Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki pertama didakwa edar Kpod di bawah undang-undang diperketat, dijel lebih 3 tahun
Lelaki pertama didakwa edar Kpod di bawah undang-undang diperketat, dijel lebih 3 tahun
Lelaki pertama didakwa edar Kpod di bawah undang-undang diperketat, dijel lebih 3 tahun
Lelaki pertama yang didakwa mengedar Kpod sejak etomidate disenaraikan sebagai dadah terkawal dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, 10 bulan dan dua minggu.
Derek Khor Boon Chun dikenakan dua sebatan rotan.
Khor, 41 tahun, mengaku bersalah pada 23 November atas lima tuduhan, termasuk memiliki etomidate, mengambil dan mengedar dadah serta memandu dalam tempoh larangan.
Khor, yang sudah hilang kelayakan memegang lesen memandu, ditangkap ketika menghantar dadah itu.
Dia dilarang memandu selama 20 tahun selepas dibebaskan. Ini sabitan ketiganya kerana memandu dalam tempoh larangan.
Mahkamah diberitahu Khor pernah disabitkan atas kesalahan mengambil methamphetamine dan kesalahan lain pada 2016.
Dia mula menggunakan Kpod pada 2025, kemudian menjalankan perniagaan penghantaran Kpod selepas menyertai beberapa kumpulan Telegram.
Pada 6 September 2025, Khor memandu ke tempat letak kereta Blok 631 Ang Mo Kio Avenue 4 untuk menghantar Kpod.
Seorang pejalan kaki melihat dia berjalan terhuyung-hayang sambil memegang vape.
Polis menahan Khor ketika dia menerima mesej mengenai penghantaran Kpod daripada salah satu kumpulan Telegram itu.
Polis menggeledah keretanya dan menemui 43 pod serta lapan peranti vape dalam beg jinjing hitam.
Khor dibawa pulang di mana pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menemui 45 lagi peranti vape yang dibungkus berasingan.
Ujian air kencingnya kemudian positif bagi etomidate.
Khor direman dan dibawa keluar untuk siasatan. Dia dibebaskan dengan ikat jamin pada 15 September 2025.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Darren Ang berkata kesalahan berkaitan vape menyebabkan keresahan dan kebimbangan ramai.
Katanya, memandu di bawah pengaruh etomidate amat berbahaya.
Antara 2023 dengan 2025, 38 kemalangan jalan raya dikaitkan dengan penggunaan dadah dan etomidate. Daripada 19 kemalangan maut, sembilan melibatkan etomidate.
Seramai 2,504 orang ditangkap dan dikenakan tindakan kerana memiliki dan menggunakan vape dari 1 Julai hingga 30 September, menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan HSA pada 19 November.
Jumlah pesalah vape etomidate meningkat sekitar 27 peratus daripada 457 kepada 580, manakala jumlah pesalah vape biasa hampir sama dengan suku sebelumnya, iaitu 1,924.
Daripada 1,544 pesalah vape etomidate yang ditangkap antara 1 September 2025 dengan 30 September 2026, 367 mengulangi kesalahan mereka. Ada yang ditangkap tiga kali atau lebih.
Dalam tempoh itu, 67 pesalah berulang vape etomidate berusia 16 tahun dan ke atas dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC).