Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Komunikasi, dialog terbuka penting tangani isu keperluan agama antara pekerja, majikan

Jan 8, 2025 | 8:41 PM
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng - Foto MDDI

Kaum dan agama merupakan ciri-ciri yang dilindungi di bawah Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja, namun undang-undang itu bukanlah mengenai sama ada sesebuah firma itu harus atau tidak membenarkan lelaki Muslim mengerjakan solat Jumaat, atau menerima amalan dan permohonan mana-mana agama, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup rang undang-undang itu – yang diluluskan Parlimen pada 8 Januari – sebagai respons kepada soalan yang diajukan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap (GRC Aljunied).

Pada hari pertama bahas rang undang-undang itu pada 7 Januari, Encik Faisal telah meminta Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberi kepastian apakah senario, seperti syarikat tidak membenarkan lelaki Muslim mengerjakan solat Jumaat dan wanita Muslim diminta menanggalkan tudung jika ingin diterima bekerja, dikira sebagai amalan diskriminasi di bawah rang undang-undang itu.

Rang undang-undang itu bertujuan mempertingkat perlindungan terhadap diskriminasi di tempat kerja, sementara memelihara norma tempat kerja yang adil dan harmoni.

Ia menjadikan diskriminasi berdasarkan lima kumpulan ciri – usia; kerakyatan; jantina, status perkahwinan, kehamilan dan tanggungjawab penjagaan; kaum, agama dan bahasa; dan ketidakupayaan serta keadaan kesihatan mental – satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Dr Tan berkata sekiranya seorang individu itu melakukan solat Jumaat dan dipecat kerana dia beragama dan bukan kerana prestasi kerjanya, itu adalah diskriminasi di bawah undang-undang tersebut.

Namun, beliau menambah bahawa terdapat pelbagai butiran dan implikasi operasi yang perlu dipertimbangkan.

“Kita perlu menyedari bahawa terdapat banyak butiran dan implikasi operasi, dan isu sedemikian sebaiknya ditangani melalui komunikasi dan dialog terbuka bagi memenuhi keperluan sah kedua-dua pekerja dan majikan,” kata beliau.

Dr Tan turut berkata Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) akan terus meneliti kes sedemikian secara serius dan mendekati pihak yang terlibat untuk menyelesaikan isu mereka secara baik.

Memberi respons kepada soalan Encik Faisal itu, Anggota Parlimen (AP) pekerja, Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade), berkata menyelesaikan isu sedemikian melalui tuntutan diskriminasi di bawah perundangan tidak akan membawa kepada matlamat untuk mencapai tempat kerja yang harmoni, pelbagai dan produktif untuk menggerakkan ekonomi Singapura.

Sebaliknya, cara yang lebih baik adalah dengan mengendalikan isu secara kolektif dan sensitif, melibatkan rakan kerjasama tiga pihak dalam dialog rapat, tambah beliau.

“Ini bukan kali pertama isu sebegini ditimbulkan dan diselesaikan secara harmoni. Mulai 2021, kakitangan pekerja Islam yang bekerja dalam sektor penjagaan kesihatan awam termasuk jururawat dibenarkan memakai tudung, di tempat kerja majikan mereka memilih untuk berbuat demikian.

“Ini mengikuti dialog dan penglibatan rapat dengan kumpulan agama dan institusi penjagaan kesihatan awam, dan menunjukkan keupayaan kami untuk menangani perkara ini dengan cara yang membina yang menggalakkan dan bukannya menghakis keharmonian agama kita,” kata beliau.

Encik Faisal kemudian bertanya Encik Fahmi apakah beliau tidak bersetuju bahawa dua senario berhubung solat Jumaat dan pemakaian tudung yang dikemukakan itu sepatutnya diliputi di bawah perundangan keadilan di tempat kerja.

Membalas, Encik Fahmi berkata “apa yang penting adalah kita mengambil dua isu ini bersama dalam bentuk komunikasi dan menanganinya dalam dialog agar kami boleh menangani isu ini dalam cara yang mempertingkat produktiviti, inklusiviti di tempat kerja”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg