Topik diikuti
Pergi ke BHkuSakit leher: Usah terus urut atau jalani kiropraktik
Ketegangan yang disangka hanya libat otot mungkin petanda masalah tulang belakang, saraf atau saluran darah
Sakit leher: Usah terus urut atau jalani kiropraktik
Leher terasa sakit dan tegang selepas seharian bekerja mungkin menyebabkan ramai terus mencari tukang urut atau rawatan kiropraktik untuk mendapatkan kelegaan.
Namun, berhati-hati sebelum membenarkan leher dipicit kuat, dipusing atau ‘dipatahkan’.
Ketegangan yang disangka hanya melibatkan otot mungkin sebenarnya petanda masalah pada tulang belakang, saraf atau saluran darah.
Dalam keadaan tertentu, pergerakan atau tekanan kuat atau manipulasi pada leher bukan sahaja boleh memburukkan masalah sedia ada, malah dikaitkan dengan risiko kecederaan saluran darah dan angin ahmar.
Perunding Kanan, Precision Neurosurgery, di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Dr Teo Kejia, berkata masalahnya ialah keadaan serius pada tulang belakang leher kadangkala bermula dengan gejala yang menyerupai sakit leher biasa.
“Bahaya sebenar ialah masalah kesihatan yang mungkin belum diketahui sebelum rawatan dijalankan,” katanya.
Sakit yang tidak hilang, menjalar ke bahu atau lengan, rasa kebas atau mencucuk pada tangan, genggaman semakin lemah, hilang keseimbangan atau pergerakan menjadi semakin kekok boleh menunjukkan saraf atau saraf tunjang mengalami tekanan.
Dalam keadaan seperti itu, urutan atau tekanan kuat pada leher tidak menyelesaikan punca sebenar.
Sebaliknya, ia boleh memberi tekanan tambahan pada bahagian leher yang sudah bermasalah.
Sakit leher mungkin bukan sakit otot dan risiko arteri koyak
Menurut Dr Teo, antara risiko paling serius daripada memanipulasi leher ialah kecederaan pada saluran darah yang membawa darah ke otak.
“Risiko utama sebenarnya melibatkan saluran darah, bukan hanya struktur tulang belakang,” katanya.
Arteri vertebra, iaitu saluran darah yang membawa darah ke otak, melalui bukaan kecil pada tulang leher sebelum menuju ke otak.
Apabila leher dipusing dengan terlalu kuat atau terlalu pantas, saluran darah itu boleh mengalami tekanan.
Dalam keadaan yang jarang berlaku, lapisan dalam arteri boleh terkoyak, ujar beliau.
Kecederaan itu boleh menyebabkan darah beku terbentuk.
Jika darah beku terlepas dan bebas, ia boleh bergerak ke otak, boleh menyumbat saluran darah dan menyebabkan angin ahmar.
Risiko juga boleh meningkat jika seseorang mempunyai saluran darah yang sudah sempit atau dipenuhi plak lemak.
“Risiko ini memang jarang berlaku, tetapi apabila ia berlaku, akibatnya boleh menjadi serius,” tambah Dr Teo.
Menurut satu kajian, kira-kira seorang daripada setiap 48 pakar kiropraktik melaporkan pernah berdepan kes sedemikian sepanjang kerjaya mereka.
Lebih membimbangkan katanya ialah seseorang mungkin tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai masalah sebelum mendapatkan rawatan.
Pesakit mungkin sebenarnya mengalami keretakan tulang yang belum dikesan atau kecederaan pada saluran darah yang baru bermula, tetapi menyangka ia hanya sakit leher biasa.
Terdapat kes yang didokumentasikan apabila pesakit datang dengan ‘sakit leher’, tetapi pemeriksaan mendapati arteri mereka koyak.
Imbasan yang dilakukan sebelum manipulasi dalam kes sedemikian dapat mengenal pasti masalah sebenar dan mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Atas sebab itu, Dr Teo mengambil pendirian tegas terhadap manipulasi leher.
“Pada pandangan saya, manipulasi leher secara umum tidak seharusnya dilakukan.
“Urutan leher jauh lebih selamat dan sudah memadai untuk memenuhi tujuan melegakan kekejangan otot,” katanya.
Siapa perlu lebih berhati-hati?
Sesetengah individu mempunyai risiko lebih tinggi berbanding yang lain.
Antaranya mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi, saluran darah yang rapuh atau masalah saluran darah pada leher.
Mereka yang kerap melakukan kegiatan yang memberi tekanan kepada leher, termasuk yoga dan sukan lasak, yang melibatkan sentuhan fizikal, juga perlu berhati-hati.
Risiko turut meningkat dalam kalangan pesakit yang mengalami masalah tulang belakang leher yang teruk sehingga menekan saraf atau saraf tunjang, kerapuhan tulang atau pernah menjalani pembedahan leher.
Ini termasuk mereka yang mempunyai cakera tiruan atau skru yang dipasang pada tulang belakang selepas pembedahan.
