Sebuah lori yang membawa tong berisi natrium hidroksida pekat terbabas ke sisi dan bertembung dengan sebuah tangki Pertubuhan Antarabangsa bagi Pemiawaian (ISO), yang sedang membawa ammonia tanpa air dari Singapura ke Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Malaysia.
Sebuah kereta yang tidak sempat mengelak nahas itu kemudian merempuh lori tersebut.
Dalam senario simulasi itu, impak pelanggaran menyebabkan dua tong natrium hidroksida pekat tercampak dan bahan kimia itu tertumpah.
Tangki ISO pula bocor, mengakibatkan sekitar 400 kilogram gas ammonia tersebar di persekitaran.
Senario itu merupakan latihan tindak balas kecemasan bahan kimia yang berlangsung pada 23 Julai di Linkedua Tuas.
Ia dijalankan bersama oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dari Singapura dan Jabatan Sekitaran (DOE) Malaysia.
Ia bertujuan memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan agensi terlibat, sekali gus memastikan mereka bersiap sedia untuk mengambil tindakan pantas dan berkesan demi melindungi keselamatan orang awam sekiranya insiden sebegitu berlaku.
Dalam satu kenyataan bersama NEA dan DOE pada 23 Julai, Ketua Eksekutif NEA, Encik Wong Kang Jet, menyifatkan kejayaan latihan tersebut hasil daripada hubungan dua hala yang kukuh dan lama terjalin antara Singapura dengan Malaysia.
“Latihan bersama bagi menangani tumpahan bahan kimia ini telah membolehkan agensi-agensi dari Singapura dan Malaysia memperkukuh lagi kerjasama dalam hal-hal berkaitan alam sekitar.
“Latihan ini merupakan sebahagian daripada rangka kerjasama yang lebih luas, termasuk pemantauan mutu air secara berkala bersama di sepanjang Selat Johor serta bengkel-bengkel bagi bertukar pandangan dan berkongsi kepakaran,” ujarnya.
Beliau menambah sekitar 500 peserta daripada 15 agensi dari kededua negara terlibat dalam latihan itu.
Mereka turut berpeluang menguji teknologi baru seperti anjing robotik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pengesan Gas Jarak Jauh milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Ini agar mereka dapat memantau mutu udara di kawasan kejadian dengan lebih selamat.
“Pelaksanaan latihan ini turut meningkatkan keyakinan kami dalam mengurus sebarang kemalangan yang berlaku di sepanjang Linkedua, mahupun insiden alam sekitar lain yang memberi kesan rentas sempadan,” tambah Encik Wong.
DOE turut komited memperkukuh kerjasama antara agensi di dalam Malaysia melalui pelaksanaan kuasa yang telah diwartakan pada 7 Julai 2025.
Pelaksanaan kuasa itu mengukuhkan peranan dan fungsi 15 agensi, sekali gus menyokong pelaksanaan tugas dengan lebih cekap dan menyeluruh.
“Langkah ini bukan sahaja membolehkan penggunaan sumber secara lebih berkesan, malah merupakan pendekatan strategik dalam menangani cabaran semasa, sambil mengekalkan integriti dan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan alam sekitar negara,” kata kenyataan itu.
Ia menambah, bagi memudahkan latihan tersebut, kesemua tiga lorong di laluan dari Singapura ke Malaysia di Linkedua telah ditutup kepada kenderaan bermula 23 Julai, dari 5 pagi dan dibuka semula pada 2 petang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg