Topik diikuti
Pergi ke BHkuYe Kung: S’pura perlu bangun ekon usia panjang tanpa naikkan kos kesihatan
Ye Kung: S’pura perlu bangun ekon usia panjang tanpa naikkan kos kesihatan
Ye Kung: S’pura perlu bangun ekon usia panjang tanpa naikkan kos kesihatan
Sedang Singapura membangunkan ekonomi usia panjang dengan memperkukuh sektor seperti sains bioperubatan, pemakanan dan kecerdasan buatan (AI), ia mesti meningkatkan kehidupan rakyat tanpa menaikkan kos penjagaan kesihatan.
Demikian kata Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung, di ‘Longevity Forum’ (Forum Usia Panjang) anjuran The Business Times, di Auditorium SPH Media, pada 25 Julai.
Ini memandangkan negara akan menjadi masyarakat yang sangat menua, dengan generasi warga emas yang dalam kedudukan lebih berada berbanding generasi sebelumnya.
Justeru, golongan ini mempunyai kuasa beli dan kemampuan yang lebih besar untuk berbelanja bagi keperluan persaraan, produk pelaburan, insurans, pelancongan, kesejahteraan dan penjagaan kesihatan.
Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata warga emas hari ini mempunyai keperluan dan jangkaan berbeza, dan lebih banyak sumber untuk dibelanjakan.
“Penurunan simpanan seumur hidup dan keinginan untuk membangunkan kesihatan serta menjalani kehidupan yang lebih baik akan memacu pertumbuhan ekonomi usia panjang,” katanya.
Namun beliau memberi amaran bahawa pertumbuhan dalam sektor ini tidak seharusnya menjejas penjagaan kesihatan yang baik.
Menurut The Straits Times, rakyat Singapura hidup kira-kira 10 tahun lebih lama daripada purata penduduk di seluruh dunia, tetapi jangka hayat yang panjang datang seiring realiti baharu.
Beliau memberi amaran terhadap ujian dan rawatan yang tidak perlu kerana ia akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan tanpa menambah hasilnya.
“Dalam keadaan yang tidak wajar, seperti insurans kesihatan yang terlalu murah hati yang menggalakkan penggunaan berlebihan, kita memerlukan industri insurans untuk menyahut seruan pemerintah dalam mengawal produk sedemikian, dan industri ini sedang berbuat demikian,” tambahnya.
Beliau berkata walaupun sebahagian daripada penjagaan kesihatan meningkatkan mutu hidup, sebahagian besar perbelanjaan penjagaan kesihatan masih berkaitan dengan memulihkan kesihatan, atau menguruskan penyakit, selalunya dalam keadaan bimbang dan resah.
“Jika perkhidmatan berlebihan dan rawatan yang tidak perlu berkembang biak, kita tidak membangunkan kesihatan atau kekayaan.
“Kita telah mencipta kos. Ini berlaku di setiap pelosok dunia dan menjadikan penjagaan kesihatan semakin mahal dan tidak mampu dinikmati,” katanya.
Menurutnya, di sinilah pemerintah perlu memandang ke hadapan dan bekerjasama dengan industri untuk membentuk pasaran ke arah yang betul, daripada “hanya mengawal selia dari jauh”.
Ia termasuk menetapkan matlamat kesihatan awam yang jelas dan rangka kerja dasar seperti SG Lebih Sihat, Sihat Menua SG atau skim label gred khasiat, Nutri-Grade, yang boleh disumbangkan industri.