Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsia muda bukan jaminan kalis barah usus dan rektum
Pendarahan dari dubur sering dikaitkan dengan buasir.
Tetapi darah dalam najis yang berterusan, perubahan tabiat membuang air besar atau kehilangan berat badan tanpa sebab boleh menjadi petanda masalah lebih serius termasuk barah kolorektal.
Perbezaan itu semakin penting untuk diketahui apabila barah kolorektal kini semakin dikesan dalam kalangan orang dewasa lebih muda, termasuk mereka yang berusia bawah 50 tahun.
Pengarah Perubatan Aelius Surgical Centre di Mount Elizabeth Orchard, Dr Chok Aik Yong, berkata peningkatan kes dalam golongan muda membimbangkan kerana mereka sering didiagnosis apabila penyakit sudah berada pada tahap lebih lanjut dan lebih sukar dirawat.
Di Singapura, data menunjukkan peningkatan barah kolorektal yang berlaku pada usia muda, khususnya barah rektum, dalam kalangan mereka yang berusia bawah 50 tahun.
“Peningkatan barah kolorektal dalam kalangan orang dewasa lebih muda membimbangkan kerana pesakit muda sering didiagnosis pada tahap lebih lewat, apabila penyakit sudah lebih lanjut dan lebih sukar dirawat,” kata Dr Chok.
Trend itu, ujar beliau, menunjukkan perlunya kesedaran lebih tinggi terhadap tanda awal penyakit dan menimbulkan persoalan sama ada pemeriksaan bagi kumpulan tertentu yang berisiko perlu dimulakan pada usia lebih muda pada masa depan.
Antara masalahnya ialah beberapa gejala barah kolorektal hampir sama dengan buasir.
Ini menyebabkan seseorang mungkin menganggap pendarahan dari dubur sebagai masalah biasa dan menangguhkan pemeriksaan.
Menurut Dr Chok, walaupun kedua-dua penyakit boleh menyebabkan pendarahan, terdapat beberapa perbezaan yang perlu diperhatikan.
Bagi buasir, darah biasanya berwarna merah terang dan boleh kelihatan pada kertas tandas, menitis ke dalam mangkuk tandas atau berada pada permukaan luar najis.
Pendarahan biasanya berlaku ketika atau selepas membuang air besar.
Bagi barah kolorektal pula, darah boleh berwarna merah terang, merah gelap atau hitam seperti tar dan sering bercampur dengan najis.
Pendarahan juga boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak semestinya berkaitan dengan proses membuang air besar.
Perubahan tabiat membuang air besar turut menjadi petunjuk penting, ujar Dr Chok.
Buasir secara umum, tidak mengubah tabiat membuang air besar, walaupun meneran atau najis keras boleh mencetuskan atau memburukkan keadaan tersebut.
Menurut Dr Chok, barah kolorektal pula boleh menyebabkan perubahan yang berterusan, termasuk tiba-tiba mengalami sembelit atau cirit-birit, atau kedua-duanya secara berselang-seli.
Dari segi rasa sakit, buasir sering menyebabkan sakit, gatal, rasa pedih atau ketulan lembut di sekitar dubur.
“Ketumbuhan barah kolorektal pula lazimnya tidak menyebabkan kesakitan secara langsung pada peringkat awal.
Sebaliknya, pesakit mungkin kerap membuang angin, mengalami kekejangan dan kembung perut, atau berasa seolah-olah najis masih belum dikeluarkan sepenuhnya walaupun selepas membuang air besar,” ujar Dr Chok lagi.
Tanda amaran lain yang lebih membimbangkan ialah kehilangan berat badan tanpa sebab, keletihan berterusan, badan lemah dan anemia atau kekurangan sel darah merah akibat kehilangan darah secara perlahan dan berpanjangan.
Gejala sedemikian biasanya tidak dikaitkan dengan buasir kerana masalah itu lazimnya tertumpu di kawasan dubur dan tidak menjejas seluruh tubuh.
Tempoh gejala juga boleh memberikan petunjuk.
Gejala buasir lazimnya datang dan pergi serta boleh bertambah baik dalam beberapa hari atau minggu, terutama selepas perubahan gaya hidup atau penggunaan rawatan yang boleh diperoleh tanpa preskripsi.
Sebaliknya, gejala barah kolorektal cenderung berterusan dan menjadi semakin teruk serta tidak pulih selepas seseorang melalui rawatan biasa untuk buasir.
Justeru, darah dalam najis tidak harus secara automatik dianggap berpunca daripada buasir, terutama apabila ia berlaku berulang kali atau disertai perubahan lain pada tubuh.
Golongan muda juga tidak seharusnya menganggap mereka terlalu muda untuk menghidap barah kolorektal.
Menurut Dr Chok, beberapa faktor boleh meningkatkan risiko penyakit itu tanpa mengira usia.
Antaranya ialah mempunyai anggota keluarga terdekat yang pernah menghidap barah kolorektal, keadaan genetik tertentu yang diwarisi serta sejarah mempunyai jenis polip tertentu dalam usus yang boleh berubah menjadi barah dari semasa ke semasa.
Mereka yang mempunyai penyakit radang usus seperti penyakit Crohn atau kolitis ulseratif juga menghadapi risiko lebih tinggi.
Faktor gaya hidup turut dipercayai memainkan peranan, walaupun punca sebenar peningkatan barah kolorektal dalam kalangan orang muda masih dikaji.
Antara faktor yang dikenal pasti pakar ialah obesiti atau berat badan berlebihan, kurang melakukan kegiatan fizikal, pemakanan tinggi daging merah atau daging diproses, merokok dan pengambilan alkohol secara berlebihan.
Dr Chok berkata tiada kaedah yang dapat menjamin seseorang tidak akan mendapat barah kolorektal, tetapi risiko boleh dikurangkan menerusi gaya hidup lebih sihat.
Antaranya ialah bersenam secara tetap, mendapatkan serat yang mencukupi daripada makanan, mengawal jumlah kalori dan karbohidrat serta mengurangkan gula dan kanji yang diproses.
Orang ramai turut digalakkan memilih daging tanpa lemak dan ikan, selain mengurangkan pengambilan daging merah, makanan diproses dan alkohol.
Selain perubahan gaya hidup, pemeriksaan memainkan peranan penting kerana barah kolorektal yang dikesan lebih awal mempunyai peluang rawatan yang lebih baik.
“Kolonoskopi secara berkala terbukti dapat mengurangkan dengan ketara kejadian dan kematian akibat barah kolorektal,” kata Dr Chok.
Mereka yang berusia lebih 45 tahun boleh menjalani pemeriksaan barah kolorektal untuk membantu mengesan penyakit pada peringkat awal apabila ia lebih mudah dirawat.
Bagi mereka yang lebih muda tetapi mempunyai sejarah keluarga atau faktor risiko tertentu, nasihat doktor boleh diperoleh mengenai sama ada pemeriksaan perlu dimulakan lebih awal.
Dr Chok turut mengingatkan bahawa setakat ini tiada bukti saintifik yang menunjukkan pengambilan antioksidan, kaedah pembersihan usus besar atau ubat herba boleh mengurangkan risiko mendapat barah kolorektal.
Yang lebih penting adalah tidak mengabaikan perubahan pada tubuh.
“Jika pendarahan dari dubur atau darah dalam najis berterusan, terutama jika disertai perubahan tabiat membuang air besar, sakit perut berpanjangan, kehilangan berat badan tanpa sebab atau keletihan luar biasa, pemeriksaan doktor perlu dilakukan dan bukannya menganggapnya sekadar buasir,’’ jelas Dr Chok.
