Perkhidmatan MRT di Laluan Timur-Barat (EWL) antara Bedok, Tampines, Tanah Merah dengan Expo disambung semula dengan lancar pada 8 Disember, sehari lebih awal selepas kerja landasan selesai.
Perkhidmatan di laluan tersebut ditutup sejak 29 November bagi kerja menyambung landasan EWL ke Depoh Bersepadu East Coast, yang dijangka beroperasi pada separuh kedua 2026, serta ke platform baru di stesen Tanah Merah.
Ini merupakan penggantungan khidmat kedua daripada tiga yang dirancang – dengan yang terakhir dijadualkan pada enam bulan pertama 2026, menurut laporan The Straits Times (ST).
Ramai penumpang menyuarakan rasa lega.
Antaranya ialah Cik Faye Wong, 38 tahun, dari Tampines, yang terpaksa menaiki bas ke Braddell sebelum menukar ke Laluan Utara-Selatan (NSL) untuk ke tempat kerjanya di Orchard sepanjang tempoh khidmat laluan tersebut ditutup selama sembilan hari.
Beliau hanya mendapat tahu perkhidmatan telah kembali seperti biasa pada pagi 8 Disember apabila suaminya, yang menaiki MRT di Laluan Downtown (DTL), ternampak papan tanda di stesen Tampines.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan khidmat yang disambung semula itu melalui kiriman Facebook pada malam 7 Disember selepas kerja landasan dan ujian menyeluruh selesai.
Di stesen Tanah Merah, selaras dengan perubahan susun atur platform, penumpang EWL yang menuju ke Expo dan Lapangan Terbang Changi perlu turun di Platform A, sebelum menggunakan tangga gerak, tangga atau lif ke kawasan perkhidmatan penumpang, dan naik semula untuk menaiki kereta api di Platform D.
Sebelum ini, penumpang hanya perlu seberang platform untuk menaiki kereta api yang menghala ke Lapangan Terbang Changi.
Hampir 10 kakitangan ditempatkan di platform dan aras perkhidmatan penumpang antara 7.30 dengan 8.30 pagi bagi memberi arahan jelas melalui pembesar suara.
Papan tanda baru memaparkan arah kereta api dengan lebih jelas, sekali gus mengurangkan kekeliruan penumpang.
Cik Rashidah Abu, 55 tahun, yang dalam perjalanan dari Bedok ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Changi, berkata papan tanda mudah difahami dan kakitangan SMRT sangat membantu.
Beliau turut menyedari kawasan stesen kelihatan lebih terang dan dilengkapi dengan skrin digital baru.
Bagi kru kabin, Encik Christopher Ling, 25 tahun, khidmat MRT yang kembali seperti biasa di laluan itu memudahkan perjalanannya ke Lapangan Terbang Changi dari rumahnya di Simei.
Sebelum ini, beliau perlu menaiki bas ulang-alik ke Tampines, menukar ke DTL di Expo, kemudian kembali ke EWL.
Ada kalanya beliau terpaksa menggunakan khidmat kereta sewa privet kerana kesuntukan masa.
Encik Sundaramoorthy Pandiyan, 40 tahun, pula berkata beliau hanya memerlukan “beberapa minit” untuk memahami susun atur baru dan mudah menukar tren ke Expo.
Seorang lagi penumpang, Encik Goh Yee Hwee, 50 tahun, ingin ke Lapangan Terbang Changi untuk ke Pulau Pinang bersama isterinya.
Pada awalnya, beliau merancang menggunakan khidmat kereta sewa privet dari Bedok kerana menyangka perkhidmatan MRT masih digantung, namun kini berasa perjalanan tersebut “jauh lebih mudah”.
Di stesen lain seperti Tampines dan Expo, kakitangan turut membantu penumpang, sementara bas ulang-alik masih berkhidmat pada pagi 8 Disember untuk mereka yang belum sedar akan khidmat MRT yang kembali seperti biasa.
Pengumuman juga dibuat secara kerap melalui pembesar suara di stesen.
Depoh Bersepadu East Coast, yang dibina sejak 2016, dijangka beroperasi pada separuh kedua 2026 dan akan menyokong penyelenggaraan laluan EWL, TEL, DTL serta depoh bas.
Landasan baru di Tanah Merah juga akan menyokong perkhidmatan Laluan Thomson-East Coast (TEL) menggunakan dua landasan.
Laluan 14 kilometer antara stesen Tanah Merah dengan Lapangan Terbang Changi akan menjadi sebahagian daripada sambungan baru TEL, yang akan lalu di Terminal 5 pada masa akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg