Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Ubah minda, sesuaikan diri demi capai impian baru S’pura

Menteri turut gesa warga supaya terus tingkat kemahiran demi capai kejayaan, kekal relevan bagi harungi masa depan
Sep 14, 2024 | 5:30 AM
(Dari kiri) Hos dan Penerbit Podcast ‘No Tapis’, Cik Natasha Mustafa; atlet boling Singapura, Encik Nu’man Syahmi Yusri; guru muzik dan pengasas NJ Studio, Cik Nabillah Jalal; dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; semasa sesi rakaman podcast ‘No Tapis’.
(Dari kiri) Hos dan Penerbit Podcast ‘No Tapis’, Cik Natasha Mustafa; atlet boling Singapura, Encik Nu’man Syahmi Yusri; guru muzik dan pengasas NJ Studio, Cik Nabillah Jalal; dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; semasa sesi rakaman podcast ‘No Tapis’. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kalau dahulu mungkin rakyat Singapura mengejar impian berdasarkan kemahuan atau harapan yang ditetapkan oleh ibu bapa dan masyarakat.

Namun kini lebih ramai ingin menceburi kemahuan dan impian mereka sendiri tanpa berasa terkongkong dengan dogma lama.

Kalau dahulu, mungkin ramai yang hanya memilih untuk meraih kemajuan dari segi ekonomi atau kebendaan.

Namun kini, lebih ramai yang cenderung memilih kebahagiaan dan menggapai keharmonian kerja-kehidupan.

Demikian antara ciri-ciri Revised Singaporean Dream atau impian baru rakyat Singapura yang dikongsi oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu episod siri podcast No Tapis Berita Harian (BH) baru-baru ini.

“Kalau kita hanya mendefinisikan erti kejayaan tertakluk hanya kepada kerjaya seperti seorang doktor, peguam dan sebagainya, ini tidak akan mengembangkan peluang individu tersebut dan ini tidak baik untuk negara.

“Jadi kita harus memikirkan bagaimana kita dapat menyerlahkan potensi setiap individu itu agar ia baik bagi individu tersebut dari segi kebendaan dan juga dari segi kebahagiaan.

“Hanya dengan pendekatan begini kita boleh melahirkan lebih ramai individu yang extraordinary atau luar biasa buat negara,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Episod No Tapis tersebut, yang dihos oleh Penerbit Podcast, Cik Natasha Mustafa, membincangkan topik Revised Singaporean Dream yang disebut oleh Perdana Menteri Encik Lawrence Wong semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) sulungnya pada 18 Ogos.

Semasa NDR 2024, Encik Wong membentangkan impian baru rakyat Singapura yang mendambakan sebuah negara yang saling bantu-membantu antara satu sama lain, dan di mana setiap individu dapat berjaya mengikut rentak dan kemahuan diri sendiri, tidak kira haluan atau detik perjalanan mereka.

Bagi mencapai impian tersebut yang saling inklusif lagi membangunkan, Encik Wong menggesa rakyat dan juga negara supaya menyesuaikan diri dan mempunyai anjakan minda.

Dalam siri podcast No Tapis tersebut, Encik Masagos turut menekankan bahawa pemerintah telah membuat pelbagai anjakan dari segi dasar-dasar untuk menggalak dan menyokong lebih ramai individu menetapkan laluan mereka sendiri.

“Singapura adalah sebuah negara yang selalu reinvent atau mereka semula supaya peluang-peluang baru dapat diwujudkan untuk rakyat.

“Kita tidak seharusnya berfikiran dogmatik, malah harus mengambil pendekatan praktikal dan pragmatik.

“Kalau dulu kita tak boleh berjaya, kini asalkan kita fleksibel, saya fikir kejayaan itu akan dapat dirai,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Kedua Kesihatan.

Podcast tersebut turut menampilkan guru muzik dan pengasas NJ Studio, Cik Nabillah Jalal, 31 tahun; serta atlet boling Singapura, Encik Nu’man Syahmi Yusri, 24 tahun, yang mengetengahkan impian Singapura mereka serta definisi kejayaan bagi diri mereka.

Cik Nabillah adalah anak Melayu Singapura pertama yang belajar di Royal College of Music, London, dan merupakan antara beberapa individu yang disebut Encik Wong dalam ucapan NDR sulungnya itu.

Guru muzik dan pengasas NJ Studio, Cik Nabillah Jalal, merupakan antara beberapa individu yang disebut Perdana Menteri Encik Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) sulungnya pada 18 Ogos.
Guru muzik dan pengasas NJ Studio, Cik Nabillah Jalal, merupakan antara beberapa individu yang disebut Perdana Menteri Encik Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) sulungnya pada 18 Ogos. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kini, Cik Nabillah juga telah membuka sebuah sekolah muzik bernama ArtSee yang menyediakan pendidikan seni kepada belia kurang bernasib baik.

“Definisi kejayaan mungkin sedang diperluas tapi bahan-bahan untuk mencapai kejayaan masih sama – iaitu disiplin, kesabaran, kerjasama dan percaya kepada diri sendiri.

“Itulah resipi sebenar kejayaan,” kata Cik Nabillah.

Bagi Encik Nu’man, yang meraih pencapaian podium antarabangsa pertamanya pada 30 Jun, beliau menyifatkan kejayaannya sebagai sesuatu yang tidak datang bergolek, malah atas berkat kerja keras serta sokongan anggota keluarga dan rakan-rakan.

“Saya bersyukur rakan-rakan dan keluarga saya menyokong hala tuju saya sebagai seorang atlet boling negara, lebih-lebih lagi rakan-rakan yang sudi memberi sumbangan dari segi barangan keperluan, peralatan boling dan sebagainya.

“Ia dapat meringankan beban saya kerana boling adalah sukan yang boleh dikatakan agak mahal.

“Dari situ, ia memberi saya semangat untuk melakukan yang lebih baik dan membuka peluang saya bertanding,” kata Encik Nu’man, yang mendapat tempat ketiga dalam acara Terbuka Lelaki di Terbuka Antarabangsa Macau-China baru-baru ini.

Pemain boling Singapura, Encik Nu’man Syahmi Yusri meraih pencapaian podium antarabangsa pertamanya di mana beliau mendapat tempat ketiga dalam acara Terbuka Lelaki di Terbuka Antarabangsa Macau-China pada 30 Jun.
Pemain boling Singapura, Encik Nu’man Syahmi Yusri meraih pencapaian podium antarabangsa pertamanya di mana beliau mendapat tempat ketiga dalam acara Terbuka Lelaki di Terbuka Antarabangsa Macau-China pada 30 Jun. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Semasa perbincangan yang berlangsung hampir lebih sejam itu, Encik Masagos turut menekankan bahawa ucapan Encik Wong menunjukkan komitmen pemerintah untuk menganjak dasar-dasar bagi memperbaiki kehidupan rakyat.

Ini termasuk dari segi memberikan lebih banyak sokongan kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran serta membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk bangkit semula.

Ia juga merangkumi sokongan pemerintah dalam mempertingkatkan akses dan kemampuan bagi rakyat Singapura untuk membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta membina Singapura sebagai sebuah hab sukan yang cemerlang.

“Sekiranya orang itu kurang pendidikan sekarang, atau kurang peluang semasa muda mereka, peluang itu akan tetap terbuka meskipun dia sudah mencapai umur 40 tahun atau lebih.

“Mungkin dulu dia ada diploma dan diploma itu tidak relevan lagi, dia kini diberikan subsidi pada usia 40 tahun dan ke atas untuk menjalani latihan SkillsFuture dan juga diberikan elaun sehingga $3,000 sebulan selama 24 bulan.

(Dari kiri) Hos dan Penerbit Podcast ‘No Tapis’, Cik Natasha Mustafa; atlet boling negara, Encik Nu’man Syahmi Yusri; guru muzik dan pengasas NJ Studio, Cik Nabillah Jalal; dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
(Dari kiri) Hos dan Penerbit Podcast ‘No Tapis’, Cik Natasha Mustafa; atlet boling negara, Encik Nu’man Syahmi Yusri; guru muzik dan pengasas NJ Studio, Cik Nabillah Jalal; dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Kalau dia dibuang kerja kerana kemahirannya tidak diperlukan, kita memberikan bantuan sehingga $6,000 sementara dia mencari kerja baru.

“Jadi fikirkanlah, adalah lebih baik anda menjalani latihan yang memberi sehingga $72,000 selama 24 bulan berbanding anda dibuang kerja dan dapat sokongan sehingga $6,000 kerana kemahiran anda tidak diperlukan lagi,” kata Encik Masagos.

Selaras dengan usaha mencapai impian baru rakyat Singapura, Encik Masagos turut menggesa masyarakat Melayu/Islam supaya terus menonjolkan sikap 3K – Kemahiran, Keperibadian dan Kewarganegaraan – bagi membina masyarakat yang gemilang.

Para pembaca boleh mendengar episod penuh podcast No Tapis ini di Spotify atau tonton video penuh di YouTube BH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg