Syarikat binaan yang menyelia kerja-kerja penggalian terowong didenda $84,000 pada 24 Julai selepas mengaku bersalah atas kecuaian kerja yang mengakibatkan kejadian lubang benam sehingga menjejas lalu lintas selama kira-kira seminggu pada November 2022.

Kerja penerowongan tersebut menyebabkan sebahagian Farrer Road runtuh dan mengakibatkan pembentukan lubang benam di susur keluar dari Holland Road ke Farrer Road pada 15 November 2022.

Pada 24 Julai, wakil syarikat daripada Nishimatsu Construction mengaku bersalah atas tiga tuduhan di bawah Akta Kawalan Bangunan.

Tiga tuduhan serupa diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Bagi salah satu tuduhan, Nishimatsu Construction mengaku gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam permit kerja binaan struktur, termasuk gagal memantau dan menilai semula parameter operasi utama penerowongan.

Syarikat Jepun itu turut didakwa menyimpang daripada pelan diluluskan, serta gagal menjalankan ujian penggerudian dan kerja penurapan yang diperlukan dari permukaan tanah pada masa sewajarnya.

Kegagalan syarikat itu akhirnya menyebabkan pembentukan lubang benam sepanjang 8 meter, dengan kelebaran 4 meter dan kedalaman lebih 3 meter.

Nishimatsu Construction telah dilantik oleh agensi air negara PUB untuk menjalankan kerja pembinaan bagi Sistem Pembetungan Terowong Dalam (DTSS) Fasa 2 di Farrer Road.

Sebagai sebahagian daripada tugas tersebut, syarikat itu dipertanggungjawabkan untuk menggali dan membina tiga terowong dengan diameter melebihi 2 meter.

Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) berkata runtuhan itu berlaku apabila tanah di depan mesin penggali terowong (TBM) yang sedang menjalani penyelenggaraan menjadi kurang stabil.

Mesin TBM berfungsi dengan menggali tanah di hadapannya dan membawa tanah itu ke bahagian belakang mesin, sebelum dibawa ke permukaan. 

Mesin tersebut juga boleh memasang gelung konkrit pada setiap bahagian yang digali.

Gelung-gelung ini membentuk dinding terowong.

Seorang individu bertauliah yang dilantik oleh Nishimatsu Construction, Kho Chza Main, 56 tahun, berdepan dua tuduhan di bawah Akta Kawalan Bangunan dan satu tuduhan di bawah Peraturan Kawalan Bangunan.

Kho dituduh gagal menilai keadaan tanah di tapak pembinaan dan pembinaan terowong berkenaan dari segi kesannya terhadap aspek geoteknik reka bentuk, serta gagal memantau dan menilai semula parameter operasi utama penerowongan secara berterusan.

Kho akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 31 Julai.

Seorang lagi lelaki, Kam Mun Wai, 58 tahun, yang dilantik oleh syarikat itu sebagai individu bertauliah, berdepan satu tuduhan di bawah Peraturan Kawalan Bangunan.

Kam didakwa gagal menilai keputusan pemantauan dan keadaan tapak di lokasi sekitar Farrer Road. 

Kes Kam ditetapkan untuk sesi praperbicaraan pada 31 Julai.

Lelaki ketiga, Ko Luan Bock, 67 tahun, dikenakan satu tuduhan di bawah Akta Kawalan Bangunan, selepas dia didakwa gagal mematuhi syarat-syarat di bawah permit kerja yang mengakibatkan mendapan tanah berlebihan dan kerosakan permukaan jalan di tapak kejadian.

Ko akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 31 Julai.