Setelah menunggu sekian lama untuk menjalani ibadah haji, alangkah baiknya jika ia dapat dijalankan dengan sempurna.

Namun, adakah persediaan kesihatan juga telah diambil dari awal bagi merebut peluang sekali seumur hidup bagi ramai penduduk Singapura?

Kriteria Kesihatan

Dari 2025, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan perlunya memenuhi kriteria kesihatan sebelum menjalani ibadah haji.

Bakal jemaah haji perlu mendapatkan sijil kesihatan yang memperakui tahap kecergasan, khususnya untuk memastikan anggota jemaah haji memiliki daya tahan dalam menghadapi suhu tinggi dan keperluan berjalan jauh.

Syarat perubatan tertentu mengecualikan individu daripada menjalani ibadah haji.

Ia termasuk kegagalan organ utama (misalnya, perlu bergantung pada dialisis; penyakit jantung atau paru-paru yang teruk; barah tahap lanjut (sedang menjalani kemoterapi atau radioterapi); isu psikiatri atau kognitif yang teruk (misalnya, demensia); dan kehamilan berisiko tinggi atau berada dalam trimester akhir.

Namun, tanpa masalah kesihatan ini sekarang tidak menjamin seseorang individu boleh melaksanakan ibadah haji pada masa hadapan.

Persediaan dari segi fizikal dan mental perlu dimulakan dari sekarang sama ada giliran dianggarkan akan menjelang tiba tidak lama lagi atau masih bertahun sebelum mendapat undangan.

Sakit Kronik Kian Jejas Tua dan Muda

Setelah sekian lama menunggu, dengan meningkatnya kelaziman penyakit kronik yang turut menjejas anak muda, prospek masa depan tidak memberangsangkan.

Bagaimanapun, trajektori itu boleh diubah jika setiap individu bertanggungjawab mulai hari ini untuk menukar keadaan yang yang amat membimbangkan itu.

Adalah sukar untuk lari daripada perangkaan yang menggugat jiwa dan mengancam kesejahteraan hidup di samping kos kehidupan dan rawatan yang meningkat.

Buat masa ini, kelaziman penyakit kencing manis menjejas seorang daripada setiap lapan penduduk Melayu di Singapura; dan seorang dalam setiap dua warga lanjut usia.

Bagi golongan remaja pula, seorang daripada lima belia berusia 18 tahun dan ke atas lazim menghidapi prakencing manis dengan risiko menghidapi diabetes dalam masa berbulan atau bertahun.

Seorang dalam dua pula mempunyai masalah berat badan; dan seorang daripada lima individu termasuk belia berhadapan isu kegemukan

Menyentuh tentang kerumitan dan risiko tambahan, hampir seorang daripada tiga pesakit menghidapi kegagalan ginjal tahap lanjut.

Hampir seorang bagi setiap dua individu mengalami masalah serangan jantung; dan lebih daripada seorang daripada dua merokok dalam kalangan lelaki.

Di samping itu, kelaziman pesakit yang terpaksa melalui amputasi disebabkan saluran darah tersumbat adalah tertinggi dalam kalangan penduduk Melayu.

Ini tidak termasuk penyakit ekoran masalah pernafasan yang disebabkan oleh kerosakan paru-paru dan barah pelbagai organ yang dikaitkan dengan bahan kimia daripada rokok.

Ia boleh menjejas perokok dan mereka yang di sekelilingnya.

Yang pasti, aspek kesihatan boleh menjadi penghalang utama dalam pelaksanaan ibadah haji.

Usaha Kawal Sakit Kronik

Bagi pesakit kronik seperti kencing manis, keadaan akan menjadi tidak stabil dengan perubahan cuaca dengan suhu yang tinggi dan kering.

Ini disertai apabila bakal haji tidak biasa melakukan kegiatan fizikal seperti berjalan jauh secara berterusan terutama sekali ketika mengenakan pakaian sehelai sepinggang dengan memakai selipar untuk memenuhi keperluan ihram.

Perubahan jadual seharian tentunya memberi kesan besar bagi kawalan tahap glukosa dalam badan.

Begitu juga peningkatan tahap kegiatan secara tiba-tiba adalah mencabar.

Dapat dianggarkan daripada kajian yang menunjukkan kekurangan tahap kegiatan fizikal yang mencukupi dalam kalangan penduduk Singapura.

Masalah berjalan mungkin timbul disebabkan ulser kaki dan sakit sendi atau otot.

Ia kerap timbul dalam kalangan jemaah, apatah lagi bagi pesakit kencing manis dengan kulit yang lebih mudah rosak disebabkan masalah saraf dan mereka yang memilki berat badan berlebihan.

Pemeriksaan kaki perlu dijalankan sebelum berlepas. Dapatkan nasihat peribadi dan ambil langkah berjaga-jaga termasuk mendapatkan alas kaki yang disesuaikan.

