Sambutan Lebaran lebih bermakna setelah bebas barah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan Lebaran lebih bermakna setelah bebas barah

Pertama kali disah ada barah sarkoma pada 2024; syukur dapat sempurnakan Ramadan 2026
Mar 21, 2026 | 5:30 AM

Sambutan Lebaran lebih bermakna setelah bebas barah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
barah sarkoma
Setelah melalui rawatan terapi radiasi dan pembedahan bagi membuang tumor serta tempoh pemulihan yang panjang, Encik Faisal Sulaiman, mengalu-alukan sambutan Hari Raya yang lebih bermakna kerana dapat menunaikan Ramadan dengan sempurna dan menandakan lembaran baru dalam kehidupannya bersama keluarga di sisi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apa yang bermula sebagai hari kerja biasa berubah menjadi detik cemas yang tidak akan dilupakan oleh Encik Faisal Sulaiman.

Ejen hartanah itu tiba-tiba menggigil teruk secara tidak terkawal di pejabatnya, sekitar waktu makan tengah hari pada pertengahan Jun 2024.

Serangan yang berlanjutan kira-kira 20 hingga 25 minit itu membuatkan beliau terasa seperti nyawa di hujung tanduk.

Rakan sekerja kemudian bergegas membantu membawanya ke Hospital Universiti Nasional (NUH).

“Rakan sekerja saya menyelimutkan saya untuk memanaskan badan dan memberi saya ubat. Selepas menggigil itu berhenti, saya mula berpeluh dengan banyak.

“Lewat petang itu, selepas waktu asar, mereka membawa saya ke NUH untuk menjalani pemeriksaan.

“Ketika saya mengalami serangan menggigil yang teruk itu, fikiran saya melayang kepada kematian. Saya benar-benar menyangka saya akan mati.

“Bukan kerana saya takut mati, tetapi saya rasa saya belum bersedia,” kongsi Encik Faisal kepada Berita Harian (BH).

Pemeriksaan lanjut di hospital mendedahkan sesuatu yang tidak disangka.

“Pada mulanya, doktor berkata keadaan saya kelihatan baik dan meminta saya pulang dengan beberapa ubat.

“Namun, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena lalu meminta supaya dimasukkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.

Imbasan menunjukkan terdapat tumor sebesar limau pada bahagian pinggulnya.

Sekitar seminggu kemudian, doktor mengesahkan tumor tersebut adalah barah sarkoma pada peringkat awal.

“Sejujurnya, apabila diberitahu saya menghidap barah, saya tidak terlalu terkejut kerana penyakit itu memang ada dalam keluarga saya.

“Arwah ayah saya meninggal dunia akibat barah hati, ibu saya pula pernah menghidap barah usus tetapi sembuh.

“Pengalaman (serangan menggigil itu) telah mengubah pandangan hidup saya. Saya rasa seolah-olah Allah telah memberi saya peluang kedua,” kata beliau, yang kini berusia 47 tahun.

Barah sarkoma boleh menyerang tisu penghubung di mana-mana bahagian badan, sama ada tulang mahupun tisu lembut.

Jenis barah ini jarang berlaku dalam kalangan orang dewasa.

Perangkaan perubatan menunjukkan ia hanya membentuk sekitar 1 peratus daripada semua diagnosis barah dalam kalangan pesakit dewasa.

Encik Faisal memulakan rawatan di NUH pada Julai 2024 dengan menjalani terapi radiasi hampir setiap hari selama lima minggu.

Rawatan itu menuntut beliau, yang menetap di Bedok North Avenue 2, berulang-alik ke hospital hampir setiap hari.

Kemudian, beliau menjalani pembedahan pada Oktober 2024 untuk membuang tumor dari pinggulnya.

Selepas pembedahan, beliau mendapati dirinya ‘terikat’ dengan tiub yang disambung ke pinggulnya bagi mengalirkan darah dari luka pembedahan.

“Saya mempunyai tiub dan wayar yang disambungkan pada bahagian pinggul, dan saya juga perlu membawa sebotol bekas untuk menampung darah yang keluar dari luka pembedahan.

“Ia agak tidak selesa dan saya tidak dapat bergerak dengan bebas.

“Disebabkan itu, saya lebih banyak berada di rumah dan jarang keluar,” ujarnya, yang telah mendirikan rumah tangga sejak 2002.

Encik Faisal Sulaiman perlu membawa botol sebesar 400 mililiter (ml) yang dihubungkan pada tubuhnya selepas pembedahan bagi menampung darah dari luka pembedahan, dan mempunyai tiga botol tambahan untuk digunakan apabila botol tersebut penuh. Botol yang dihubungkan kepada pinggulnya itu kemudian ditanggalkan kira-kira dua hingga tiga bulan selepas pembedahan.
Encik Faisal Sulaiman perlu membawa botol sebesar 400 mililiter (ml) yang dihubungkan pada tubuhnya selepas pembedahan bagi menampung darah dari luka pembedahan, dan mempunyai tiga botol tambahan untuk digunakan apabila botol tersebut penuh. Botol yang dihubungkan kepada pinggulnya itu kemudian ditanggalkan kira-kira dua hingga tiga bulan selepas pembedahan. - Foto ihsan FAISAL SULAIMAN

Akibatnya, Encik Faisal terpaksa berhenti kerja selama kira-kira tujuh hingga lapan bulan.

“Tiada pendapatan sepanjang tempoh saya berhenti kerja. Ia amat mencabar, memaksa saya menggunakan wang simpanan.

“Untuk kembali bekerja selepas berehat lama juga sukar, kerana pasaran kerja sangat kompetitif,” luahnya.

Dari segi emosi pula, beliau mengakui dirinya berubah sepanjang tempoh rawatan.

Beliau menjadi lebih murung, mudah marah dan lebih suka menyendiri.

Dalam tempoh itu juga, Encik Faisal mula mencari kekuatan dengan menonton video ceramah dan perkongsian di YouTube yang banyak menyentuh tentang hikmah di sebalik ujian kehidupan.

“Saya mula faham kenapa kadang-kadang Allah menguji kita dengan sakit, dan bagaimana kita harus menghadapinya.

“Ujian ini bukan bermakna Dia memberi beban yang tidak mampu kita tangani. Sebenarnya, ini tanda kasih sayang-Nya… kita hanya perlu bersabar dan reda,” jelasnya.

Kini, selepas melalui rawatan dan proses pemulihan, Encik Faisal berkata pandangannya terhadap kehidupan juga berubah.

Semasa janji temu susulan di hospital pada Julai 2025, doktor memaklumkan kepada Encik Faisal bahawa imbasan menunjukkan beliau kini bebas barah.

Bercakap dengan BH, beliau berkata Hari Raya 2026 amat bermakna kerana kini beliau dapat menunaikan Ramadan dengan sempurna, sambil menyambut lembaran baru itu dengan penuh kesyukuran.

Pada Hari Raya 2025, Encik Faisal masih dalam proses pemulihan dan hanya mampu mengunjungi kurang daripada enam rumah saudara-mara kerana keadaan fizikalnya yang masih lemah.

“Alhamdullilah, saya dapat berpuasa dan solat seperti biasa. Pada tahun lalu (2025), saya terpaksa solat duduk kerana sakit untuk sujud.

“Sekarang, saya boleh menunaikan solat secara normal termasuk solat tarawih.

“Oleh itu, saya mengambil peluang kedua ini dengan sebaik mungkin untuk memastikan saya menjadi seorang Muslim yang lebih baik dan berharap agar saya sentiasa berada di dalam rahmat-Nya,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg