Ketika Cik Fatimah (nama samaran), 34 tahun, dibawa berjumpa pakar bedah saraf selepas mengalami sawan buat kali pertama, beliau tidak menyangka pemeriksaan lanjut akan menemukan satu ketumbuhan di otaknya.
Doktor menjelaskan kepadanya keadaan itu dikenali sebagai glioma gred rendah (low-grade glioma, LGG), sejenis tumor otak yang tumbuh perlahan tetapi memerlukan pemantauan dan rawatan rapi.
Pakar Perunding Kanan, Precision Neurosurgery, Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Dr Teo Kejia, memberitahu Cik Fatimah kebanyakan pesakit dengan glioma gred rendah dikesan sama ada selepas mengalami sawan buat kali pertama, atau apabila satu ketumbuhan otak ditemui secara tidak sengaja melalui imbasan yang dilakukan atas sebab lain, seperti siasatan susulan sakit kepala berpanjangan atau kecederaan kepala.
“Ini bukan kes yang jarang berlaku. Ramai pesakit berada dalam keadaan sihat sebelum gejala pertama muncul secara tiba-tiba,” jelas Dr Teo kepada Cik Fatimah.
Dr Teo menjelaskan bahawa rawatan LGG bukan proses segera, tetapi melibatkan perancangan rapi dan kerjasama pelbagai pasukan perubatan.
Jika pembedahan diperlukan, persediaan sebelum prosedur adalah sama penting dengan pembedahan itu sendiri.
Beliau memberitahu bahawa sebelum pembedahan, pesakit akan menjalani penilaian neurokognitif asas bagi mengukur fungsi otak dalam keadaan normal.
Penilaian itu dijalankan oleh ahli terapi pertuturan atau pakar neuropsikologi.
“Penilaian ini penting supaya kami tahu fungsi otak yang perlu dilindungi semasa pembedahan. Ia menjadi titik rujukan semasa prosedur,” ujar Dr Teo.
Dalam sesi berikutnya, doktor menerangkan bahawa pesakit akan diajar beberapa tugasan khusus yang perlu dilakukan semasa pembedahan, seperti menyebut perkataan, mengenal pasti objek atau melakukan pergerakan tertentu.
“Latihan ini dibuat lebih awal supaya awak tidak keliru semasa pembedahan.
“Kami mahu pastikan sebarang kesilapan yang berlaku benar-benar mencerminkan perubahan saraf, bukan kerana kekeliruan atau keletihan,” tambah beliau.
Selain itu, doktor memberitahu bahawa pesakit juga akan bertemu pakar bius saraf, yang akan menerangkan keseluruhan proses pembedahan dan membantu meredakan kebimbangan, khususnya berkaitan kemungkinan pesakit perlu dibangunkan semasa prosedur.
“Ramai pesakit bimbang apabila mendengar tentang pembedahan otak dalam keadaan sedar. Tetapi semua ini dilakukan dengan kawalan rapi dan keselamatan sebagai keutamaan,” ujar Dr Teo.
Bagi Cik Fatimah, penjelasan itu sedikit demi sedikit meredakan ketakutannya.
Pada hari pembedahan, doktor memberitahu pesakit akan diberi sedasi ringan atau bius am terlebih dahulu.
Kawasan pembedahan akan disiap dengan bius setempat pada kulit kepala, pembersihan menyeluruh, dan pencukuran rambut jika perlu.
“Apabila otak terdedah, pakar bius akan membangunkan pesakit secara perlahan. Awak tidak keseorangan. Ahli terapi yang sama akan berada di sisi awak,” jelas Dr Teo kepada Cik Fatimah.
Sepanjang pembedahan, bergantung kepada peringkat dan kawasan otak yang terlibat, pesakit akan diminta melakukan tugasan yang telah dipelajari.
Ahli terapi memantau pertuturan, pergerakan dan fungsi kognitif secara langsung.
“Maklum balas masa nyata ini membolehkan kami membuang sebanyak mungkin tumor dengan selamat. Pada masa yang sama, kami dapat memastikan kawasan otak penting tidak terjejas,” jelas Dr Teo.
Apabila tahap penyingkiran tumor yang dirancang telah dicapai, doktor menerangkan bahawa pesakit akan diberikan sedasi semula.
Tulang tengkorak dipasang kembali dan kulit kepala ditutup sebelum pesakit dipindahkan ke bilik pemulihan.
Semua pesakit akan menjalani imbasan otak selepas pembedahan bagi menilai sejauh manakah tumor berjaya dibuang.
Pemulihan biasanya bermula pada hari berikutnya.
“Bergantung pada lokasi tumor, pemulihan boleh melibatkan fisioterapi, terapi pekerjaan atau terapi pertuturan,” doktor memberitahu Cik Fatimah.
“Ini adalah sebahagian daripada proses untuk membantu awak kembali berfungsi seperti biasa.”
Kebanyakan pesakit akan berada di hospital sekitar seminggu sebelum dibenarkan pulang dan meneruskan pemulihan sebagai pesakit luar.
Doktor menjelaskan keputusan histopatologi, iaitu kajian terhadap tisu tumor yang dikeluarkan, biasanya diperoleh dalam tempoh seminggu.
“Keputusan ini akan menentukan langkah seterusnya.
Sesetengah pesakit memerlukan rawatan tambahan seperti kemoterapi atau radioterapi, manakala yang lain hanya memerlukan pemantauan berkala melalui imbasan MRI,” kata Dr Teo.
Bagi pesakit seperti Cik Fatimah, tempoh menunggu itu sering menjadi saat paling mencemaskan, tetapi juga penting untuk menentukan hala tuju rawatan jangka panjang.
Dalam kes Cik Fatimah, tumpuan utama adalah memastikan pemulihan berjalan lancar dan sebarang tanda perubahan dapat dikesan awal.
Doktor menegaskan dengan pemulihan yang sesuai, kebanyakan pesakit LGG boleh kembali menjalani kehidupan secara berperingkat.
“Pembedahan bukan penamat. Dengan rawatan susulan yang betul, ramai pesakit kembali bekerja, menjaga keluarga dan merancang masa depan,” Dr Teo memberitahu Cik Fatimah.
Bagi Cik Fatimah, setiap penjelasan yang diberikan membantu membina keyakinan.
“Apabila doktor terangkan satu demi satu, saya tahu apa yang bakal saya lalui. Itu yang membuatkan saya berani menghadapinya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg