Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetibaan kambing korban di Masjid Al-Istighfar lancar, teratur
Ketibaan kambing korban di Masjid Al-Istighfar lancar, teratur
Sukarelawan muda rela korbankan tidur dinihari untuk bantu kendali korban di Pasir Ris
Ketibaan kambing korban di Masjid Al-Istighfar lancar, teratur
Suasana di Masjid Al-Istighfar diselubungi keheningan seawal 2.30 pagi pada 26 Mei, dengan sekitar 30 orang kelihatan santai berehat, sementara menantikan ketibaan haiwan ternakan bagi ibadah korban sempena Aidiladha pada 27 Mei.
Ada dalam kalangan mereka yang tiba seawal 11 malam pada malam sebelumnya (25 Mei).
Di kala ramai sedang tidur lena, pengendali haiwan, Encik Danish Nabil Anwar Ansari Nazeem, setia menunggu bersama ahli keluarga dan rakan-rakan
Namun, pada kira-kira 3 pagi, suasana sepi itu berubah serta-merta menjadi rancak dan hiruk-pikuk.
Encik Danish, 24 tahun, bersama para sukarelawan lain bingkas bangun dengan penuh teruja, menyarung sarung tangan, lantas menuju ke arah lori-lori kargo besar yang baru sahaja tiba dan tiba dengan bau unik haiwan ternakan menusuk ke hidung.
Pekarangan Masjid Al-Istighfar akhirnya kembali bergema dengan bunyi ‘embek’ kambing biri-biri, menghidupkan semula suasana yang sudah lama tidak dirasai di Pasir Ris sejak 2019.
Kambing biri-biri itu telah dihantar ke tiga masjid – Al-Istighfar, Omar Salmah dan Tentera Diraja – yang akan menjalankan ibadah korban pada dinihari 27 Mei.
Sebanyak 350 kambing biri-biri dan domba selamat tiba di Masjid Al-Istighfar, dengan baki kambing dihantar ke dua lagi masjid, tadika Muhammadiyah dan Rumah Peralihan Pertapis.
Bagi Encik Danish, peluang berbakti kepada operasi korban di Masjid Al-Istighfar lebih bermakna sebagai penduduk Pasir Ris.
“Saya sangat bangga kerana ibadah korban dapat kembali dilaksanakan di sini selepas tujuh tahun, dan saya memerhatikan ramai orang teruja tampil untuk menjadi sukarelawan.
“Namun, saya lebih terharu kerana berpeluang membantu di kawasan kejiranan saya sendiri,” katanya.
Ini kali kelima beliau menjadi sukarelawan bagi operasi ibadah korban, yang biasanya dikendalikan bersama saudara-maranya.
Sebelum ini, beliau pernah menghulur bantuan di Masjid Kampung Siglap dan Al-Wehdah (Persatuan Arab).
“Secara jujurnya, saya takut melihat darah. Jadi kali ini, saya harap dapat membina keyakinan untuk menggalas tugas penyembelih pula pada tahun depan (2027),” tambahnya.
Ibadah korban akan dijalankan di empat masjid pada 2026.
Tiga masjid, bagaimanapun, tidak berpeluang mengadakan ibadah korban, sebagaimana yang diumumkan selepas pembekal haiwan korban mereka gagal mendapatkan kebenaran untuk mengeksport haiwan korban dari Australia sebelum Hari Raya Haji pada 27 Mei.
Masjid Jamae Chulia turut terjejas, tetapi ia mempunyai pembekal dari ladang haiwan setempat, iaitu AgroMasters Pte Ltd, yang juga akan menyelia operasi korban yang melibatkan sekurang-kurangnya 100 ekor kambing di sana
Berita Harian (BH) menyaksikan ketibaan haiwan korban Aliyah Rizq di Pusat Pengendalian Kargo Udara Changi (CAC) dan selanjutnya di Masjid Al-Istighfar pada sekitar 3 pagi pada 26 Mei.
Haiwan ternakan tersebut telah berlepas dari Australia pada 25 Mei dan tiba di CAC sekitar 1.05 pagi pada 26 Mei.
Kemudian, kambing biri-biri itu dipindahkan ke dalam palet (peti kayu), yang boleh memuatkan 50 ekor setiap satu, dengan sekitar 20 palet sedemikian diangkut menggunakan lori.
Haiwan ternakan tersebut ditempatkan di ruang operasi di padang bersebelahan dengan masjid terletak di Pasir Ris itu, yang luasnya hampir sebesar padang bola sepak dan lengkap dengan 11 meja untuk penyembelihan.
Pada kira-kira 3.45 pagi, 450 ekor domba dan 100 ekor kambing biri-biri tiba di pekarangan masjid itu.
Sebanyak 200 ekor domba daripada jumlah itu masuk ke lori lain untuk dibawa ke Masjid Tentera Diraja. Proses itu dikenali sebagai ‘break bulk’ atau pemecahan kargo.
Semasa proses itu, seorang pegawai akan masuk ke dalam palet dahulu untuk mengira jumlah haiwan bagi memastikan bilangan yang betul.
Ia mampu mengambil masa sehingga 30 minit untuk memindahkan sekitar 50 ekor haiwan dari satu palet.
Pada kira-kira 4.45 pagi, 350 ekor kambing biri-biri dan domba untuk Masjid Al-Istighfar dikeluarkan ke kandang itu.
Tugas memindahkan kambing biri-biri ternyata bukan mudah buat para pengendali.
Banyak haiwan enggan bergerak dan berbaring di dalam palet, manakala ada pula yang cuba berpatah balik di pertengahan jalan menuju ke kandang.
Ketika ditemui BH, Ketua Pegawai Operasi Aliyah Rizq Holdings, Cik Nabilah Bagarib, menegaskan kebajikan haiwan ternakan sentiasa dijamin di setiap peringkat perjalanan.
Ia termasuk menjamin suhu persekitaran di dalam ruang kargo yang selesa, memberi makanan dan minuman yang mencukupi pada waktu tepat, serta memantau kesihatan haiwan ternakan.
Terdapat pelbagai pihak berkuasa yang memastikan kebajikan haiwan sentiasa terjaga, termasuk memeriksa dokumen berkaitan dan mengesahkan kesihatan haiwan tersebut, tambahnya.
“Sebelum kami memindahkan haiwan ke dalam lori, mereka telah diberikan makanan dan minuman yang secukupnya.
“Sebelum berangkat, kami juga memastikan haiwan berada dalam keadaan yang baik dan tenang.
“Kami memastikan suhu persekitaran kekal pada 15 darjah Celsius di dalam ruang kargo supaya haiwan ternakan berasa selesa.
“Setelah semua kriteria pemeriksaan itu dipenuhi, barulah kami membawa haiwan ternakan ke tapak-tapak berkenaan.
“Apabila dikeluarkan ke pekarangan masjid, makanan dan minuman serta waktu rehart yang secukupnya akan diberikan,” jelas Cik Nabilah.
