Dikejutkan dek bau asap dan ketukan berterusan di pintu rumahnya, Siti Sara Hamid, hanya ingat satu perkara sahaja – memindahkan neneknya yang menghadapi masalah pergerakan.

Cik Sara, 29 tahun, dan beberapa anggota keluarganya sedang tidur apabila pegawai polis mengarahkan penduduk Blok 979B, Buangkok Crescent, supaya segera keluar, susulan kebakaran di sebuah unit kira-kira 12.30 pagi pada 20 Ogos.

Dalam keadaan terkejut dan terhuyung-hayang, nenek Cik Sara yang berusia 83 tahun, dipapah oleh jiran-jiran ke tingkat satu.

“Memandangkan nenek saya memerlukan alat jalan untuk bergerak, ia amat membimbangkan dan menyebabkan beliau panik.

“Namun, jiran-jiran kami begitu menyokong dan sabar. Mereka meminta nenek berhati-hati, jangan gopoh dan usah panik,” katanya.

Cabaran memindahkan penduduk warga emas yang mempunyai masalah pergerakan mendapat sorotan susulan empat kebakaran maut di estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam 19 hari antara 28 Julai dengan 16 Ogos, lapor The Straits Times.

Semua mangsa ialah warga emas, berusia antara 65 dengan 88 tahun.

Kira-kira 220 orang telah dipindahkan.

Anggota Parlimen (AP) dan agensi perkhidmatan sosial menyuarakan kebimbangan berhubung proses pemindahan.

Mereka turut mencari jalan merangka strategi bagi memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan serta sokongan pemindahan.

Agensi perkhidmatan sosial, Lions Befrienders Service Association (Singapura), yang menyediakan penjagaan dan sokongan kepada warga emas, berkata adalah penting bagi warga emas untuk mengesan bahaya.

Pengarah Eksekutif agensi itu, Cik Karen Wee, berkata:

“Kita perlu bertanya, ‘Mampukah warga emas ini membunyikan amaran kecemasan atau berpindah secara fizikal? Jika tidak, adakah seseorang yang berdekatan tahu bantuan mungkin diperlukan?’”

Menurutnya, mereka yang berisiko ialah warga emas yang uzur, tinggal bersendirian, mempunyai masalah pergerakan, gangguan pendengaran atau penglihatan, di samping pengasingan sosial dan penurunan kognitif.

Keadaan cemas yang sarat dengan tekanan, kepulan asap dan kekalutan boleh memburukkan lagi kekangan fizikal ini.

“Itulah sebabnya membina keupayaan masyarakat di samping kesediaan individu adalah amat penting,” kata Cik Wee.

Pengurus Pengurusan Kes Komuniti TOUCH di Khidmat Masyarakat TOUCH, Cik Violet Yang, berkata kesukaran untuk memindahkan warga emas semasa kebakaran merupakan isu seluruh negara yang memerlukan usaha sama semua agensi pemerintah dan rakan kongsi masyarakat berkaitan.

TOUCH bekerjasama dengan pihak berkuasa dan rakan kongsi masyarakat untuk mengenal pasti risiko lebih awal; menggalakkan pengaturan rumah yang lebih selamat; dan memastikan pelan pemindahan adalah jelas.

AP Yio Chu Kang, Encik Yip Hon Weng; dan AP GRC Jurong East-Bukit Batok, Encik David Hoe, telah memfailkan soalan di Parlimen beberapa bulan lalu mengenai pelan keselamatan dan pemindahan untuk warga emas dan mereka yang mempunyai masalah pergerakan jika berlaku kebakaran.

Pada Mac, Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Terence Ho, bertanya kepada Kementerian Pembangunan Negara (MND), tentang keselamatan kebakaran, berdasarkan rancangan kementerian untuk membina flat 60 tingkat.

MND menjawab bahawa Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah membantu badan-badan akar umbi seperti Jawatankuasa Kecemasan dan Penglibatan Masyarakat Persatuan Rakyat, untuk merancang serta menjalankan latihan pemindahan.

AP GRC Jalan Besar, Encik Shawn Loh, berkata dalam kebakaran di kawasan undinya pada 2025, penduduk tampil membantu memindahkan jiran yang menghadapi masalah pergerakan.

Namun, beliau menyatakan bahawa adalah tidak ideal untuk sentiasa bergantung kepada jiran untuk memindahkan penduduk.

Menurut Encik Loh, beliau akan mengemukakan soalan di Parlimen berhubung tindakan memecah masuk kediaman yang menimbulkan risiko berlakunya kebakaran serta mencetuskan bahaya.

Kebakaran maut baru-baru ini bermula pada 28 Julai apabila seorang lelaki berusia 70 tahun mati di sebuah unit di Blok 39, Circuit Road.

Pada 31 Julai, kebakaran di sebuah flat tingkat lapan di Blok 309, Clementi Avenue 4, telah mengorbankan seorang lelaki berusia 65 tahun.

Pada 3 Ogos pula, satu kebakaran di flat tingkat lima di Blok 684, Race Course Road, menyebabkan lima orang berusia antara 55 dengan 88 tahun dibawa ke hospital.

Lelaki berusia 88 tahun itu meninggal dunia pada 5 Ogos.

Pada 16 Ogos pula, seorang lelaki berusia 67 tahun meninggal dunia selepas kebakaran berlaku di Blok 339, Jurong East Avenue 1.