Lebih 150 peserta menyertai Fiesta Bola Sepak 2026 yang dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh SPH Media pada 7 Jun yang diadakan di Pusat Latihan Lion City Sailors yang terletak di Mattar Road (Aljunied).

Acara itu menyaksikan 22 pasukan mewakili 18 syarikat daripada pelbagai industri seperti teknologi, penjagaan kesihatan, kewangan, pengangkutan dan impak sosial bersaing untuk hadiah wang tunai tertinggi sebanyak $5,000.

Berucap di acara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, berkata acara tersebut bertujuan menyatukan orang ramai dan mengukuhkan semangat setiakawan dengan pasukan.

Ia juga bertujuan untuk menggalak syarikat-syarikat dan peserta memupuk hubungan baharu merentasi industri dan meraikan semangat melalui kerja berpasukan dan sukan, tambahnya.

“Tahun ini amat istimewa kerana ia merupakan tahun Piala Dunia Fifa, peringatan tepat pada masanya bahawa bola sepak mempunyai cara unik untuk menghubungkan orang ramai merentasi budaya, industri dan masyarakat.

“Ia menunjukkan kejayaan dibina bukan sahaja berdasarkan bakat individu, tetapi juga berdasarkan kepercayaan, komunikasi dan yang paling penting, kerja berpasukan. Nilai-nilai ini sama pentingnya, bukan sahaja di padang, tetapi juga di tempat kerja,” kata Encik Chan.

Antara yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut termasuk pasukan dari Masjid Alkaff Kampung Melayu, SMRT, Samsung, Kuok Group Singapore, Institusi Perubatan Sian Chay, dan ONE°15 Marina.

Perlawanan tersebut juga melibatkan pasukan yang mewakili Kedutaan Mexico di Singapura dan Suruhanjaya Tinggi Canada di Singapura, yang juga merupakan rakan diplomatik untuk Fiesta Bola Sepak 2026.

Duta Besar Mexico di Singapura, Encik Agustin Garcia-Lopez Loaeza turut hadir sebagai Tetamu Kehormat.

Berucap semasa acara tersebut, Encik Loaeza berkata acara itu berfungsi sebagai peringatan bahawa bola sepak bukan sahaja tentang persaingan tetapi juga tentang menyokong mereka yang paling memerlukannya.

Acara tersebut juga menunjukkan bagaimana orang ramai dapat menggunakan bola sepak sebagai sukan yang inklusif dan membawa perubahan positif kepada kehidupan orang ramai, tambahnya.

“Fiesta Bola Sepak menunjukkan semangat sebenar bola sepak – kompetitif, menyeluruh, dan sentiasa inklusif – fokus kepada insan, belas ihsan dan masyarakat di seluruh dunia.

“Ia datang pada masa yang luar biasa, hanya empat hari sebelum Piala Dunia 2026 bermula,” kata Encik Loaeza.

Syarikat tempatan Sea Limited, yang menyokong sebagai rakan kongsi acara tersebut, dan SportCares, tujuan sosial rasmi acara tersebut, turut menampilkan pasukan masing-masing di fiesta tersebut.

Semasa acara tersebut, Encik Chan turut menyampaikan cek bernilai $10,000, yang merupakan sebahagian daripada hasil daripada acara tersebut, kepada Encik Shawn Lim, Pengarah SportCares.

Pertandingan lima sepasuk itu turut menampilkan dua pasukan dari SPH Media, termasuk satu pasukan dari Berita Harian (BH).

Selain aksi perlawanan bola sepak, peserta yang menghadiri acara tersebut juga berpeluang untuk menguji kemahiran mereka dalam cabaran bola sepak seperti menggelecek bola dan cabaran rembatan tepat (sharp shooter), dan menyertai klinik bola sepak.