Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha Aliyah Rizq persiap 1,100 haiwan untuk korban di S’pura berjalan lancar
Usaha Aliyah Rizq persiap 1,100 haiwan untuk korban di S’pura berjalan lancar
Ternakan dijadual berlepas dari Australia 25 Mei; tiba di S’pura 26 Mei untuk korban di 3 masjid
Usaha Aliyah Rizq persiap 1,100 haiwan untuk korban di S’pura berjalan lancar
Sekitar 1,100 kambing biri-biri yang diuruskan oleh syarikat pengendali korban Aliyah Rizq Holdings bagi ibadah korban di masjid di sini kini mengikut jadual untuk berlepas dari Australia pada 25 Mei dan dijangka tiba di Singapura pada 26 Mei.
Syarikat Aliyah Rizq akan menjalankan ibadah korban secara langsung di tiga masjid – Masjid Omar Salmah, Masjid Al-Istighfar dan Masjid Tentera Diraja – sempena Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 27 Mei ini.
Ternakan tersebut akan berlepas dari Australia pada sekitar 6.40 petang waktu sana pada 25 Mei dan akan tiba di Singapura sekitar 1.05 pagi pada 26 Mei.
Ketua Pegawai Operasi, Aliyah Rizq Holdings, Cik Nabilah Bagarib, yang kini berada di Sydney, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa persiapan bagi ibadah korban itu telah dimulakan seawal tiga bulan lalu, termasuk dalam aspek dokumentasi, pentadbiran dan logistik dalam membawa dan menguruskan haiwan korban itu dari Australia hingga ke Singapura.
BH telah mengikuti pasukan Aliyah Rizq ke Sydney bagi meninjau cara operasi dan pemeriksaan haiwan korban di tempat kuarantin di sana.
Antara yang perlu diuruskan syarikat itu termasuk dalam mendapatkan permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) Australia untuk membawa haiwan korban dari sana ke Singapura.
“Escas ini termasuk cara kita menjaga kebajikan haiwan kerana kita perlu pastikan yang haiwan ini terjaga dari awal sampai akhir, iaitu sehingga ibadah korban selesai dijalankan di Singapura.
“Jadi, peraturan itu ada banyak protokol dan dokumen yang perlu diserahkan dan biasanya, ini akan mengambil masa satu hingga dua bulan.
“Kita sudah mula mengendalikan persiapan ibadah korban ini tiga bulan lebih awal untuk memastikan kita dapat haiwan yang baik, kita dapat pesawat untuk bawa haiwan ini, dan juga untuk memenuhi peraturan yang diperlukan kedua-dua pihak Australia dan Singapura,” kata Cik Nabilah.
Ini merupakan tahun keempat Aliyah Rizq mengendalikan ibadah korban yang dijalankan secara langsung di Singapura.
Pada awal April, jawatankuasa kecil SalamSG Korban mengumumkan bahawa sebanyak tujuh masjid di Singapura akan menawarkan ibadah korban yang akan dijalankan secara langsung.
Bagaimanapun, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 23 Mei menyatakan bahawa ibadah korban di empat masjid – Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Pusara Aman, dan sebahagian daripada bekalan haiwan korban di Masjid Jamae Chulia – kini mengalami kegenjotan setelah pengendali korban, The Meat Brothers, tidak akan sempat menghantar sekitar 400 haiwan korban dari Australia ke Singapura.
Dalam kenyataannya pada 21 Mei pula, Muis berkata baki perkhidmatan korban tempatan oleh pengendali korban berlesen lain yang dilantik di Masjid Al-Istighfar, Masjid Omar Salmah, dan Masjid Tentera Diraja akan diteruskan seperti yang dirancang pada Hari Raya Aidiladha.
Syarikat The Meat Brothers menyatakan pada 23 Mei bahawa pihaknya masih belum mendapat kelulusan eksport yang diperlukan daripada pihak berkuasa Australia untuk membawa haiwan tersebut ke sini.
Oleh sebab situasi itu, mereka berkata kian jelas ternakan itu tidak akan memasuki Singapura tepat pada masanya.
Syarikat itu telah memberikan beberapa pilihan kepada individu yang terjejas, termasuk melakukan korban di Australia dengan daging dihantar kepada mereka; korban di Medan, Indonesia, dengan daging yang diagihkan kepada asnaf dan masyarakat di sana; atau bayaran yang dipulangkan sepenuhnya.
“
“Kita sudah mula mengendalikan persiapan ibadah korban ini tiga bulan lebih awal untuk memastikan kita dapat haiwan yang baik, kita dapat pesawat untuk bawa haiwan ini, dan juga untuk memenuhi peraturan yang diperlukan kedua-dua pihak Australia dan Singapura.”