Jadual Vaksinasi Tetap Elak Penyakit Berjangkit

Bagi yang menghidapi penyakit kencing manis, tanpa kawalan glukosa yang optimum, terdapat risiko dijangkiti pelbagai penyakit seperti radang paru-paru, jangkitan kuman lain dan sakit kayap meningkat ketika mengalami tekanan.

Apatah lagi dengan pendedahan kepada bilangan anggota jemaah yang sebegitu ramai dari seluruh pelosok dunia.

Begitu juga bagi mereka yang menghidapi penyakit kronik lain termasuk berat badan berlebihan dan sindrom metabolik.

Meskipun individu disaran melengkapkan jadual vaksinasi, selain yang diperlukan untuk mendapat kelulusan visa haji, hanya segelintir sahaja pesakit dan warga emas yang tekun mengambil tindakan perlindungan secara tetap.

Malah, ramai tidak mengambilnya, sekali gus berhadapan risiko tinggi jatuh sakit ketika menjalani ibadah haji dan merugikan diri setelah diberi peluang keemasan ini.

Malahan, ia mungkin menjejas keluarga yang menjalani ibadah bersama.

Tentu sahaja ibadah tidak dapat disempurnakan tanpa kesihatan yang dijaga.

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan dicontohi, bukankah lebih baik memastikan kesihatan berada pada tahap optimum sebelum menyahut seruan Ilahi?

Lebih banyak persediaan awal perlu dilakukan di peringkat individu.

Dengan usaha tetap untuk bersenam secara kerap; berhenti merokok dari awal untuk memulihkan paru-paru dan jantung; mendapatkan pertolongan bagi masalah seperti rawatan pernafasan; mengawal penyakit kronik ke tahap optimum; dan menurunkan berat badan bagi mengurangkan kelelahan; masalah pernafasan dan sindrom metabolik yang lain; ia dapat menjamin pengalaman yang lebih baik dan lancar ketika di rantauan.

Selaras Rawatan bagi Jemaah Ibadah Haji

Tentu sekali dengan perubahan cuaca, kegiatan dan makanan di rantauan, rawatan perlu diselaraskan.

Sebelum mendapatkan sijil pengesahan, kawalan optimum perlu bukan sahaja bagi sebarang penyakit kronik, malah penyakit yang baru timbul.

Bagi mereka yang menerima pelbagai jenis rawatan, perlu untuk mendapatkan nasihat setiap penjaga kesihatan bagi menyelaraskan rawatan.

Rawatan mungkin perlu disesuaikan semasa berada dalam penerbangan berangkat dan pulang, serta bagi setiap kegiatan dalam ibadah haji.

Pertukaran rawatan – sama ada dikurangkan atau ditambah – seperti kesan rawatan pada tahap glukosa, tekanan darah, tahap cecair badan dan dehidrasi, kepekatan atau ketipisan darah, boleh memberi kesan berbeza dalam mengawal penyakit di samping interaksi antara pemakanan dengan ubat-ubatan lain.

Maka itu, perancangan teliti amat penting.

Bukan sahaja kelengkapan rawatan, malah, peralatan untuk pemantauan termasuk mesin pemantau dan bahan berkaitan seperti jarum suntikan memerlukan bekalan yang mencukupi dengan mengambil kira penerbangan yang mungkin tertangguh disebabkan pergolakan politik Timur Tengah.

Keperluan perlindungan yang mencukupi termasuk insurans, peraturan penjagaan perubatan dan aturan penjagaan kecemasan adalah penting dan perlu ditetapkan lebih awal serta tidak boleh diabaikan.

Memandangkan kelaziman kencing manis yang belum dikenal pasti dalam kalangan penduduk Melayu didapati seorang dalam empat menurut tinjauan kesihatan penduduk negara dua tahun lalu, ujian saringan perlu bagi mengelakkan keadaan krisis di rantauan.

Tanpa ujian saringan untuk mengenal pasti sebarang penyakit yang dapat dirawat hingga ke tahap optimum sebelum berangkat, tentu sekali peluang menjalani ibadah haji akan terlepas tanpa pengesahan doktor jika diketahui lewat atau jatuh sakit dan tidak dapat menyempurnakan rukun Islam ini.

Menjaga kesihatan badan sendiri itu adalah amanah yang diberikan kepada setiap individu.

Tiada alasan menunda tanggungjawab menjaga kesihatan ini hingga ia menghalang pelaksanaan ibadah yang dituntut sekian hari.

Garis panduan untuk kesihatan telah lama diterbitkan.

Persediaan untuk perjalanan sekali seumur hidup seharusnya dimulakan bertahun-tahun atau berbulan-bulan sebelum perjalanan itu dimulakan agar ia dapat menjadi kenangan manis dan pengalaman yang tidak mengecewakan.

Sediakan payung sebelum hujan.

Apa yang pasti, mencapai tahap kesihatan terbaik menjadi landasan bagi mendapatkan yang terbaik di dunia dan akhirat.

Penulis Pakar Perunding Kanan, Endokrinologi, di Ascensus Health Specialist Centre.