Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas pesakit barah semasa kanak-kanak kini bawa harapan kepada pesakit cilik
Kesan sampingan kemoterapi ragut keceriaan ketika kecil; kini mahu bantu ringankan derita pesakit barah cilik lain
Bekas pesakit barah semasa kanak-kanak kini bawa harapan kepada pesakit cilik
Sekitar 2018 hingga 2019, Faiz Ihsan Mohamad Sofian, yang ketika itu berusia sekitar tujuh tahun, hanya terlantar di sofa rumahnya sambil menonton televisyen.
Jika kanak-kanak sebayanya penat bermain seharian, Faiz yang kini berusia 15 tahun, sebaliknya baru sahaja selesai menempuh ‘perjuangan’ menjalani rawatan kemoterapi.
Setiap kali pulang daripada sesi kemoterapi akibat Wilms Tumor (barah buah pinggang), tubuh kecilnya tidak berdaya dan kelesuan direntap penyakit yang meragut keceriaan zaman kanak-kanaknya.
Namun, di sebalik penderitaan itu, anak kedua tiga beradik itu menunjukkan kematangan luar biasa.
“Minta maaf, Daddy... Mama...,” luah Faiz setiap kali dia muntah secara tidak sengaja disebabkan kesan daripada ubat kemoterapi yang dimakannya.
“Saya berasa bersalah kerana mereka terpaksa membersihkan muntah saya dan sentiasa bersedia sekiranya saya muntah lagi,” imbau Faiz.
Kini, selepas disahkan pulih daripada barah sepenuhnya pada 2024, Faiz bangkit dengan impian baharu – membawa sinar harapan kepada kanak-kanak lain yang sedang bertarung dengan penyakit yang sama.
Mengimbau pengalamannya menjalani kemoterapi, Faiz berkata:
“Saya tak rasa sangat sakit barah itu, tetapi setiap kali ubat kemoterapi dimasukkan, jarum perlu dicucukkan pada port kemoterapi yang dipasang di bawah bahu kiri saya.
“Disebabkan kulit di bahagian itu masih dalam proses pemulihan, setiap kali jarum dicucukkan, saya berasa amat sakit.”
Kesan sampingan ubat kemoterapi turut menyebabkan Faiz muntah secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran, walaupun ketika sedang tidur.
Akibatnya, dia sentiasa perlu membawa baldi kecil bersama-samanya sewaktu berada di rumah.
Proses kemoterapi itu perlu Faiz jalani sebagai langkah pemulihan.
Dia disahkan menghidap barah buah pinggang pada lewat Ogos 2018, ketika berusia tujuh tahun.
Ketika itu, dia mengalami demam berpanjangan dan muntah-muntah selepas menerima vaksin di sekolah.
Keluarga Faiz kemudian membawanya berjumpa doktor di klinik perubatan umum (GP) yang mendapati terdapat ketulan pada bahagian perutnya.
Ia kemudian disahkan doktor di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) selepas mereka melakukan pemeriksaan ujian imbasan ultrabunyi serta biopsi ke atas Faiz.
Justeru itu, Faiz perlu menjalani kemoterapi ketika sebelum dan selepas pembedahan untuk mengeluarkan tumor tersebut.
Menurut Faiz, penyakit itu turut menjejas hubungannya dengan orang sekeliling apabila dia menjadi sangat pendiam dan tidak banyak berbual dengan sesiapa.
“Saya jadi lebih malu dan khuatir tentang diri saya, terutamanya tentang parut yang saya ada pada bawah bahu kiri dan di sebelah kanan perut saya.
“Saya khuatir orang lain akan anggap saya berbeza hanya kerana saya pernah menghidap barah.
“Walhal, sebelum menjalani rawatan, saya seorang yang sangat aktif dan ceria di dalam kelas,” katanya.
Menurut ibunya, Cik Juliana Ramli, 50 tahun, keadaan Faiz yang perlu menjalani pengalaman sedemikian pada usia kecil amat memilukannya.
“Dia akan tanya pada kami, ‘Mama ia sangat-sangat sakitlah, kenapa saya yang perlu lalui penyakit ini dan bukan abang? Kenapa Allah tidak ambil saya sahaja?’
“Apabila dia tanya sebegitu, saya hanya berkata kepadanya, ‘Mungkin Allah mahu mengangkat darjat kamu lebih tinggi daripada kami,’” kata Cik Juliana.
Beliau menambah, mereka akan bantu menenangkannya dengan menggalakkannya mendengar ceramah agama dan berbual secara terbuka tentang barah tersebut, tanpa menganggapnya sebagai topik tabu.
Cik Juliana juga berkongsi bahawa satu lagi aspek penting dalam pemulihan Faiz ialah empat kucingnya – kini 11 – yang berjaya membantu dalam mengatasi kecenderungganya untuk muntah.
“Kami sangka tiada apa yang dapat membantunya kerana dia kerap muntah.
“Kami tanya kepada pakar onkologi sama ada dia boleh berinteraksi dengan kucing kami, dan doktor kata tidak mengapa, asalkan dia tidak dicakar. Maka, kami biarkan kucing itu keluar,” kata Cik Juliana.
Pengalaman perit itu sekali gus tidak mematahkan semangat Faiz yang akhirnya disahkan bebas daripada barah pada 2024.
Ingin memberi sinar harapan kepada pejuang barah kanak-kanak yang lain, Faiz kini menyumbang kembali melalui Yayasan Barah Kanak-Kanak (CCF) – agensi yang telah memainkan peranan penting dalam pemulihannya.
CCF telah membantu Faiz sekeluarga melalui sokongan emosi daripada kaunselor, penyediaan bilik permainan di hospital, serta bantuan kewangan seperti baucar teksi dan barangan dapur.
Selain itu, Faiz juga mengikuti program Place for Academic Learning and Support (Pals) di bawah Pusat Pendidikan CCF.
Program tersebut membantu Faiz dalam pelajarannya yang dia mungkin tertinggal akibat rawatan barah.
“Saya berasa amat bersyukur untuk semua ini.
“Saya pernah menerima bantuan, dan kini saya seperti mahu membalasnya semula dengan memberi semangat kepada orang lain.
“Saya bangga dengan diri saya kerana berjaya bertahan menempuh ujian ini.
“Melalui penyakit ini, saya percaya ada hikmah yang tersembunyi,” katanya, yang juga merupakan duta acara Walk of Hope 2026 anjuran CCF pada 12 September.
Apabila ditanya mengenai cita-citanya, Faiz tanpa ragu-ragu menjawab bahawa dia mahu menjadi seperti pakar onkologinya, Dr Prasad Iyer – konsultan kanan di KKH – yang telah bersamanya dari awal dia mula menghidap barah.
“Saya mahu membantu sesiapa sahaja yang melalui rasa sakit yang sama (terutamanya kanak-kanak) dan cuba meringankan beban yang mereka tanggung,” katanya.
“
“Saya tak rasa sangat sakit barah itu, tetapi setiap kali ubat kemoterapi dimasukkan, jarum perlu dicucukkan pada port kemoterapi yang dipasang di bawah bahu kiri saya. Disebabkan kulit di bahagian itu masih dalam proses pemulihan, setiap kali jarum dicucukkan, saya berasa amat sakit.”