Kebanyakan sakit leher tidak bahaya, usah abai kebas dan tangan lemah
Bagaimanapun, kebanyakan kes sakit leher sebenarnya berpunca daripada masalah otot, ligamen dan sendi, bukannya saraf atau saraf tunjang.
Hampir separuh penduduk mengalami sakit leher sekurang-kurangnya sekali setahun, dengan wanita lebih kerap terjejas berbanding lelaki.
Sebahagian besar kes berpunca daripada otot leher yang terlalu tegang akibat pergerakan berulang, postur yang kurang baik atau berada terlalu lama dalam kedudukan yang sama.
Hanya sekitar 10 peratus kes dikaitkan dengan penyakit lain seperti artritis tertentu, ketumbuhan atau jangkitan.
Masalah saraf pada leher jarang berlaku
Sebagai contoh, saraf yang terhimpit di bahagian leher boleh menyebabkan sakit atau kebas yang menjalar hingga ke lengan dan tangan.
Keadaan ini jarang berlaku, dengan sekitar 83 kes bagi setiap 100,000 orang setahun.
Namun, walaupun jumlahnya kecil, masalah saraf tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya boleh menjadi lebih serius.
“Seseorang perlu memberi perhatian kepada gejala baharu yang muncul seiring sakit leher, bukan hanya tahap kesakitannya.
“Kebas, kesemutan atau kelemahan yang merebak ke lengan dan tangan antara tanda penting.
“Jika tangan menjadi lemah sehingga sukar melakukan perkara mudah seperti memasang butang baju, ia mungkin menunjukkan saraf di leher sedang terhimpit,” kata Dr Teo.
Kaki terasa ‘berat’, hilang keseimbangan atau pergerakan menjadi kekok pula boleh menunjukkan tekanan pada saraf tunjang.
Kesukaran berjalan atau perubahan koordinasi juga tidak harus dipandang ringan.
Sesetengah pesakit menyifatkan keadaan itu umpama “berjalan di atas awan”.
Lebih serius jika seseorang tiba-tiba hilang kawalan pundi kencing atau usus, kerap terjatuh atau mengalami perubahan pergerakan secara mendadak.
Keadaan seperti itu memerlukan pemeriksaan perubatan segera.
Sakit leher yang disertai pening, penglihatan berganda, pertuturan tidak jelas, sukar menelan atau tiba-tiba hampir pengsan juga perlu diberi perhatian.
Gejala itu boleh menunjukkan gangguan pada saluran darah di belakang leher, termasuk kemungkinan kecederaan arteri atau angin ahmar.
Demam, menggigil dan berasa tidak sihat, sakit serta kekakuan leher pula boleh menjadi petanda jangkitan serius seperti meningitis.
TANDA AMARAN
Satu lagi tanda amaran ialah rasa seperti renjatan elektrik yang bergerak dari leher ke bawah tulang belakang apabila kepala ditundukkan.
Ia boleh menjadi petanda masalah pada saraf tunjang.
Sakit leher selepas kemalangan atau kecederaan juga tidak seharusnya terus diurut, terutama jika tulang leher terasa sakit apabila disentuh.
Pemeriksaan diperlukan untuk memastikan tiada keretakan.
“Jika mana-mana tanda amaran ini muncul, jangan tunggu,” kata Dr Teo.
Jika doktor mengesyaki saraf tunjang mengalami tekanan, pesakit memerlukan penilaian segera.
Bagi sakit leher biasa tanpa tanda amaran, seseorang secara umumnya disarankan mendapatkan pemeriksaan pakar jika sakit berlarutan lebih dari kira-kira enam minggu, menjadi semakin teruk atau berlaku selepas kecederaan.
Imbasan bukan segala-galanya
Dr Teo turut mengingatkan bahawa keputusan imbasan yang menunjukkan tulang belakang sudah mengalami “haus dan lusuh” tidak semestinya bermakna itulah punca sakit.
Perubahan pada cakera dan sendi tulang belakang semakin lazim apabila seseorang meningkat usia dan ia boleh ditemui pada individu yang langsung tidak mengalami sakit.
Satu kajian mendapati cakera yang menonjol terdapat pada 29 peratus individu berusia 20 tahun yang tidak mempunyai sebarang gejala.
Angka itu meningkat kepada 43 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 80 tahun.
Perubahan pada sendi tulang belakang pula ditemui pada 4 peratus individu berusia 20 tahun tanpa gejala dan 83 peratus mereka yang berusia 80 tahun.
Justeru, keputusan imbasan perlu dinilai seiring gejala dan pemeriksaan doktor untuk menentukan punca sebenar sakit itu.
Bagi mereka yang mengalami sakit leher luar biasa, terutama jika disertai kebas, kelemahan, masalah berjalan atau hilang keseimbangan, mesejnya mudah iaitu jangan terus menganggap ia sekadar sakit otot.
Ketahui puncanya terlebih dahulu sebelum membenarkan leher diurut dengan kuat, dipusing atau dimanipulasi.
