Anda mempunyai kisah peribadi yang menarik semasa membesar di Singapura? Apakah perubahan yang ketara yang anda saksikan ketika pembangunan negara?

Kongsi kisah-kisah menarik anda dalam satu acara ‘Projek Warganegara - Sejuta yang Terawal’ yang akan diadakan pada 26 September ini.

Anjuran Berita Harian dan Lembaga Warisan Negara (NHB), acara itu akan diadakan di Taman Warisan Melayu dari 9.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Peserta berusia 60 tahun dan ke atas boleh menyertai acara ini bagi mengongsi kisah menarik anda.

Kisah yang menarik akan dipilih untuk disertakan di Taman Tugu Pengasas (Founders’ Memorial).

Dalam acara itu juga, Haji Alwi Jofrie, cucu tokoh perniagaan Haji Yusoff Haji Mohamed Noor atau lebih dikenali dengan nama Haji Yusoff ‘Tali Pinggang’ akan mengongsi pengalamannya tinggal di kawasan Kampong Gelam. Beliau yang dilahirkan di Gedung Kuning yang terletak di 73 Sultan Gate, mempunyai banyak cerita untuk dikongsi mengenai perniagaan datuknya yang memperkenalkan tali pinggang hijau yang sering dipakai oleh jemaah lelaki yang menunaikan haji.

Peserta juga akan dihiburkan dengan nyanyian biduanita Rahimah Rahim.

Penyertaan adalah percuma. Peserta akan mendapat kotak bento percuma tajaan Restoran Hajah Maimunah.

Untuk menyertai sesi ini, sila klik bh.sg/fm26