Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dermasiswa HGEF bantu anak pesalah ringankan beban kewangan ibu

Jan 3, 2026 | 9:17 PM
Adik-beradik Encik Iq (kiri) dan Andi (bukan nama sebenar) merupakan antara penerima dermasiswa Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) semasa acara Health Knits yang dianjurkan oleh Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) di Wisma Mendaki, yang terletak di Kee Sun Avenue, pada 3 Januari.
Adik-beradik Encik Iq (kiri) dan Andi (bukan nama sebenar) merupakan antara penerima dermasiswa Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) semasa acara Health Knits yang dianjurkan oleh Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) di Wisma Mendaki, yang terletak di Kee Sun Avenue, pada 3 Januari. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Sepanjang mereka membesar, adik-beradik Encik Iq dan Andi (bukan nama sebenar), terpaksa untuk hidup berdikari, sambil bergantung kepada ibu mereka yang menjadi satu-satunya pencari nafkah keluarga mereka.

Ibu bapa mereka bercerai lebih sedekad lalu, manakala bapa mereka telah keluar masuk penjara sebanyak tiga kali atas kesalahan berkaitan dadah, dengan yang terkini pada 2022.

Perhimpunan keluarga kadangkala terasa janggal, terutamanya apabila perbualan menyentuh tentang bapa mereka.

“Sejak ibu bapa kami bercerai, perhimpunan keluarga di sebelah pihak bapa sering terasa janggal. Kami bertiga hadir tanpa ibu bapa bersama, dan apabila melihat keluarga lain yang lengkap, perasaan itu sukar untuk dielakkan.

“Setiap kali topik keluarga dibangkitkan, saya lebih bercakap tentang ibu saya. Bukan kerana saya tidak selesa, tetapi saya biasanya akan mengalihkan perbualan daripada bercakap tentang bapa saya,” ujar Encik Iq, 21 tahun.

Encik Iq merupakan seorang pelajar Politeknik Temasek, sementara Andi, 18 tahun, seorang pelajar Maktab Rendah Kebangsaan (NJC).

Beliau, adik perempuannya, dan Andi adalah antara penerima dermasiswa Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF), dengan Encik Iq menerima $1,800 manakala Andi menerima $300.

Ini setelah HGEF meningkatkan sokongan dermasiswanya bagi meringankan beban kewangan golongan kanak-kanak dan keluarga yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah, yang terjejas akibat peningkatan kos sara hidup.

Berkongsi kepada Berita Minggu (BM) semasa acara Health Knits anjuran HGEF di Wisma Mendaki, yang terletak di Kee Sun Avenue, pada 3 Januari, Andi berkata dermasiswa tersebut telah membantu meringankan kebimbangannya terhadap perbelanjaan berkaitan sekolah.

Turut hadir di acara tersebut adalah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber; dan Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun.

“Ia benar-benar meringankan kebimbangan saya. Saya tidak lagi perlu risau tentang yuran sekolah yang belum dibayar atau sama ada wang cukup untuk bulan tertentu.

“Ia membolehkan saya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap akademik dan aktiviti sekolah yang lain,” katanya.

Bagi Encik Iq, peningkatan sokongan dermasiswa HGEF itu akan membantu meringankan beban kewangan keluarganya, khususnya dalam membayar yuran politeknik dan menyokong keperluan harian.

“Ia membantu untuk membayar yuran politeknik saya... dan juga untuk elaun bulanan saya.

“Pada masa ini, ibu kadangkala memberi saya wang dan dengan peningkatan $300 ini, beliau dapat membelanjakan lebih untuk dirinya sendiri sambil tetap menyokong saya dan adik-beradik saya.

“Ibu saya tidak perlu risau sama ada wang mencukupi atau tidak kerana kini kami mempunyai sedikit lebihan,” katanya.

Pelajar sekolah rendah kini akan menerima $200, meningkat daripada $150, manakala pelajar sekolah menengah, maktab rendah, dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pula akan menerima $300, meningkat daripada $250.

Sementara itu, pelajar politeknik akan menerima $1,800, naik daripada $1500, manakala mahasiswa universiti menerima $2,500.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg