Duta Santunan Emas jadi ‘suara’ warga senja untuk menua aktif
Duta Santunan Emas jadi ‘suara’ warga senja untuk menua aktif
Duta program Santunan Emas menjadi teladan kepada masyarakat dalam menzahirkan keseimbangan antara amalan keagamaan dan penuaan aktif.
Mereka berperanan sebagai peneraju dalam memastikan warga emas dapat menua dengan sejahtera dalam masyarakat, termasuk di masjid.
Ini di samping memperkukuh pemahaman mengenai proses penuaan serta bagaimana Islam menyokong penuaan melalui ilmu dan amalan.
Secara tidak langsung, masyarakat dapat berhimpun untuk sama-sama menyokong warga emas untuk memberikan mereka sokongan yang sewajarnya.
Hal itu dikongsi Konsultan Kanan dalam Geriatrik dan Perubatan Paliatif di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), Dr Norhisham Main, kepada Berita Harian (BH) selepas acara jerayawara atau roadshow Santunan Emas di Masjid Darul Ghufran pada 31 Januari.
Beliau, yang juga merupakan antara duta bagi program tersebut, menjelaskan peranan duta tidak hanya menjangkau setakat membantu warga emas.
Mereka turut membawa ‘suara’ warga emas yang tidak didengari, yang memerlukan sokongan masyarakat.
“Duta berperanan sebagai teladan kepada masyarakat tentang bagaimana amalan keagamaan Islam dapat diseimbangkan dengan gaya hidup penuaan yang aktif.
“Mereka menerajui usaha untuk membolehkan orang lain menua dengan sejahtera dalam masyarakat, termasuk di masjid,” katanya.
Program Santunan Emas anjuran Masjid Al-Muttaqin bersama Ma:een dan Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah, ialah program yang disesuaikan untuk warga emas.
Ia bertujuan memberikan pengisian rohani di samping menyokong aspek jasmani, kognitif dan sosial bagi generasi tersebut.
Antara program yang dilaksanakan ialah kuliah mingguan yang disampaikan oleh mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamad Fatris Bakaram; forum agama bagi warga emas; kelas menjahit; dan senaman.
Antara peranan duta program tersebut ialah untuk melakar program agar ia bersesuaian bagi golongan itu.
Selain Dr Noorhisham, duta program ini turut terdiri daripada kakitangan Masjid Al-Muttaqin.
Bagi Dr Norhisham, beliau akan menyumbang kepakarannya mengenai aspek penjagaan paliatif dan warga emas di Singapura.
Sementara itu, beliau turut menggariskan peranan duta merupakan satu cara untuk menyumbang dan memberi kembali kepada masyarakat, serta memainkan peranan dalam menerapkan aspek Islam.
“Ia menghidupkan semula semangat gotong-royong dengan menghimpunkan masyarakat untuk bersama-sama menyokong warga emas, dan saling membantu agar dapat menua dengan sejahtera.
“Duta juga memperkukuh pemahaman mengenai proses penuaan serta bagaimana Islam menyokong penuaan melalui ilmu dan amalan,” tambahnya.
Seorang lagi duta yang juga merupakan Ketua Pendidikan di Masjid Al-Muttaqin, Cik Adriana Noor Rahman, pula berkata, masjid memainkan peranan penting dalam memastikan warga emas ini dapat menua dengan aktif.
Terutamanya bagi Masjid Al-Muttaqin, yang terletak di Ang Mo Kio, yang mempunyai demografik besar bagi warga emas.
Pada 2024, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pernah berkongsi bahawa beberapa kawasan kejiranan di Singapura termasuk Ang Mo Kio mempunyai lebih 21 peratus penduduk berusia 65 tahun dan ke atas.
Lantas, Cik Adriana akur kepentingan masjid dalam menyediakan wadah sokongan untuk golongan itu.
“Masjid memainkan peranan besar dari segi struktur sokongan, termasuk pendidikan sepanjang hayat serta sokongan fizikal, mental dan rohani.
“Ia dapat dilihat dalam program kami setelah warga emas menghadirinya, mereka kelihatan sangat positif kerana nantikan untuk bertemu warga emas lain,” ujar beliau.
Bagi duta yang juga merupakan Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat Masjid Al-Muttaqin, Ustaz Muhammad Khidir Haji Mohamed Ibrahim, program itu bukan sahaja dapat dimanfaatkan warga emas, malah penjaga (caregiver) juga.
Setakat ini, beliau berkongsi kuliah mingguan oleh Ustaz Dr Fatris turut dihadiri beberapa penjaga, manakala siaran langsung di Facebook mencatat antara 350 dengan 400 tontonan setiap minggu.
“Bagi penjaga, kebanyakan daripada mereka akan mengikuti program secara dalam talian (Facebook dan YouTube) dan tidak perlu hadir secara fizikal ke masjid.
“Dengan pendekatan ini, para penjaga tetap dapat meraih manfaat dalam menjaga individu di bawah jagaan mereka,” katanya.
Memandang ke hadapan, Ustaz Khidir berkata, program itu ingin meluaskan lagi perkhidmatan mereka dengan melancarkan Kit Jagaan Hospital (Hospital Care Kit) untuk memudahkan ibadah warga emas dan penjaga, di mana sahaja mereka berada.
Kit tersebut bakal dilancar pada suku keempat 2026.

