Seramai 30 keluarga di kawasan Beach Road menerima bantuan barangan dapur bernilai $45 setiap satu serta dua bungkus nasi sebagai makanan tengah hari pada 31 Ogos.
Majlis agihan tersebut dianjurkan oleh pertubuhan bukan raih untung Aces of Welfare Assistance and Liasons (A.W.A.L) sempena sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60).
Ia diadakan di Dewan Serbaguna Blok 4 Beach Road.
Menurut Presiden A.W.A.L, Encik Abdul Rahman Ahmad Baobed, sebahagian besar keluarga penerima telah mendapat bantuan tetap pertubuhan tersebut sejak empat tahun lalu.
“Persatuan A.W.A.L mula dikenal oleh sekumpulan keluarga melalui perantaraan seorang sahabat mereka, yang memperkenalkan A.W.A.L. ketika mereka belajar agama di Masjid Hajjah Fatimah dan Madrasah Alsagoff.
“Kini, keluarga-keluarga tersebut telah dimasukkan sebagai penerima habuan tetap di bawah skim bantuan kami.
“Kami juga sedang mengemas kini rekod peribadi penerima bantuan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih tepat,” jelas beliau ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Bantuan barangan dapur kali ini merangkumi pelbagai keperluan harian seperti beras basmati, tepung gandum, sardin tin besar, rempah soto, cili boh, tahu kering, bihun, gula serta barangan lain.
Seramai lapan orang terlibat dalam menjayakan pengagihan tersebut yang terdiri daripada lima sukarelawan dan tiga anggota A.W.A.L, termasuk Encik Abdul Rahman dan setiausaha agung kehormat pertubuhan tersebut, Encik Salim Nawer.
Di samping itu, Encik Abdul Rahman menekankan komitmen A.W.A.L dalam menyalurkan bantuan dengan sokongan aktif daripada masyarakat.
“Persatuan A.W.A.L ingin memperkenalkan peranan dan sumbangannya kepada masyarakat dengan lebih meluas,” ujar beliau.
Diasaskan pada 2020, A.W.A.L merupakan pertubuhan kebajikan yang menyalurkan bantuan kepada keluarga dan individu yang memerlukan, dengan matlamat untuk meningkatkan mutu hidup mereka.
Selain agihan bantuan, mereka juga terlibat dalam pelbagai kegiatan termasuk projek penjualan kupon amal Arnold’s, projek ibadah kurban serta penganjuran kem kepimpinan belia dengan sokongan dana daripada Mendaki.
Setakat ini, persatuan tersebut telah menggerakkan agihan bantuan selama lebih empat tahun di kawasan Beach Road dan tiga tahun di kawasan Boon Lay, dengan sokongan rapat daripada kumpulan kariah yang berpangkalan di sana.
Dalam pada itu, Encik Abdul Rahman berkata projek kedua akan diadakan dengan kerjasama Kelab Masyarakat (CC) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Boon Lay.
Projek berkenaan bertujuan memberikan habuan kepada 50 keluarga, dengan tarikh pelaksanaan akan ditentukan kelak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg