Perkhidmatan LRT Bukit Panjang (BPLRT) akan dihentikan pada 20 dan 27 September bagi peringkat akhir kerja pembaharuan.

Dalam hantaran Facebook pada 27 Ogos, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata penutupan sepanjang hari itu membolehkan kerja kejuruteraan dijalankan dan mengurangkan keperluan perkhidmatan tambahan.

LTA berkata, ini penutupan terakhir yang dirancang sebelum program pembaharuan BPLRT selesai menjelang akhir 2026.

Penumpang terjejas boleh menggunakan bas 922, 972 dan 963, serta bas ulang-alik B setiap lima hingga 10 minit.

Menurut imej dalam hantaran itu, bas ulang-alik akan melalui laluan Khidmat B BPLRT dari Choa Chu Kang ke Bukit Panjang menerusi stesen LRT Petir. Tambang biasa LRT akan dikenakan.

Program pembaharuan BPLRT merangkumi sistem bekalan kuasa yang diperbaharui sepenuhnya dan sistem isyarat kawalan kereta api berasaskan perhubungan yang dipertingkat, seperti yang digunakan di laluan MRT.

Ia turut melibatkan peningkatan pusat kawalan operasi dan penggantian rel kuasa yang membekalkan elektrik kepada kereta api.

Perubahan perkhidmatan sebelum ini termasuk menamatkan operasi pada 10.30 malam dari Khamis hingga Ahad, dari 14 November hingga 31 Oktober 2025.

Langkah itu bagi memudahkan peningkatan sistem isyarat BPLRT serta menguji kenderaan rel ringan baharu dan yang dipertingkat.

Pada 25 Januari, penutupan sepanjang hari dilaksanakan bagi peralihan sistem ke pusat kawalan operasi yang dipertingkat, yang memantau operasi, keselamatan dan kecekapan rangkaian.

Rangkaian berusia 27 tahun itu sering menghadapi masalah keandalan, dengan dua gangguan besar pada Julai yang menjejaskan kesemua 13 stesen.

Pada 19 Julai, perkhidmatan tren terhenti hampir dua jam selepas kerosakan bekalan kuasa melumpuhkan seluruh laluan.

Pada 3 Julai, gangguan bekalan kuasa menyebabkan perkhidmatan tergendala selama tiga jam.

Kedua-dua kejadian dikaitkan dengan sistem kawalan penyeliaan dan pemerolehan data kuasa (Power SCADA) yang baru dipasang, yang memantau dan mengawal pengagihan kuasa di seluruh laluan LRT.