Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan HPB: 95% rakyat S’pura lebihi had pengambilan garam harian
Tinjauan HPB: 95% rakyat S’pura lebihi had pengambilan garam harian
Sebanyak 95 peratus atau hampir semua rakyat Singapura mengambil terlalu banyak garam dalam makanan harian mereka pada 2025, sekali gus meningkatkan risiko menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi.
Peratusan ini lebih tinggi berbanding 88 peratus dan 90 peratus yang masing-masing dicatatkan pada 2019 dan 2022.
Demikian menurut Tinjauan Pemakanan Kebangsaan (NNS) 2025 oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) yang diterbitkan pada 3 Oktober.
Tinjauan itu diterbitkan seiring perangkaan tahunan Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2025 oleh Kementerian Kesihatan (MOH).
Dapatan NNS terkini mendapati pengambilan garam harian secara purata dalam kalangan rakyat Singapura telah meningkat daripada 3,480 miligram (mg) pada 2019 kepada 4,000 mg pada 2025.
Ini adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada purata pengambilan garam harian yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu di bawah 2,000 mg, atau lebih kurang satu sudu teh.
Tinjauan itu turut mendapati pengambilan kalori secara purata meningkat daripada 2,360 kilokalori (kcal) pada 2019 kepada 2,460 kcal pada 2025 – peningkatan 100 kcal sepanjang enam tahun.
Jumlah ini lebih tinggi daripada pengambilan kalori harian yang disarankan HPB, iaitu antara 1,800 dengan 2,200 kcal, berdasarkan laman web rasmi kesihatan pemerintah, healthhub.sg.
Malah, lebih separuh atau 57 peratus daripada rakyat Singapura mempunyai pengambilan kalori yang melebihi jumlah disarankan, selepas mengambil kira tenaga yang diperlukan daripada kegiatan fizikal, tambah laporan itu.
Perangkaan ini meneruskan trend yang melihat lebih separuh daripada rakyat Singapura mempunyai pengambilan kalori melebihi jumlah disarankan sepanjang tempoh enam tahun lalu, sejak 2020
Menurut jurucakap HPB, pengambilan 50 kalori berlebihan daripada jumlah yang disarankan setiap hari boleh meningkatkan berat badan sebanyak 2.4 kilogram setiap tahun.
Menjelaskan lanjut tentang dapatan NNS kali ini, jurucakap HPB menambah bahawa peningkatan kandungan kalori ini didorong oleh pengambilan tinggi makanan ruji diproses dan makanan berlemak, khususnya yang mengandungi lemak tepu.
Makanan ruji diproses merujuk kepada makanan yang tinggi kandungan kanji dan rendah kandungan serat seperti nasi atau roti putih.
Menurut laporan itu, makanan ruji diproses membentuk 59 peratus daripada jumlah karbohidrat yang diambil oleh seseorang individu pada 2025, berbanding 53 peratus pada 2019.
Lemak tepu pula membentuk 35 peratus daripada makanan berlemak, jauh lebih tinggi daripada had 30 peratus lemak tepu dalam makanan berlemak yang disarankan HPB.
Malah, laporan itu turut mendapati lebih ramai rakyat Singapura makan di luar secara kerap berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus mendorong kenaikan pada jumlah kalori dan garam dalam kalangan rakyat di sini.
Ia mendapati tujuh daripada 10 rakyat Singapura makan di luar sekurang-kurangnya satu kali sehari.
Rakyat Singapura pula didapati makan di luar dengan kadar kekerapan purata sembilan kali seminggu.
Bagi golongan yang kerap makan di luar ini, mereka mempunyai pengambilan kalori lebih tinggi, iaitu sebanyak 2,682 kcal, berbanding golongan yang kurang makan di luar, iaitu 2,261 kcal, tambah laporan itu.
Dalam satu kenyataan bersama pada 3 Oktober, HPB dan MOH berkata:
“Rakyat Singapura juga terus mengambil makanan diproses, yang menyumbang kepada jumlah pengambilan garam yang lebih tinggi.
“Walaupun garam, sos dan perencah tambahan dalam makanan yang dimasak – seperti hidangan berkuah dan bersos – kekal sebagai penyumbang terbesar (60 peratus) dalam kalangan mereka yang mempunyai pengambilan garam tertinggi, makanan diproses seperti mi segera merupakan penyumbang kedua terbesar.
“Ia menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah pengambilan garam mereka.”
Justeru, HPB telah melancarkan kempen ‘Minta kurang garam atau sos’ pada 22 September yang berlangsung selama dua bulan bagi mengubah tingkah laku penduduk terhadap pengambilan garam dan sos.
Sehubungan itu, pengambilan gula dalam kalangan rakyat Singapura didapati berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut NNS 2025, pengambilan gula harian telah turun daripada 60 gram pada 2018 kepada 48 gram pada 2025, dengan lebih ramai rakyat Singapura berada dalam lingkungan had pengambilan gula harian yang disarankan – iaitu sekitar 50 gram atau 10 sudu teh gula.
Penurunan ini, kata HPB, didorong oleh penurunan kadar gula dalam minuman secara purata, dan tabiat pengguna yang lebih cenderung ke arah pengambilan minuman lebih sihat menerusi skim label gred khasiat Nutri-Grade.
Diumumkan pada 2019, minuman ringan diberi empat gred iaitu A, B, C dan D – D gred terendah atau paling kurang sihat, memandangkan produk itu mempunyai kadar gula dan lemak tepu tinggi.
Skim itu kemudian diperluaskan kepada kedai makanan dan minuman (F&B) yang perlu meletakkan label pemakanan pada menu bagi minuman yang baru disediakan, seperti minuman teh buih atau bubble-tea.
Skim ini akan dilanjutkan kepada produk barangan runcit yang mengandungi kadar garam tinggi – seperti garam, perasa dan mi segera – menjelang 2028.
MOH dan HPB berkata:
“Dapatan kami menunjukkan penduduk semakin mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan mengurangkan pengambilan gula, namun adanya keperluan untuk pantau peningkatan pengambilan kalori, lemak dan garam dalam pemakanan mereka.”