Pemerintah Singapura pada 3 November mengumumkan hasratnya untuk mewartakan 38 Oxley Road, kediaman keluarga mantan Perdana Menteri Pengasas Encik Lee Kuan Yew, sebagai Monumen Negara.
Jika diwartakan dan diperolehi oleh pemerintah, tapak bersejarah itu akan dijadikan tapak awam seperti taman warisan, menurut Lembaga Warisan Negara (NHB).
Langkah ini dimulakan dengan pengeluaran notis hasrat kepada pemiliknya, Encik Lee Hsien Yang.
Notis itu menyatakan hasrat Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, untuk mewartakan tapak tersebut.
Menurut laporan The Straits Times (ST), bangunan, struktur, dan tapak menjadi Monumen Negara apabila menteri kebudayaan, masyarakat dan belia mengeluarkan perintah pemeliharaan di bawah perlindungan NHB.
Encik Lee mempunyai dua minggu, iaitu sehingga 17 November, untuk mengemukakan bantahan.
Encik Neo kemudian akan menimbangkan sebarang bantahan sebelum membuat keputusan muktamad mengenai pewartaan tapak tersebut.
Tempoh bagi keputusan akhir itu tidak diperincikan dalam undang-undang.
Menurut pakar undang-undang Profesor Madya Kevin Tan, daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), keputusan menteri adalah muktamad, kecuali jika terdapat pelanggaran undang-undang atau prinsip keadilan.
Beliau menegaskan ini termasuk tindakan di luar bidang kuasa atau dilakukan dengan niat tidak baik.
Jika perintah pemeliharaan dikeluarkan di bawah Akta tersebut, pemerintah bercadang untuk memperoleh tapak tersebut bagi penilaian fizikal dan penyediaan garis panduan pemeliharaan yang menentukan ciri asal yang mesti dipelihara.
Menurut laporan jawatankuasa menteri pada 2018, ruang makan bawah tanah di rumah itu merupakan ruang penting di mana “idea dan keputusan yang membentuk masa depan Singapura” pernah dibincangkan oleh anggota pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Laporan itu juga menyatakan pemerintah mesti memperolehi hartanah itu dalam masa setahun selepas pewartaan untuk membebaskan pemilik daripada sebarang beban tatacara pemeliharaan.
Dr Lee Wei Ling, anak perempuan mendiang Encik Lee, merupakan penghuni terakhir rumah tersebut sebelum meninggal dunia pada 9 Oktober 2024.
Selepas pengambilalihan, NHB akan menyediakan garis panduan pemeliharaan – satu proses yang boleh mengambil masa sehingga dua tahun seperti yang berlaku bagi Fort Siloso, Monumen Negara ke-74 Singapura.
Pampasan kepada Encik Lee Hsien Yang akan ditentukan di bawah Akta Pengambilan Semula Tanah, berdasarkan nilai pasaran semasa.
Profesor Tan berkata pihak terlibat hanya boleh merayu jumlah pampasan, bukan pengambilalihan itu sendiri.
Ini bermakna Encik Lee Hsien Yang tidak dapat menghalangnya.
Pihak berkuasa menjelaskan pewartaan tidak bermakna semua struktur perlu dikekalkan.
Akta itu membenarkan hanya bahagian tertentu, seperti ruang makan bersejarah, diwartakan.
Ini merupakan jalan tengah yang turut menghormati wasiat mendiang Encik Lee Kuan Yew agar rumah itu dirobohkan atau tidak dibuka kepada umum.
Jika diperolehi dan diwartakan, pemerintah berhasrat menghapuskan ruang kediaman peribadi rumah itu bagi menghormati keinginan Encik Lee Kuan Yew untuk privasi.
NHB tidak menjelaskan maksud “ruang kediaman peribadi”.
Salah satu contoh bangunan yang hanya sebahagiannya diwartakan sebagai Monumen Negara ialah bekas tapak Cathay Building di Handy Road.
Hanya muka bangunan tersebut diwartakan sebagai Monumen Negara pada 2003, manakala bahagian lain digantikan dengan bangunan terkini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg