Berjalan kaki di bawah bahang tengah hari dengan wajah berceloreng sambil menggalas beg kelengkapan tentera benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental Cik Nur Fatinah Muhammad Firdaws, 21 tahun.

Namun, pengalaman selama tiga hari sempena Kem Latihan Wanita, atau Women’s Boot Camp (WBC), di Kem Maju mengukuhkan lagi minat pegawai jaminan mutu itu terhadap bidang ketenteraan.

Cik Fatinah akur minatnya terhadap dunia ketenteraan berputik sejak di bangku sekolah, khususnya menerusi penglibatannya dalam kegiatan beruniform.

Malah, ketika di sekolah menengah beliau pernah menyimpan hasrat untuk menyertai Kor Kadet Kebangsaan (NCC). Malangnya, kegiatan itu hanya terbuka kepada pelajar lelaki di sekolahnya.

Beliau sebaliknya menyertai Kor Kadet Polis Kebangsaan (NPCC), yang menyemai dalam dirinya nilai disiplin dan ketepatan masa.

Justeru, apabila berpeluang merasai sendiri pengalaman menjalani latihan ketenteraan, Cik Fatinah tidak teragak-agak untuk menyertai kem tersebut bersama teman karibnya sejak 11 tahun lalu, Cik Eudora Loh Xuan Ying, 21 tahun.

Dua sahabat karib, Cik Nur Fatinah Muhammad Firdaws (kiri) dan Cik Eudora Loh Xuan Ying, merupakan antara lebih 160 wanita yang menyertai Kem Latihan Wanita edisi ketujuh dari 27 hingga 29 November..
Dua sahabat karib, Cik Nur Fatinah Muhammad Firdaws (kiri) dan Cik Eudora Loh Xuan Ying, merupakan antara lebih 160 wanita yang menyertai Kem Latihan Wanita edisi ketujuh dari 27 hingga 29 November.. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mereka antara lebih 160 wanita berusia antara 13 dengan 60 tahun yang menyertai kem edisi ketujuh itu yang berlangsung dari 27 hingga 29 November.

Para peserta terdiri daripada golongan lingkungan usia antara 13 dengan 60 tahun.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Diperkenalkan pada 2018 dan dikendalikan Kor Sukarelawan Angkatan Bersenjata Singapura (SAFVC), kem tersebut bertujuan meningkatkan pemahaman dan penghargaan masyarakat terhadap Perkhidmatan Negara (NS).

Ini di samping menggalak golongan wanita memainkan peranan aktif dalam pertahanan negara, menurut Kementerian Pertahanan (Mindef).

Edisi kem tahun ini memperkenalkan beberapa kegiatan latihan baru, termasuk pengendalian dron dan latihan ketahanan di lapangan yang memerlukan peserta menyediakan makanan sendiri serta membina tempat berteduh sementara.

Antara yang turut dikekalkan dalam edisi tahun ini ialah latihan berjalan sejauh dua kilometer dengan wajah berceloreng sambil menggalas beg kelengkapan tentera atau field pack.

Berucap di majlis penutup kem tersebut pada 29 November, Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo, menekankan kekuatan pertahanan Singapura bukan sahaja bergantung pada keupayaan ketenteraan, malah pada komitmen dan daya tahan rakyatnya.

“Semakin lama kita menikmati keamanan, semakin mencabar untuk mengekalkan komitmen terhadap pertahanan kerana kita cenderung menganggapnya sebagai tanggungjawab orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Choo menekankan pentingnya sokongan berterusan terhadap NS serta peranan setiap rakyat Singapura dalam mempertahankan negara.

Beliau menambah: “Jangan sekali-kali kita lupa bahawa hanya kita semua yang boleh diamanahkan untuk menjaga keselamatan dan keamanan Singapura. Kita tidak boleh menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain.”

Selain menjalani latihan ketenteraan, peserta berpeluang berdialog dengan Panglima Pasukan Pertahanan (CDF), Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng, serta berinteraksi dengan pegawai wanita Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Cik Fatinah menambah sesi perkongsian itu juga yang mengukuhkan lagi minatnya terhadap bidang ketenteraan, malah kini sedang mempertimbangkan untuk menyertai SAFVC, iaitu skim yang menggalakkan rakyat Singapura dan Penduduk Tetap menyumbang dan menunjukkan sokongan kepada pertahanan negara.

“Walaupun hanya menjalani latihan ketenteraan yang diubah suai, saya sudah dapat merasakan betapa mencabarnya NS dari segi fizikal dan mental.

“Pengalaman ini membuat saya lebih menghargai pengorbanan, usaha dan komitmen anggota NS kita dalam berkhidmat untuk negara,” katanya.

Buat julung kalinya juga, ibu bapa peserta dijemput menghadiri majlis penutupan kem tersebut.

Pasangan ibu bapa, Cik Siti Noraisah Roslan, 44 tahun, dan Encik Muhammad Firdaws Abdul Jabbar, 52 tahun, terlihat turut berkongsi kegembiraan bersama anak sulung mereka.

“Kami amat berbangga dengan anak kami (Fatinah). Meskipun bertubuh kecil, dia mampu mengharungi segala cabaran sepanjang kem itu,” kata Cik Noraisah.

“Kami tidak berasa bimbang kerana yakin aspek keselamatan dititikberatkan dalam latihan ketenteraan. Justeru, kami menggalaknya merebut peluang ini,” tambahnya.

Menurut Cik Noraisah, yang juga pernah menyertai NPCC semasa di bangku sekolah, pengalaman sedemikian dapat membantu golongan wanita memahami dengan lebih mendalam tuntutan NS.

“Bagi saya, jantina bukan penghalang untuk merasai pengalaman sedemikian. Golongan wanita juga perlu memahami cabaran yang dilalui kaum lelaki semasa menjalani NS.

“Kita juga mempunyai peranan dalam menjaga keselamatan dan mempertahankan negara,” katanya.