Dalam satu kolaj foto, mantan Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Heng Swee Keat, 64 tahun, memberikan penghargaan mengejut kepada isterinya, Cik Chang Hwee Nee, kerana setia di sisinya ketika beliau dalam proses pemulihan akibat serangan angin ahmar.
Beliau berucap sewaktu ‘Majlis Gala Ulang Tahun ke-10, Stesen Sokongan Angin Ahmar (S3), bagi meraikan satu dekad khidmat dan sokongan dalam penjagaan pesakit strok.
Majlis tersebut diadakan di The Ritz-Carlton, Millenia Singapore pada 23 Oktober.
Encik Heng mengalami penyakit angin ahmar akibat aneurisme (bengkak atau gelembung di arteri) pada 12 Mei 2016 dan rebah semasa mesyuarat Kabinet mingguan.
Beliau menjalani pembedahan saraf untuk mengurangkan tekanan dalam otak akibat pendarahan dan aneurisme itu berjaya ditutup.
Beliau dirawat di hospital selama lebih enam minggu, dengan Cik Chang sebagai penjaga utama.
Encik Heng, yang bersara daripada jawatan awam pada Mei lalu, kini telah pulih sepenuhnya.
Dalam ucapannya, beliau memuji isterinya yang berusia 62 tahun, juga pengerusi S3, sebagai “tulang belakang” yang membuat keputusan penting membolehkan doktor menyelamatkan nyawanya.
“Tanpa persetujuannya, saya tidak akan berada di sini hari ini,” jelasnya kepada hadirin.
Beliau menambah bahawa keadaan itu amat berat bagi isterinya, yang tidak tahu sama ada beliau akan kembali pulih dan mampu menjalani kehidupan seperti biasa seperti bercakap, berjalan, makan atau menulis semula.
“Namun, beliau tetap berada di sisi saya setiap hari.
“Apabila saya membuka mata, saya melihat beliau menangis,” katanya sambil menambah bahawa sokongan isterinya telah menjadi sumber kekuatan utamanya sepanjang tempoh pemulihan.
“Hari ini, beliau amat memahami ketakutan dan kebimbangan yang dilalui penjaga pesakit angin ahmar dan dengan itu, beliau mampu memimpin S3 dalam memberi sokongan bukan sahaja kepada pesakit, bahkan juga penjaga mereka,” ujarnya, lapor The Straits Times (ST).
Di akhir ucapannya, Encik Heng menghadiahkan sejambak mawar merah kepada isterinya sebagai tanda kasih dan penghargaan.
Ini bukan kali pertama beliau meluahkan penghargaan kepada isterinya.
Pada Mac 2020 sempena Hari Wanita Sedunia, Encik Heng menulis di Facebook dan Instagram bahawa isterinya “tiang kekuatan dan sokongan” beliau serta “#SuperSHEro” yang membantunya pulih sepenuhnya pada 2016.
Angin ahmar terjadi apabila bekalan darah ke sebahagian otak terhenti atau terganggu, lalu mengakibatkan kerosakan pada bahagian tersebut.
Terdapat dua jenis utama angin ahmar iaitu iskemik, berlaku apabila saluran darah ke otak tersumbat dan hemoragik, apabila berlaku pendarahan dari saluran darah yang pecah di dalam otak.
Bekas pesakit angin ahmar lain, termasuk pelawak, Suhaimi Yusof; pemain gitar utama Sweet Charity, Rosli Mohalim; duo Nuradee dan bekas penyampai radio, Encik Bernard Lim, turut menyampaikan sejambak bunga kepada pasangan dan penjaga mereka pada majlis itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg