Daripada 10 sen ke $10: Perubahan nilai duit Raya ikut peredaran zaman
Daripada 10 sen ke $10: Perubahan nilai duit Raya ikut peredaran zaman
Dapatan tinjauan sayap penyelidikan AMP S’pura, Rima: 75% responden tetap pilih terima duit Raya secara fizikal; 93% pemberi masih serah duit dalam sampul Raya
Semasa beraya ketika zaman kanak-kanak pada era 1960-an dan 1970-an, menerima duit Raya berjumlah 5 hingga 10 sen sudah dianggap satu kemewahan dan cukup ‘hebat’ bagi Encik Shariff Mohd Shahar.
“10 sen dahulu dah boleh beli mercun sepapan. 30 sen dah boleh beli mi rebus. Tahun 1970-an, duit Raya mula naik sikit dalam 20 sen.
“Kalau mak-mak selalu beri lebih sikit pada anak-anak, paling tinggi pun 30 sen atau 50 sen. Tapi kalau pergi rumah kampung jiran, masih lagi 10 sen waktu itu,” imbas beliau.
“Jika sempat beraya sehingga 15 rumah sehari, bolehlah kita collect $1.50,” tambah Encik Shariff.
Berbeza dengan ‘kadar pasaran’ zamannya dahulu, Encik Shariff, 66 tahun, hari ini memberikan jumlah duit Raya yang jauh lebih tinggi kepada cucu-cucu, anak-anak saudaranya dan kanak-kanak – antara $4 dengan $20, menyesuaikan nilainya supaya relevan dengan keperluan hari ini.
Menurut dapatan satu siri tinjauan yang dijalankan sayap penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), baru-baru ini, jumlah antara $4 dengan $20 adalah kadar biasa yang diberikan kepada saudara-mara lebih muda semasa Hari Raya kini.
Bahkan, ada juga yang bersedia menghulur lebih, sehingga $50.
Bagi saudara-mara jauh yang lebih muda atau mereka yang tiada ikatan keluarga, kadar pasaran duit Raya didapati lebih rendah, tertumpu pada lingkungan $2 hingga $5.
Kadar duit Raya itu telah jauh berubah jika dibandingkan dengan tahun-tahun 1970-an, di mana kanak-kanak mungkin menerima antara 5 sen dengan 50 sen.
Evolusi kadar duit Raya itu mencerminkan perubahan nilai mata wang, terutama disebabkan faktor inflasi, kata Cik Izzatie Adnan, penganalisis penyelidik di Rima kepada Berita Harian (BH).
“$1 yang sama pada masa lalu boleh membeli lebih banyak barang berbanding $1 pada hari ini.
“Namun, kami dapati masyarakat sedang menyesuaikan amalan budaya supaya dapat kekal relevan dalam persekitaran kos sara hidup lebih tinggi.
“Lagipun, harga sebungkus nasi lemak boleh mencecah $3 atau lebih pada masa sekarang, sedangkan ibu bapa kita – hanya satu generasi yang lalu – tidak membayar walaupun 10 peratus daripada harga tersebut sewaktu mereka masih kanak-kanak,” kata beliau.
PEMBERIAN DUIT RAYA PENUH MAKNA, PUPUK SIFAT MEMBERI
Bagi Encik Hariz Emran, Hari Raya Aidilfitri tahun ini lebih istimewa kerana ini kali pertama beliau akan memberikan duit Raya kepada keluarga dan sanak saudara.
Tradisi tersebut dilihat sebagai satu “satu fasa peralihan yang bermakna” bagi penjawat awam berusia 25 tahun itu memandangkan beliau kini telah melangkah ke alam pekerjaan.
“Dalam satu sudut, ia memberi saya rasa pencapaian, tetapi pada masa yang sama juga, rasa syukur kerana dapat menyumbang kembali kepada keluarga saya,” katanya.
Begitu juga perasaan seorang lagi pemberi kali pertama, Encik Abdul Rauf Saharudin, 25 tahun. Jurutera sivil itu menganggap pemberian duit Raya sebagai satu tanda melangkah ke lembaran baharu dalam hidupnya selepas memasuki alam pekerjaan pada Ogos 2025.
Dalam masyarakat Melayu, tradisi memberi duit Raya bukan sekadar untuk kegembiraan kanak-kanak, malah menjadi wadah menyantuni golongan lebih tua, seperti ibu bapa, datuk nenek, serta bapa dan ibu saudara yang kurang sihat atau tidak lagi bekerja.
Dapatan tinjauan Rima membuktikan kemurahan hati masyarakat Melayu terhadap saudara-mara yang lebih lanjut usia ini.
Bagi golongan ini, sebahagian besar responden menyatakan mereka memberikan jumlah yang lebih tinggi, sekitar $20 hingga $50, dengan nilai terendah $10 dan tertinggi $100.
Menurut pengkaji warisan, Encik Sarafian Salleh, tradisi memberi duit Raya dalam masyarakat Melayu ini berakar umbi sejak zaman dahulu lagi.
“Sebelum wujudnya penggunaan mata wang, masyarakat Melayu biasanya menghadiahkan juadah tradisional seperti kuih-muih atau manisan.
“Seiring dengan peredaran zaman, wang tunai menjadi medium yang lebih sesuai dan praktikal bagi pertukaran tanda ingatan ini,” kata beliau.
Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF), Dr Norshahril Saat, pula berkata tradisi duit Raya itu menonjolkan sifat memberi dalam kalangan orang Melayu, selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan amalan menyumbang dan bersedekah.
“Ini menunjukkan budaya Melayu itu amat rapat sekali dengan agama Islam… dan kita tahu memberikan sumbangan dan bersedekah itu adalah sebahagian daripada agama Islam.
“Ia tidak banyak menyimpang daripada ajaran Islam, justeru ia menjadi satu budaya yang dianggap baik dan diteruskan,” kata beliau.
FAKTOR PENENTU JUMLAH DUIT RAYA
Tetapi, bagaimanakah individu menentukan berapa banyak duit Raya yang perlu diberi, dan apakah faktor yang menentukan ‘kadar pasaran’?
Penganalisis penyelidik, Cik Izzatie, berpandangan terdapat dua penentu kadar pemberian duit Raya – iaitu faktor luaran dan individu.
Faktor luaran merujuk kepada konteks atau norma masyarakat yang lebih luas, seperti kos sara hidup standard bagi penduduk dan nilai sebenar $5 hari ini berbanding 50 sen beberapa dekad yang lalu.
“Ini juga mungkin meliputi norma sosial yang samar, seperti apa yang dianggap sebagai jumlah ‘biasa’ untuk diberi atau diterima oleh si pemberi berdasarkan pemerhatian mereka terhadap persekitaran,” jelas beliau.
Faktor individu pula merangkumi taraf pendapatan dan pekerjaan, usia, saiz keluarga, serta kemurahan hati si pemberi.
Bagi Encik Muhammad Amirul Hakim Mohamad Helmy, 25 tahun, yang pertama kali bergelar pemberi Syawal ini, kadar duit Raya ditentukan mengikut kemampuannya dengan peruntukan sekitar $4 hingga $5 bagi setiap sampul.
“Kalau saudara-mara yang rapat, saya mungkin akan beri $5, tetapi untuk saudara mara jauh dan budak-budak yang tidak dikenali, saya akan beri kurang sedikit, mungkin $4,” ujar guru latihan jasmani itu.
Peralihan daripada memberi manisan ringkas dahulu kepada jumlah wang tunai yang besar hari ini menunjukkan taraf hidup masyarakat Melayu sudah meningkat, kata Encik Sarafian.
Namun, dalam diam, ia juga boleh mengaburkan semangat tradisi kemurahan hati, tambahnya.
“Hari ini, sifat pemurah sering diukur dengan tekanan inflasi dan kos sara hidup moden sehingga mengubah amalan ini daripada perkongsian rezeki yang spontan kepada satu jangkaan sosial yang lebih berstruktur.
“Kesannya, jumlah wang lebih besar yang diberi hari ini mungkin melambangkan tahap kejayaan material yang lebih tinggi, namun ia juga menonjolkan perjuangan moden untuk mengekalkan keikhlasan ‘hati yang pemurah’ dalam landskap budaya yang semakin mahal dan dikomersialkan,” ujar beliau.
ANTARA SAMPUL ATAU DIGITAL
Evolusi duit Raya, bagaimanapun, bukan sekadar pada ‘kadar pasaran’ yang semakin meningkat, malah pada cara ia bertukar tangan.
Dalam zaman dipacu teknologi hari ini, transaksi digital kini mula bersaing dengan tradisi lama.
Namun, meski tersedianya kemudahan khidmat e-pemindahan wang seperti PayNow, tarikan sampul Raya masih belum pudar.
Tinjauan Rima menunjukkan sekitar 75 peratus responden tetap memilih untuk menerima duit Raya secara fizikal. Kecenderungan yang sama terlihat pada si pemberi; 93 peratus daripadanya masih memilih untuk menyerahkan duit Raya secara fizikal berbanding digital.
Dr Norshahril berkata pemberian duit Raya secara fizikal terus menjadi pilihan utama mungkin kerana sentuhan fizikal dan peribadi saat bersalaman mempunyai nilai sentimental yang tidak boleh digantikan dengan kaedah digital.
“Satu aspek budaya dalam masyarakat kita adalah kita iringi pemberian itu dengan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan, iaitu ada sentuhan fizikal dan itu mungkin sebab kenapa platform digital ini masih belum lagi begitu popular,” kata beliau.
“Tetapi saya yakin pada masa akan datang, ia mungkin akan menjadi sesuatu yang terbiasa dalam masyarakat kita,” tambahnya.
Walau apa pun, Dr Norshahril berkata pemberian duit Raya tidak harus menjadi sesuatu yang memberi tekanan kepada si pemberi kerana tidak semua berkemampuan memenuhi jangkaan ‘kadar pasaran’.
“Bagi golongan kurang mampu, kadangkala mungkin ada tekanan bagi mereka dan mereka fikir, ‘Oh, ini kadar pasaran dan saya perlu berikan jumlah sebegini kepada ahli keluarga’.
“Oleh itu, kita perlu mendidik anak-anak kita supaya mereka tidak ada jangkaan tertentu, misalnya, mempersoalkan kenapa pak cik yang ini berikan sedikit, tidak seperti pak cik yang lain.
“Saya fikir kita perlu mengembangkan nilai dan makna di sebalik ajaran tradisi tersebut,” kata beliau.
“
$1 yang sama pada masa lalu boleh membeli lebih banyak barang berbanding $1 pada hari ini. Namun, kami dapati bahawa masyarakat sedang menyesuaikan amalan budaya supaya dapat kekal relevan dalam persekitaran kos sara hidup yang lebih tinggi. Lagipun, harga sebungkus nasi lemak boleh mencecah $3 atau lebih pada masa sekarang, sedangkan ibu bapa kita – hanya satu generasi yang lalu – tidak membayar walaupun 10 peratus daripada harga tersebut sewaktu mereka masih kanak-kanak.“
Bagi golongan kurang mampu, kadang kala mungkin ada tekanan bagi mereka dan mereka fikir, ‘Oh, ini kadar pasaran dan saya perlu berikan jumlah sebegini kepada ahli keluarga’. Oleh itu, kita perlu mendidik anak-anak kita supaya mereka tidak ada jangkaan tertentu, misalnya, mempersoalkan kenapa pakcik yang ini berikan sedikit, tidak seperti pakcik yang lain. Saya fikir kita perlu mengembangkan nilai dan makna di sebalik ajaran tradisi tersebut.“
Hari ini, sifat pemurah sering diukur dengan tekanan inflasi dan kos sara hidup moden, sehingga mengubah amalan ini daripada perkongsian rezeki yang spontan kepada satu jangkaan sosial yang lebih berstruktur. Kesannya, jumlah wang lebih besar yang diberi hari ini mungkin melambangkan tahap kejayaan material yang lebih tinggi, namun ia juga menonjolkan perjuangan moden untuk mengekalkan keikhlasan ‘hati yang pemurah’ dalam landskap budaya yang semakin mahal dan dikomersialkan.
