Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak badan Melayu/Islam sertai usaha sokong banduan, keluarga mereka

Jun 29, 2025 | 2:38 PM
faishal ibrahim, daging korban
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), membantu mengagihkan daging korban di bawah Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ekosistem sokongan bagi proses pemulihan dan integrasi semula para banduan dan bantuan bagi keluarga mereka semakin mantap saban tahun.

Bahkan semakin banyak organisasi yang turut menyertai usaha tersebut.

Penglibatan masyarakat ini adalah sesuatu yang patut diteruskan, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Ditemui di Masjid An-Nur pada 29 Jun bagi acara Pengagihan Daging Korban Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam, Dr Faishal, yang hadir sebagai tetamu terhormat berkata:

“Ekosistem sokongan dalam proses pemulihan dan integrasi semula para banduan dan sokongan bagi keluarga mereka semakin mantap dan kukuh saban tahun. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita rasa prihatin tentang kehidupan rakan-rakan kita di sana dan keluarga mereka.

“Hari ini kami gembira melihat lebih banyak organisasi telah tampil. Kami mempunyai 17 daripada mereka tampil bukan sahaja untuk mengagihkan daging korban, malah untuk menyumbang dari segi baucar atau beberapa aspek lain di mana mereka boleh memainkan peranan.

“Ini adalah satu gambaran yang baik kerana dengan adanya banyak organisasi dan juga (anggota) masyarakat kita yang turun padang, kita dapat meluaskan pendekatan kita.”

Diadakan buat kali ketiga, acara pengagihan daging korban yang dijalankan secara tahunan itu bertujuan mendekati dan menyebarkan kegembiraan kepada keluarga yang terjejas oleh penyalahgunaan dadah dan pemenjaraan.

Keluarga-keluarga ini merupakan penerima manfaat organisasi di bawah Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam.

Sebanyak 127 keluarga meraih manfaat daripada acara korban tersebut pada 2025.

Setiap keluarga menerima 2 hingga 3 kilogram daging korban, baucar dan barangan daripada agensi penyumbang, risalah program oleh Yayasan Mendaki dan nota peribadi daripada Dr Faishal.

Sebanyak 17 badan Melayu/Islam termasuk enam agensi baru yang menyertai acara tersebut tahun ini.

Antara badan yang menyertai acara itu buat kali pertama ialah Perdaus yang telah menyumbang baucar pasar raya NTUC bernilai $50 bagi setiap keluarga penerima bantuan.

“Kami terdorong menyertai usaha ini...kerana kami mahu membantu masyarakat.

“Kami mahu memberi sokongan dan juga menunjukkan bahawa kami ada bersama-sama keluarga banduan dan mereka tidak keseorangan dalam perjalanan ini menghadapi apa jua cabaran,” kata Ustaz Zulhilmi Mohamed, Pengarah Eksekutif Perdaus, yang turut hadir di acara tersebut.

Ustaz Zulhilmi Mohamed, Pengarah Eksekutif Perdaus (bersongkok) bersalaman dengan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa acara Pengagihan Daging Korban Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam di Masjid An-Nur pada 29 Jun.
Ustaz Zulhilmi Mohamed, Pengarah Eksekutif Perdaus (bersongkok) bersalaman dengan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa acara Pengagihan Daging Korban Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam di Masjid An-Nur pada 29 Jun. - Foto BH oleh KHALID BABA

Penglibatan lebih banyak badan Melayu/Islam merupakan perkembangan positif yang menandakan penglibatan dan kerjasama lebih besar daripada masyarakat, kata Dr Faishal.

“Ini adalah satu pendekatan yang kita mahu teruskan kerana selain daripada kerja-kerja baik pemerintah dan agensi-agensi lain, yang penting kita harus menggembleng tenaga masyarakat.

“Kalau kita lihat dan dengar apa yang para banduan dan keluarga mereka katakan... mereka rasa mereka tidak keseorangan, mereka tahu ada dalam kalangan masyarakat kita yang mahu menolong dan ini meringankan beban mereka.

“Jadi saya harap sama-sama kita membangunkan masyarakat yang prihatin, inklusif dan menjaga kemaslahatan masing-masing,” ujar Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg