Keadaan di Selat Hormuz, termasuk hak laluan tanpa halangan, merupakan isu yang dibincangkan semasa lawatan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, ke empat negara Timur Tengah dari 2 hingga 5 Mei.

Beliau melawat Amiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Arab Saudi dan Qatar, dan menegaskan semula hubungan lama Singapura dengan rakan Teluk serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau.

Demikian menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 6 Mei.

Dr Balakrishnan turut membincangkan kerjasama antara Asean dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sepanjang lawatan itu.

Di UAE, Dr Balakrishnan bertemu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Encik Sheikh Abdullah Bin Zayed Al Nahyan; serta Menteri Industri dan Teknologi Maju, Encik Sultan Ahmed Al Jaber, yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Abu Dhabi National Oil Company, di Abu Dhabi.

Beliau turut bertemu Menteri Perdagangan Luar UAE, Encik Thani Bin Ahmed Al Zeyoudi.

Mereka membincangkan peluang mengukuhkan Perkongsian Komprehensif Singapura-UAE dalam perdagangan, pelaburan, rantaian bekalan, tenaga, ekonomi digital dan pertahanan awam, ujar MFA.

Dalam satu hantaran Facebook pada 3 Mei, Dr Balakrishnan berkata kedua-dua negara berkongsi kepentingan memastikan perdagangan terus lancar, selain mengukuhkan daya tahan sebagai “ekonomi kecil yang terbuka”.

Beliau turut menyatakan sokongan Singapura kepada UAE menyusuli kejadian serangan baru-baru ini ke rantau itu, dan menekankan keperluan meredakan ketegangan tersebut.

Di Oman, beliau bertemu Menteri Luar, Encik Badr Bin Hamad Hamood Al Busaidi, dan Menteri Pejabat Diraja, Encik Sultan Mohammed Al Nomani.

Beliau menyampaikan penghargaan atas bantuan Oman mengatur dua penerbangan membawa warga Singapura pulang dari Timur Tengah, yang berangkat dari Muscat, Oman, pada 7 dan 8 Mac.

Mereka turut membincangkan kerjasama dalam logistik, keselamatan tenaga, tadbir urus maritim dan ekonomi digital.

Dr Balakrishnan menyifatkan Oman dan Singapura sebagai “rakan sehaluan dalam dunia yang rumit dan tidak menentu”.

Beliau berkata dalam hantaran Facebook pada 4 Mei:

“Sebagai negara kecil pesisir di hujung bertentangan Lautan Hindi, kami bertekad memastikan perdagangan maritim terus berjalan lancar, melindungi kebebasan pelayaran dan menegakkan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (Unclos).”

Beliau menambah, Oman memainkan peranan membina dengan menyokong dialog dan usaha meredakan ketegangan di rantau itu.

Di Arab Saudi, beliau bertemu Menteri Ehwal Luar, Putera Faisal Bin Farhan Al Saud, dan merakam penghargaan atas bantuan memudahkan penerbangan pulang warga Singapura dari Riyadh dan Jeddah pada 10 dan 12 Mac. Ini membolehkan rakyat Singapura pulang ke tanah air dengan selamat, katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas pengurusan keselamatan yang teliti bagi semua jemaah haji, termasuk dari Singapura.

Kedua-dua menteri menegaskan kepentingan Perkongsian Strategik sedia ada serta memperkukuh hubungan dalam perdagangan, pelaburan, tenaga, logistik dan keterhubungan.

Di Qatar, Dr Balakrishnan bertemu Perdana Menteri dan Menteri Luar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, serta Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan, Sheikh Saoud Abdulrahman Al Thani.

Mereka membincangkan kerjasama dalam daya tahan ekonomi, pertahanan serta keselamatan makanan dan tenaga.

Dalam hantaran Facebook pada 6 Mei, Dr Balakrishnan berkata Qatar dan Singapura ialah rakan lama yang bergantung pada laluan maritim, dan menegaskan kepentingan laluan tanpa halangan di Selat Hormuz selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Beliau menambah bahawa semua pihak perlu menahan diri dan meredakan ketegangan bagi menyelesaikan konflik tersebut melalui rundingan dengan niat baik.