Seorang pesalah tegar berusia 21 tahun dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 15 sebatan rotan atas beberapa kesalahan, termasuk serangan seksual terhadap gadis bawah umur.

Dia melakukan kesalahan itu ketika berusia antara 15 hingga 17 tahun. Sembilan mangsa serangan seksualnya berusia antara 13 hingga 16 tahun.

Pihak pendakwaan berkata dia melakukan beberapa kesalahan ketika dibebaskan dengan ikat jamin polis dan mahkamah, sebelum melakukan jenayah ganas termasuk merusuh dan mencederakan dengan senjata bahaya.

Pemuda itu mengaku bersalah pada 21 September atas tuduhan termasuk serangan seksual melibatkan penetrasi, mencabul kehormatan, mencabul kehormatan terlampau, rogol statutori, merusuh dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata bahaya.

Dia mengaku bersalah terhadap sembilan tuduhan, manakala 29 tuduhan lain diambil kira dalam menjatuhkan hukuman, termasuk ancaman dan perbuatan menyebarkan imej serta rakaman intim mangsa lain.

Di Mahkamah Tinggi, Hakim Dedar Singh Gill berkata lelaki itu amat tidak mengendahkan undang-undang kerana melakukan beberapa kesalahan ketika diikat jamin, selain menyifatkan jumlah dan kepelbagaian kesalahannya sebagai membimbangkan.

Perintah larangan penerbitan (gag order) dikenakan bagi melindungi identiti mangsa, manakala pesalah tidak boleh dikenal pasti kerana berusia bawah 18 tahun ketika melakukan kesalahan.

Dokumen mahkamah menunjukkan dia mencari gadis melalui media sosial atau kenalan bersama antara November 2020 hingga Disember 2022.

Dia berkenalan dengan mangsa pertama menerusi Instagram ketika gadis itu berusia 15 tahun dan dia 16 tahun.

Pada 14 Mei 2021, dia mengajak gadis itu ke rumahnya dan mangsa bersetuju kerana menyukainya. Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jane Lim berkata pesalah membuat mangsa percaya dia mempunyai perasaan yang sama.

Mereka melakukan hubungan seks dalam tempoh dua hari berikutnya.

Pada 30 Mei 2021, dia meliwat mangsa hingga menyebabkan kesakitan. Mahkamah diberitahu dia bertindak kasar dalam kebanyakan pertemuan mereka hingga menyebabkan mangsa mengalami pendarahan beberapa kali.

Pada Julai 2021, dia berkenalan dengan seorang gadis berusia 13 tahun, lalu melakukan serangan seksual di ruang tangga sebuah blok HDB.

Mangsa kemudian memberitahu rakannya mengenai kejadian itu dan laporan polis dibuat pada 30 Julai 2021. Pesalah ditangkap pada 30 Ogos 2021.

Ketika diikat jamin, dia berkenalan dengan seorang gadis berusia 14 tahun menerusi kenalan bersama pada April 2022 dan mengajaknya ke rumahnya pada 12 Ogos selepas berbual dalam talian.

Gadis itu bersetuju selepas diberitahu dua rakannya turut berada di situ. Setibanya mangsa, dia menyuruh kedua-duanya keluar, menutup pintu bilik dan berkata akan menghukumnya kerana lewat.

Dia menekan bahu mangsa ke katil dan mencabulnya, sebelum mendedahkan kemaluan serta cuba memaksanya melakukan perbuatan seksual.

Apabila mangsa enggan, dia memegang kepalanya untuk memaksanya melakukan perbuatan itu serta memaksa tangannya menyentuh kemaluannya.

Mahkamah diberitahu dia menjadi marah apabila mangsa terus menolak percubaannya, sebelum menyuruhnya meninggalkan rumah.

Pada 23 Ogos 2022, gadis itu memberitahu bapa saudaranya, 29 tahun, mengenai serangan tersebut.

Beberapa hari kemudian, dia mencabul seorang gadis berusia 13 tahun di tandas orang kurang upaya di Northpoint Shopping Centre.

Pada 20 Disember 2022, dia menyerang mangsa seterusnya, yang turut dikenalinya dalam talian, di tandas orang kurang upaya di Jurong Point.

Mahkamah turut diberitahu bahawa pesalah mempunyai kaitan dengan kumpulan samseng jalanan ketika melakukan kesalahan.

Pada 18 Ogos 2022, dia bersama lima individu membelasah seorang remaja lelaki berusia 14 tahun selepas seorang anggota kumpulannya mendakwa tidak berpuas hati dengan mangsa.