk ubat penahan sakit yang bertindak lebih lama atau penggunaan rawatan sapuan seperti krim dan plaster.

Bagaimanapun, sebarang pertukaran ubat hanya boleh dilakukan selepas penilaian oleh pakar kesihatan.

Ubat yang Perlu Diambil Ketika Perut Kosong

Pesakit mungkin menghadapi kesukaran untuk mengambil ubat yang perlu diambil ketika perut kosong, iaitu 30 minit sebelum makan, disebabkan waktu makan yang terhad.

Dalam keadaan tertentu, sesetengah ubat seperti thyroxine (ubat tiroid) atau omeprazole (ubat gastrik) boleh diambil pada waktu malam sebelum tidur, apabila perut kembali kosong.

Namun begitu, memandangkan setiap ubat mempunyai ciri berbeza, pengambilan dengan cara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan doktor atau ahli farmasi bagi memastikan rawatan tidak terjejas dan ia sesuai dengan keadaan pesakit.

Pesakit yang Ambil Ubat Pencair Darah (Terutama Warfarin)

Bagi pesakit yang mengambil warfarin, sejenis ubat pencair darah, perubahan pemakanan sepanjang Ramadan boleh menjejas paras kepekatan ubat dalam darah.

Keberkesanan warfarin boleh dipengaruhi oleh pengambilan vitamin K yang terdapat dalam sayur-sayuran hijau seperti bayam dan sawi, serta makanan tertentu seperti tauhu dan paru.

Adalah amat penting untuk memastikan paras pencairan darah berada dalam julat yang ditetapkan bagi mengelakkan risiko pembekuan darah atau pendarahan.

Oleh itu, pelarasan dos dan pemantauan yang lebih kerap mungkin diperlukan bagi pesakit warfarin yang berpuasa.

Kesan Ubat Kronik Seperti Ubat Darah Tinggi

Berpuasa boleh meningkatkan risiko tekanan darah menjadi terlalu rendah akibat kekurangan air dan tenaga.

Oleh itu, kesan sampingan ubat darah tinggi boleh menjadi lebih ketara dan menyebabkan gejala seperti pening atau rasa melayang.

Selain itu, sesetengah ubat darah tinggi, khususnya ubat diuretik seperti frusemide, thiazide dan empagliflozin, boleh meningkatkan kehilangan air dan seterusnya menambah risiko dehidrasi.

Keadaan itu boleh meningkatkan risiko jatuh, terutama apabila bangun secara mengejut semasa solat atau selepas duduk lama.

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil adalah memastikan pengambilan air yang mencukupi antara waktu berbuka dengan sahur; mengelakkan minuman kafein seperti kopi; serta bangun secara perlahan daripada posisi duduk atau sujud, terutama semasa solat.

Kencing Manis dan Ramadan

Pesakit kencing manis merupakan antara golongan paling berisiko menghadapi masalah kesihatan semasa berpuasa, khususnya risiko hipoglisemia (paras gula darah rendah) dan hiperglisemia (paras gula darah tinggi).

Pesakit dinasihatkan agar terus mengambil ubat-ubatan dan suntikan insulin seperti yang diarahkan, dan tidak menghentikannya sendiri ketika berpuasa.

Menghentikan pengambilan ubat tanpa nasihat pakar kesihatan boleh menyebabkan paras gula menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah dan memudaratkan diri.

Rundingan dengan doktor atau ahli farmasi amat penting untuk membincangkan pengubahsuaian dos atau waktu pengambilan ubat sepanjang berpuasa.

Sebagai contoh, bagi kebanyakan pesakit, dos Metformin biasanya dikekalkan seperti sebelum Ramadan tetapi waktu pengambilan boleh diubah kepada waktu sahur dan berbuka.

Ubat yang berisiko tinggi menyebabkan gula darah rendah seperti insulin dan glipizide pula mungkin memerlukan pelarasan dos atau masa suntikan.

Setiap pelan rawatan perlu disesuaikan mengikut keperluan individu bagi memastikan ibadah puasa dapat dijalankan dengan selamat.

Pesakit yang ingin berpuasa amat digalakkan berbincang dengan pakar kesihatan tentang pendidikan, keselamatan berpuasa dan rawatan kencing manis sebelum bermula berpuasa.

Percubaan berpuasa, seperti puasa sunat, boleh dijadikan persediaan awal sebelum Ramadan bermula.

Pemeriksaan paras gula darah di rumah adalah penting dalam memastikan puasa dapat dilakukan dengan selamat dan ia tidak membatalkan puasa.

Pesakit berisiko rendah digalak memeriksa paras gula dalam darah satu hingga dua kali sehari, manakala pesakit berisiko tinggi perlu memeriksanya dengan lebih kerap.

Puasa perlu dibatalkan jika pesakit berasa tidak sihat, paras gula darah terlalu rendah (kurang daripada 4 mmol/L) atau terlalu tinggi (melebihi 16.6 mmol/L), atau mengalami tandaa hipoglisemia (menggigil, berpeluh, lapar, degupan jantung yang cepat, rasa keliru/bingung, pening), hiperglisemia (rasa haus, kerap membuang air kecil, rasa lapar, penat, rasa mual dan muntah) atau dehidrasi.

Jaga Pemakanan Sepanjang Ramadan

Pesakit digalak agar tidak meninggalkan sahur dan sebaiknya melewatkan waktu sahur bagi membantu mengekalkan paras gula darah yang stabil sepanjang hari.

Ketika berbuka, disarankan agar berbuka sebaik sahaja masuk waktu dan mengelakkan pengambilan makanan secara berlebihan.

Buah kurma boleh dimakan mengikut sunah, namun pengambilan disarankan dihadkan kepada satu hingga tiga biji sahaja semasa sahur dan berbuka bagi mengelakkan peningkatan paras gula darah secara mendadak.

Kesimpulan

Ibadah puasa sepanjang Ramadan masih boleh dilaksanakan dengan selamat oleh kebanyakan pesakit yang mengambil ubat, termasuk pesakit kencing manis dan mereka yang mengambil ubat kronik, dengan perancangan serta bimbingan yang betul.

Pelarasan waktu pengambilan ubat, pemantauan gejala, pemilihan makanan yang sesuai serta komunikasi awal dengan doktor atau ahli farmasi memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko komplikasi.

Pesakit dinasihatkan agar tidak membuat sebarang perubahan ubat secara sendiri dan sebaliknya mendapatkan nasihat karyawan kesihatan agar ibadah puasa dapat dijalankan dengan selamat, sihat dan penuh keberkatan.

Selamat berpuasa. Semoga ibadah puasa anda berjalan dengan lancar, dipermudahkan segala urusan, serta dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang Ramadan.

Penulis merupakan Ahli Farmasi, Hospital Besar Sengkang.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg