Masih segar dalam ingatan Encik Syahmi Akmal Hakim Mohamad Ismail pengalaman meminjam buku sastera Inggeris daripada pelajar lain demi menjimatkan perbelanjaan pendidikan.

Namun, pengalaman yang mengajarnya erti ketabahan itu tidak pernah mematahkan semangat beliau, yang ketika itu baru berusia 15 tahun, untuk terus menimba ilmu.

Encik Syahmi yang kini berusia 23 tahun terus membawa semangat itu sebagai mahasiswa tahun kedua Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS), demi memperdalamkan pengetahuannya dalam bahasa dan budaya Melayu.

“Saya percaya masyarakat Melayu merupakan antara masyarakat yang paling kurang dikaji. Masih banyak perkara mengenai masyarakat Melayu yang boleh kita ketahui, lebih daripada apa yang diajar di sekolah.

“Jadi, saya rasa masih terdapat banyak jurang dalam bidang ini yang mungkin boleh saya bantu isi, supaya saya sendiri dan orang lain dapat memahami masyarakat Melayu dengan lebih mendalam,” katanya.

Keazaman Encik Syahmi untuk terus menimba ilmu mendapat pengiktirafan apabila beliau dipilih sebagai antara empat penerima sulung Dermasiswa Pendidikan BH-AMP Singapura pada 9 Oktober.

Dermasiswa itu bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah turut menawarkan peluang bimbingan mentor, latihan amali dan lawatan pembelajaran.

Selain Encik Syahmi, tiga lagi penerima ialah mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Ahmad Musoddaq Ahmad Mazhar, yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) dalam bidang Komunikasi dan Media Baru; pelajar Diploma Pengurusan Komunikasi Media di Politeknik Nanyang (NYP), Cik Haifa Norhaizal; serta penuntut Diploma Pendidikan (Bahasa Melayu) di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Siti Nur Syahirah Yusman.

Dermasiswa itu disampaikan oleh tetamu terhormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad dalam majlis itu.

Di bawah dermasiswa itu, pelajar politeknik menerima $1,500 manakala mahasiswa universiti menerima $2,500.

Di luar bilik kuliah, Encik Syahmi turut menyertai Persatuan Bahasa Melayu NUS (PBMUKS) dan Persatuan Kesedaran Islam bagi membina hubungan dengan rakan sebaya yang berkongsi latar budaya serta nilai yang sama.

Beliau juga bekerja sambilan pada hujung minggu dengan mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kepada murid sekolah rendah.

Semangat itu turut dipupuk oleh kedua-dua ibu bapanya, yang banyak berkorban bagi memastikan beliau mendapat pendidikan yang sewajarnya, kata Encik Syahmi.

“Masih banyak perkara yang ingin saya terokai, termasuk menghadiri bengkel dan membaca lebih banyak buku, bagi mengenal pasti bidang yang benar-benar ingin saya ceburi.Namun, semua ini memerlukan wang, lebih-lebih lagi apabila harga buku dan kos menghadiri bengkel semakin meningkat.

“Justeru, dermasiswa ini dapat meringankan beban kewangan saya dan memberi lebih banyak ruang untuk meneroka minat serta menentukan hala tuju masa depan,” katanya.