Kehadiran tokoh agama dalam SCIS pastikan syiar Islam tidak terjejas
Kehadiran tokoh agama dalam SCIS pastikan syiar Islam tidak terjejas
Setiap pendekatan yang diambil untuk memperkukuh ekosistem di Singapura memerlukan kehadiran pakar, ujar Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Ini termasuk dalam sistem kesihatan, pembangunan sosial, keluarga dan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Terutamanya bagi pembangunan SCIS, pakar merangkumi beberapa tokoh asatizah, antaranya, Mufti, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir, dan Mantan Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Pasuni Maulan, katanya.
Dr Faishal menjelaskan kehadiran mereka penting untuk memastikan syiar Islam tidak terjejas.
Kepakaran ini, menurutnya lagi, sekali gus akan membantu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat Melayu/Islam dan Singapura secara umumnya.
Berucap sebagai tetamu terhormat di jerayawara atau roadshow Santunan Emas di Masjid Darul Ghufran pada 31 Januari, Dr Faishal berkata:
“Kita harus mengambil peluang (manfaat) ekosistem ini, mereka yang mempunyai kepakaran untuk menolong kita untuk menabur bakti, dan mendatangkan kebaikan kepada masyarakat (Melayu/Islam) dan masyarakat Singapura.
“Ini termasuk dalam sistem kesihatan, pembangunan sosial, keluarga, pendidikan dan SCIS.”
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan mengenai kepentingan warga emas meraih manfaat daripada sistem kesihatan di sini, yang menurutnya adalah yang terbaik di dunia.
Dr Faishal menggesa masyarakat supaya memanfaatkan agensi kesihatan yang tersedia, agar mereka tidak terlepas daripada sokongan yang ada.
Ia tetap mengambil kira tokoh agama agar masyarakat tetap meraih manfaat serta memelihara syiar Islam.
Menukil program Santunan Emas sebagai contoh yang baik, beliau berkata ia mencerminkan sebuah ekosistem bersepadu yang menggabungkan kepakaran agensi kesihatan dan agama bagi membantu masyarakat.
Menurutnya, program anjuran Masjid Al-Muttaqin bersama Ma:een dan Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah itu, mengetengahkan mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamad Fatris Bakaram, serta asatizah lain sebagai pembimbing.
Selain program sedemikian, beberapa usaha lain turut mengamalkan pendekatan yang sama, seperti Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan SCIS.
Dari sudut keselamatan Singapura dan isu keganasan, terdapat cendekiawan agama yang menerajuinya, iaitu pengerusi bersama RRG, Ustaz Dr Mohamad Hasbi Hassan, yang sebelum ini pernah disertai Allahyarham Ustaz Ali Haji Mohamed, kata Dr Faishal.
Pada 27 Januari, Dr Faishal telah mengumumkan Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu SCIS di Simposium SCIS, dengan Ustaz Dr Nazirudin dan Ustaz Pasuni merupakan antara tokoh agama di badan tadbir urus itu.
Beliau berkata: “Daripada segi pendidikan, dan pembangunan SCIS pula, kita ada Mufti (Ustaz Dr Nazirudin) dan juga Ustaz Pasuni, yang akan menjaga apa yang kita mahu bangunkan, agar syiar Islam tidak terjejas.
“Hal ini sekali gus untuk memberi kebaikan pada masyarakat kita... di samping kita tidak kerugian dalam ekosistem kita,” katanya. – MUHD HAZMAN ABD AZIZ

