Pastikan rawatan kekal berkesan
Pastikan rawatan kekal berkesan
Pastikan rawatan kekal berkesan
Pastikan Keselamatan Rawatan Ketika Berpuasa
Sepanjang Ramadan, umat Islam yang sihat dari segi fizikal dan mental menunaikan ibadah puasa dengan menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Dalam tempoh itu, pengambilan ubat juga perlu diurus dengan berhati-hati bagi memastikan rawatan kekal berkesan dan selamat.
Jika anda bercadang berpuasa sambil meneruskan pengambilan ubat, anda digalakkan agar memaklumkan kepada doktor dan ahli farmasi lebih awal mengenai hasrat tersebut.
Mengapa Perlu Berbincang Sebelum Ramadan?
Berbincang dengan karyawan kesihatan sebelum Ramadan bagi membolehkan:
+ Pelarasan dos dan jadual pengambilan ubat dibuat dengan selamat
+ Risiko kesan sampingan dapat dikurangkan
Kegagalan rawatan akibat pengambilan ubat yang tidak tepat dapat dielakkan.
Perancangan awal membantu anda berpuasa dengan lebih yakin tanpa menjejas kesihatan.
Apakah Perlu Dilakukan Jika Perlu Ambil Ubat Semasa Ramadan?
Penyakit Akut (Mendadak)
Sekiranya anda menghidap penyakit akut seperti demam, selesema atau jangkitan lain dan perlu mengambil ubat, anda tidak diwajibkan berpuasa pada hari-hari tersebut.
+ Anda dibenarkan berbuka sepanjang tempoh sakit
+ Puasa yang ditinggalkan boleh diganti selepas Ramadan
Kesihatan perlu diutamakan agar pemulihan tidak terganggu.
Penyakit Kronik dan Ubat Jangka Panjang
Bagi individu yang menghidap penyakit kronik dan mengambil ubat secara berkala, pengesahan dos dan jadual ubat sebelum Ramadan adalah sangat penting.
Perkara yang perlu dipastikan:
+ Waktu pengambilan ubat sesuai dengan waktu sahur dan berbuka
+ Sama ada ubat perlu diambil bersama makanan
+ Jarak masa antara dos mencukupi untuk kekal berkesan
+Jangan mengubah jadual ubat tanpa nasihat karyawan kesihatan.
Penyakit dan Ubat Tertentu – Pesakit Kencing Manis
Kajian mendapati paras gula darah pesakit kencing manis cenderung lebih rendah sepanjang Ramadan. Oleh itu:
+ Dos ubat kencing manis yang biasa mungkin terlalu tinggi
+ Pelarasan dos mungkin diperlukan bagi mengelakkan hipoglisemia (paras gula terlalu rendah)
+ Gejala seperti pening, lemah, berpeluh atau pengsan perlu diberi perhatian
+ Pesakit kencing manis memerlukan pemantauan rapi dan pelarasan individu.
Pesakit Ambil Ubat Pencair Darah
Bagi pesakit yang mengambil ubat pencair darah seperti warfarin, perubahan diet dan rutin harian sepanjang Ramadan boleh mempengaruhi keberkesanan ubat.
Pemerhatian klinikal menunjukkan:
+ Paras kelikatan darah boleh berubah
+ Pengambilan vitamin K (banyak dalam sayur hijau dan makanan tertentu) boleh mempengaruhi kesan ubat
Matlamat rawatan ialah memastikan darah:
+ Tidak terlalu pekat (risiko pembekuan darah)
+ Tidak terlalu cair (risiko pendarahan)
Oleh itu, dos ubat dan pemantauan berkala mungkin perlu disesuaikan sepanjang Ramadan.
Bagaimana Dos Ubat Mungkin Diubah Semasa Ramadan?
Bagi membantu anda berpuasa dengan selamat, doktor atau ahli farmasi boleh menyesuaikan:
+ Waktu pengambilan ubat
+ Bilangan dos sehari
+ Jarak masa antara setiap dos
+ Jumlah dos harian keseluruhan
Semua pelarasan itu perlu dibuat secara profesional dan berperingkat.
Peringatan Penting: Usah ubah dos atau jadual ubat sendiri
Mengubah dos tanpa nasihat perubatan boleh:
+ Mengurangkan keberkesanan rawatan
+ Meningkatkan risiko kesan sampingan
+ Membahayakan keselamatan kesihatan anda
Sentiasa dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum membuat sebarang perubahan.
Peranan Ahli Farmasi Sepanjang Ramadan
Ahli farmasi memainkan peranan penting dalam membantu pesakit Islam menyesuaikan pengambilan ubat dengan selamat sepanjang Ramadan, serta mengenal pasti individu yang tidak sesuai untuk berpuasa.
+ Ahli farmasi secara umum bersedia memberi kaunseling berkaitan Ramadan
+ Melaraskan kekerapan dos (paling biasa)
+ Menyesuaikan dos, bentuk ubat, atau menukar ubat jika perlu
+ Pelarasan ubat yang selamat ketika berpuasa.
Langkah Praktikal untuk Sokong Pesakit Berpuasa
+ Utamakan sahur, kerana ia membantu mengekalkan tenaga dan kestabilan kesihatan sepanjang hari berpuasa.
+ Pastikan pengambilan cecair mencukupi antara waktu berbuka dengan sahur bagi mengelakkan dehidrasi.
+ Beri perhatian khusus kepada penyakit tertentu seperti kencing manis, migrain dan tekanan darah tinggi yang memerlukan pemantauan lebih rapi semasa berpuasa.
+ Pilih antibiotik dengan kekerapan dos sekali atau dua kali sehari, sekiranya sesuai, bagi memudahkan pematuhan rawatan.
+ Sesuaikan label ubat supaya waktu pengambilan jelas dan tidak mengelirukan.
+ Pastikan keadaan kesihatan membolehkan puasa dilaksanakan dengan selamat dari subuh hingga maghrib, tanpa menimbulkan risiko kepada pesakit.
Jika pengambilan ubat tidak dapat disesuaikan, pesakit boleh dirujuk kepada agamawan untuk panduan alternatif dalam menghormati Ramadan.
Keselamatan Diutama
Dengan perancangan awal, komunikasi terbuka dengan karyawan kesihatan, dan pelarasan yang sesuai, ramai pesakit dapat berpuasa dengan selamat tanpa menjejas rawatan mereka.

