Topic followed successfully
Go to BHkuPentingnya senaman untuk ibadah haji
Pentingnya senaman untuk ibadah haji
Pentingnya senaman untuk ibadah haji
Ibadah haji merupakan satu ibadah yang sangat penting dalam hidup kita.
Kita hanya perlu melaksanakannya sekali sahaja, tetapi perlu melakukannya dengan sempurna.
Dengan itu, persiapan untuk menunaikan haji adalah mustahak.
Perjalanan semasa menunaikan ibadah haji memerlukan stamina dari segi berjalan kaki untuk bergerak dari Mina ke Jamrah sejauh dua hingga lima kilometer dan kita perlu melakukannya tanpa menggunakan alat bantuan berjalan, seperti kerusi roda.
Semasa di Shisha, kita tinggal di pangsapuri setinggi lima tingkat, dan pangsapuri tersebut tidak mempunyai kemudahan lif.
Jadi, dengan itu, kita perlu naik dan turun tangga tanpa menggunakan bantuan.
Kebanyakan kemudahan tandas di Tanah Suci Makkah merupakan tandas cangkung. Kerana tandas duduk adalah terhad bilangannya, kita perlu menyesuaikan diri dengan penggunaan tandas cangkung jika ingin menggunakan tandas dengan segera.
Semasa wuquf di padang Arafah, kita terdedah pada cahaya matahari yang agak terik. Jadi, kita kena menyesuaikan diri kita dengan keadaan matahari terik.
Di Muzdalifah pula kita perlu menyesuaikan diri kita tidur di atas lantai atau di atas tanah yang ditutup dengan permaidani sahaja.
Maka, ibadah haji menuntut kesihatan fizikal dan mental.
Sesuaikan diri dengan berjalan di stadium terdekat enam hingga sepuluh pusingan untuk menyesuaikan diri dengan berjalan kaki dua hingga lima kilometer.
Satu pusingan di stadium merupakan 400 meter.
Kalau boleh, elakkan daripada menggunakan kasut baru takut melecet.
Gunakan kasut yang selesa untuk perjalanan jauh.
Untuk kaum lelaki, anda hanya boleh menggunakan sandal terbuka kerana berada dalam keadaan ihram.
Sesuaikan diri anda dengan naik tangga lima tingkat dan turun tangga lima tingkat di estet perumahan terdekat anda. Gunakan alat pemegang semasa turun tangga kerana takut terjatuh.
Juga digalakkan agar bersenam secara menyangkung dan berdiri lima hingga 10 kali setelah bersenam, untuk menyesuaikan diri dalam keadaan menyangkung ketika menggunakan tandas cangkung.
Lakukan senaman yang saya nasihatkan tadi, sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk membiasakan diri kita berjalan jauh, menaiki tangga, turun tangga, dan bercangkung.
Dari segi pemakanan pula, anda perlu makan makanan seimbang.
Makanan yang perlu diambil dengan berlebihan termasuk daging merah dan lemak-lemaknya. Ini adalah kerana ia dapat membina otot, yang sesuai untuk menjadikan otot dan minda kita kuat.
Kurangkan pemakanan tepung, biskut, dan terlalu banyak sayuran kerana ia boleh menyebabkan masalah sembelit.
Kurangkan makanan dan minuman manis kerana ia boleh menyebabkan kadar gula melonjak.
Jangan lupa... minum air secukupnya. Kalau boleh, minuman bergaram pun perlu diminum seperti air sup kerana kita kehilangan garam dalam peluh kita.
Tanpa garam secukupnya, mungkin kita boleh terkena kekejangan otot.
Usah lupa mengurut kaki semasa berehat kerana besar kemungkinan kebanyakan jemaah akan berasa kakinya penat akibat perjalanan agak jauh.
Di samping itu, bawa bekalan ubat secukupnya. Memandangkan ahli perubatan tidak akan bersama anda semasa haji kelak, anda mungkin perlu membawa ubat peribadi sendiri untuk merawat diri semasa sakit di sana.
Saya galakkan anda bawa bekalan ubat batuk, selesema, sakit tekak, dan demam, sakit perut, cirit-birit cair, dan muntah.
Saya juga menggalakkan anda membawa ubat garam (oral rehydration salts) untuk keadaan di mana anda merasa terlalu kering.
Anda boleh mendapatkan ubat-ubat tersebut dari klinik doktor keluarga peribadi anda.
Semoga anda dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna dan dianugerahkan haji mabrur.
Penulis ialah doktor keluarga, Banyan Clinic@JW.

