Topik diikuti
Pergi ke BHkuMadrasah Al-Ma’arif pergiat usaha pemodenan demi keperluan pelajar bagi dekad seterusnya
Madrasah Al-Ma’arif pergiat usaha pemodenan demi keperluan pelajar bagi dekad seterusnya
Tumpuan pembangunan kurikulum masa hadapan bukan sahaja kepada akademik, tetapi juga pemikiran kritikal, komunikasi, kepimpinan, literasi digital dan AI
Madrasah Al-Ma’arif pergiat usaha pemodenan demi keperluan pelajar bagi dekad seterusnya
Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah akan terus berkembang dalam tiga bidang – kapasiti pengajaran, kurikulum berteraskan celik digital, dan pemupukan persekitaran pembelajaran yang bermakna – sebagai persiapan untuk mengharungi dekad seterusnya apabila ia menyambut ulang tahun ke-100 pada 2036.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) menjelang majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-90 madrasah itu pada 19 September, mudirah Cik Maisarah Kasim, 54 tahun, berkata institusi keagamaan khusus untuk pelajar perempuan itu, ingin terus melahirkan Muslimah yang mempunyai asas agama kukuh, kecemerlangan akademik, pemikiran kritikal, kemampuan memimpin dan kesedaran sosial.
“Pada masa yang sama, Al-Ma’arif perlu terus memperkukuhkan hubungannya dengan masyarakat dan institusi di sekelilingnya.
“Madrasah bukan sebuah institusi yang berdiri sendiri; ia adalah sebahagian daripada fabrik sosial Singapura dan mempunyai peranan dalam membentuk generasi yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara,” kata beliau.
Justeru, demikian akan dilakukan dengan memperkukuhkan pedagogi, kemahiran digital, pembangunan profesional dan kesejahteraan guru.
Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada pembangunan kurikulum masa hadapan yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada akademik, tetapi juga pemikiran kritikal, komunikasi, kepimpinan, literasi digital dan AI.
Ketiga, persekitaran pembelajaran yang menyokong kolaborasi, kreativiti dan pembelajaran yang lebih bermakna akan terus diteroka madrasah itu, kata Cik Maisarah.
Mengimbau kembali perjalanan sembilan dekad Madrasah Al-Ma’arif, Cik Maisarah berkata banyak telah berubah sejak 1936.
“Namun, Al-Ma’arif sentiasa berkembang mengikut keperluan zaman tanpa meninggalkan identiti pendidikan Islamnya.
“Bagi Al-Ma’arif, evolusi bukan sekadar perubahan pada bangunan atau sistem, tetapi keupayaan untuk terus berkembang sambil mempertahankan nilai, prinsip dan identiti pendidikan Islamnya,” kata Cik Maisarah.
Allahyarham Kiyai Sheikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi telah mengasaskan Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah pada 1936 – bermula hanya dengan 60 pelajar lelaki dan perempuan.
Kemudian, pada 1948, ia mencatat sejarah apabila tiga pelajarnya melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor Islam, Universiti Al-Azhar.
Antara yang meneruskan pengajian ke Universiti Al-Azhar ialah anak beliau sendiri, Allahyarham Ustaz atau lebih dikenali sebagai Mu’allim Kamil Suhaimi, yang tamat pengajian Syariah dan Undang-Undang di Universiti Al-Azhar.
Menjelang 1969, Madrasah Al-Ma’arif menjadi madrasah khusus untuk pelajar perempuan.
Pada 1971, ia merupakan madrasah pertama untuk memperkenalkan dan mempersiapkan pelajar bagi menduduki peperikasaan GCE peringkat ‘O’ pada 1971 dan kemudian peringkat ‘A’ pada 1973.
Kini, Madrasah Al-Ma’arif menyediakan pendidikan berasaskan kurikulum dwi-sistem, sekular dan ukhrawi, khusus untuk pelajar perempuan dari peringkat sekolah rendah hingga pra-universiti.
Kesemua perkembangan ini menunjukkan bagaimana Madrasah Al-Ma’arif sentiasa bersedia untuk berubah dan berkembang supaya pendidikan Islam terus relevan dengan keperluan masyarakat, ujar Cik Maisarah.
Berkongsi tentang cabaran yang dihadapi sekolah itu, Cik Maisarah berkata:
“Dalam era moden, cabarannya ialah mengekalkan standard pendidikan agama yang tinggi sambil memenuhi tuntutan pendidikan nasional, di samping keperluan kewangan, pembangunan guru, kemudahan dan teknologi.
“Namun, antara kekuatan utama Al-Ma’arif ialah sokongan masyarakat. Madrasah ini dibina dan dipertahankan melalui wakaf, sumbangan masyarakat, pengorbanan guru, sokongan ibu bapa, alumni serta kepimpinan yang silih berganti.”
Selain Cik Maisarah, madrasah itu pernah dipimpin antara lain oleh Ustazah Sukarti Asmoin dari 1997 hingga 2017 dan Allahyarham Ustaz Mohd Amin Muslim dari 1990 hingga 1996.
Dalam pada itu, orang ramai yang berminat untuk menghadiri majlis makan malam ulang tahun ke-90 madrasah tersebut di Hotel Fairmont Singapore masih boleh membeli tiket sebelum 19 September.
