Lebih 3,400 ibu bapa dan kanak-kanak telah meraih manfaat daripada lebih 80 sesi KelasMateMatika (KMM) pada 2025, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Ini menunjukkan bahawa usaha itu berada di landasan yang betul untuk mendekati dan menyokong lebih ramai ibu bapa dan kanak-kanak di peringkat prasekolah, katanya.
Encik Zaqy, yang juga Pengerusi Mendaki, berkata demikian kepada media semasa ditemui di acara Family PlayDate di Sekolah Rendah Fuchun pada 12 Oktober.
Family PlayDate merupakan inisiatif Mendaki untuk memperkukuh hubungan keluarga menerusi kegiatan antara ibu bapa dengan anak-anak, memupuk ikatan kemasyarakatan serta menghubungkan ibu bapa dengan program dan sumber pendidikan Mendaki seperti KMM.
Encik Zaqy berkata hampir 1,000 ibu bapa dan kanak-kanak telah menyertai acara Family PlayDate itu sejak ia diperkenal pada September 2024.
Tambahnya, sekitar 400 daripada ibu bapa dan kanak-kanak itu telah menyertai KMM.
Encik Zaqy turut disertai CEO-Dilantik Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber; Pengerusi M³@Marsiling-Yew Tee, Dr Faisal Johandi; dan Naib Pengetua Sekolah Rendah Fuchun, Encik Sudhesh Vasu Dash di acara Family PlayDate di Sekolah Rendah Fuchun itu.
Selain kegiatan seperti melukis wajah, karikatur dan membentuk belon, peserta juga dapat menikmati permainan Mathematics At Home: Domino Game yang memupuk pemikiran strategik dan kemahiran matematik secara interaktif.
KMM turut mengadakan bengkel dan kegiatan buat keluarga yang mempunyai anak-anak prasekolah berusia antara empat dengan enam tahun.
Menurut Mendaki, acara Family PlayDate yang diadakan di Sekolah Rendah Fuchun itu merupakan kali ke-12 ia diadakan sejak September 2024.
Encik Zaqy berkata program seperti KMM membantu ibu bapa memahami cara membimbing dan mendorong anak-anak mereka, khususnya dalam membina keyakinan diri dan kemahiran celik angka asas.
“Ini memberi mereka satu asas supaya anak-anak kita bersedia menghadapi Darjah Satu apabila memasuki sekolah rendah.
“Ada di antara ibu bapa juga mengatakan bahawa mereka dapat manfaat daripada program ini kerana mereka dapat memahami akan keperluan Kementerian Pendidikan (MOE), sekolah dan bagaimana mereka dapat membimbing anak-anak mereka dalam subjek Matematik di rumah menggunakan alat permainan dan sebagainya,” kata beliau, yang juga Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee.
Menukil contoh berdasarkan kajian mengenai tumbesaran kanak-kanak, Encik Zaqy menekankan pentingya mengambil peluang memberi pendedahan awal dan bimbingan kepada anak-anak.
Ini lebih-lebih lagi ketika mereka berusia antara dua dengan enam tahun yang merupakan tahun-tahun yang penting dalam pembangunan kanak-kanak, tambah beliau.
Seorang bapa yang menyertai acara itu, Encik Muhammad Syarifuddin Daud, 33 tahun, mendapati program itu membantu beliau memahami minat serta keperluan anaknya untuk menjadikan sesi pembelajaran lebih bermakna dan seronok.
Mengulas lebih lanjut tentang pengalaman bermain permainan domino di acara itu, bapa dua anak perempuan berumur tiga dan lima tahun itu berkata:
“Saya belajar tentang pentingnya untuk kita memberi perhatian sepenuhnya untuk memerhati anak kita, dari segi apa yang dia suka dan tidak suka, dan apa yang membuat dia minat sebelum kita masukkan (elemen) pelajaran.
“Saya akan terus bermain permainan ini di rumah. Saya boleh bawa balik dan main bersama anak-anak saya serta isteri, jadi ia juga menjadi satu kegiatan baru kami sekeluarga di rumah.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg