Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Koswe buka peluang kerjaya baru, penyambung selepas terpisah dengan keluarga dek Covid-19

Jun 30, 2024 | 5:30 AM
Bagi Cik Nurul Khairiyah M Jali, Koswe bukan sahaja memberinya peluang kerjaya baru sebagai jururawat di Hospital Gleneagles di Singapura, malah menyatukannya dengan keluarga tersayang selepas dua tahun terpisah akibat Covid-19.
Bagi Cik Nurul Khairiyah M Jali, Koswe bukan sahaja memberinya peluang kerjaya baru sebagai jururawat di Hospital Gleneagles di Singapura, malah menyatukannya dengan keluarga tersayang selepas dua tahun terpisah akibat Covid-19. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Walaupun Koswe mendedahkan Cik Nurul Khairiyah M Jali kepada peluang kerjaya baru di Singapura, jambatan ikonik itu juga ibarat ‘jerat’ bagi warga Malaysia itu ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

Ia menjadi penghalang yang memisahkan Cik Nurul, kini 32 tahun, daripada keluarganya, menyebabkan kerinduan mendalam terhadap suami serta kedua-dua anak lelakinya yang pada masa itu masih kecil.

Sebelum Covid-19, perjalanan Cik Nurul melintasi Koswe adalah sebahagian daripada rutin hariannya.

Setiap pagi, Cik Nurul, yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Gleneagles, akan menaiki bas untuk ulang-alik antara terminal bas di Johor dengan tempat kerjanya di Singapura. Selalunya, beliau akan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik syarikat yang membawanya terus ke Hospital Gleneagles.

Cik Nurul tinggal di ​​Taman Pelangi, Johor Bahru, bersama suaminya, Encik Indra-tullah Budiman, 32 tahun, dan dua anak lelaki, Irfan Naeel Indra-tullah, sembilan tahun, dan Izz Naeel Indra-tullah, enam tahun.

Setelah hampir 10 tahun berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, Cik Nurul menyertai IHH Healthcare Singapore pada 2019, dan mula bertugas di Mount Elizabeth Hospital sebelum dipindahkan ke Hospital Gleneagles pada 2021.

Dalam temu bual bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini, Cik Nurul berkata beliau terdorong untuk bekerja di Singapura kerana beliau mahu mendapat pengalaman baru dan menimba cabaran baru.

“Sesetengah rakan sekerja saya dahulu di Malaysia sering berbual tentang keinginan mereka untuk bekerja di luar negara seperti Singapura dan Arab Saudi demi mendapat pengalaman baru.

“Keputusan saya untuk memilih Singapura didorong oleh nasihat ibu… beliau kata Singapura lebih dekat dan ia lebih senang untuk saya pulang sekiranya apa-apa berlaku,” jelas Cik Nurul.

Semuanya berjalan lancar bagi Cik Nurul sehinggalah Covid-19 melanda dunia.

Ketika Malaysia dan Singapura menutup sempadan masing-masing untuk mengekang penularan virus, beliau terpaksa kekal di Singapura dan meneruskan pekerjaannya sebagai jururawat.

Peraturan kuarantin yang ketat dan penutupan sempadan menjadikan perjalanan harian yang biasa beliau lakukan tidak mungkin lagi.

Pengalaman dua tahun terpisah daripada keluarga memberi kesan yang mendalam kepada Cik Nurul, yang merupakan anak sulung dalam kalangan enam adik-beradik.

Apabila Koswe ditutup disebabkan pandemik Covid-19, Cik Nurul Khairiyah M Jali tidak dapat melihat suaminya, Encik Indra-tullah Budiman, dan dua anak mereka, Irfan Naeel Indra-tullah (tengah) dan Izz Naeel Indra-tullah.
Apabila Koswe ditutup disebabkan pandemik Covid-19, Cik Nurul Khairiyah M Jali tidak dapat melihat suaminya, Encik Indra-tullah Budiman, dan dua anak mereka, Irfan Naeel Indra-tullah (tengah) dan Izz Naeel Indra-tullah. - Foto ihsan NURUL KHAIRIYAH M JALI

Beliau terpaksa terlepas saat-saat penting dalam kehidupan kedua-dua anak lelakinya yang pada itu berusia lima dan dua tahun.

“Setiap hari terasa seperti satu perjuangan. Saya hanya dapat melihat anak saya melalui panggilan video. Saya rindu sangat suara dan senyuman mereka,” ujar Cik Nurul dengan penuh emosi.

Setelah sekatan dilonggarkan, Cik Nurul akhirnya dapat pulang ke rumah untuk bertemu keluarganya. Kali pertama beliau mendakap keluarganya setelah dua tahun terpisah adalah detik yang tidak dapat dilupakan.

“Ketika kami semua akhirnya dapat berjumpa sekali lagi, saya terdiam sahaja… saya menangis tanpa henti. Perasaan melihat mereka di depan mata saya selepas dua tahun adalah detik yang paling hebat.

“Sebelum Koswe ditutup, anak bongsu saya masih kecil… selepas saya pulang setelah dua tahun, dia sudah boleh bercakap,” katanya sebelum mengelap matanya yang bergenang air mata.

Sebagaimana Koswe telah menyatukan Cik Nurul dengan keluarganya, beliau juga berkata jambatan ikonik itu telah menyatukan Malaysia dan Singapura.

“Saya bangga tentang perpaduan antara kedua-dua negara. Walaupun saya kerap ulang-alik dari kerja ke rumah, saya tidak pernah melihat apa-apa pertelingkahan antara satu sama lain walaupun semua orang sedang sibuk membuat perjalanan,” tambahnya.

Beliau juga memperhatikan ada sesetengah orang yang memilih untuk tidak menaiki bas dan sebaliknya berjalan kaki untuk melintasi Koswe.

Memandang ke hadapan, beliau berharap satu lorong khas yang mempunyai perlindungan akan dibina untuk pejalan kaki bagi melindungi mereka daripada cuaca panas dan hujan.

Koswe yang dibuka rasmi pada 28 Jun 1924 telah memberikan rakyat Malaysia seperti Cik Nurul peluang pekerjaan di seberang Tambak.

Sebagai salah satu mercu tanda yang paling penting di rantau ini, Koswe terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara dua negara berjiran ini.

Tanggal 28 Jun 2024 menandakan ulang tahun ke-100 Koswe, yang baru-baru ini disambut pihak kedua-dua negara.

Namun, bagi Cik Nurul, Koswe lebih daripada sekadar laluan. Ia adalah simbol kekuatan, ketahanan dan cinta tanpa sempadan.

Ia bukan sahaja memberinya peluang kerjaya baru, malah menyatukannya dengan keluarga tersayang selepas lama terpisah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg