Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Awal Muharam peringatan kemajuan bermula dengan semangat ukhuwah utuh

Jun 26, 2025 | 8:29 PM
Singapura, Awal Muharam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), bersama anggota jemaah di Masjid An-Nur. Beliau telah menyertai majlis ‘Fi Rihabi Rahmah’ (Dalam Tautan Rahmah) untuk menyambut awal Muharam di masjid tersebut pada 26 Jun. - Foto FACEBOOK PROF MADYA MUHAMMAD FAISHAL IBRAHIM

Awal Muharam merupakan peringatan bagi umat Islam bahawa kemajuan bermula dengan muhasabah diri dan dibina atas keteguhan jiwa, hala tuju yang jelas, serta semangat ukhuwah yang utuh, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam hantaran Facebook beliau pada 26 Jun, Dr Faishal berkata sebagai permulaan tahun baru Hijrah 1447, awal Muharam juga menandakan pembukaan lembaran baru bagi memperingati, memperdalam penghayatan dan memperbaharui azam diri.

“Malam ini (26 Jun), umat Islam di Singapura menyambut awal Muharam, menandakan permulaan tahun baru Hijrah 1447. Ia membuka lembaran baru – satu detik suci untuk memperingati, memperdalam penghayatan dan memperbaharui azam diri.

“Ia mengingatkan kita bahawa kemajuan bermula dengan muhasabah dan dibina atas keteguhan jiwa, hala tuju yang jelas, serta semangat ukhuwah yang utuh,” kata Dr Faishal.

Beliau telah menyertai Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, Ustaz Pasuni Maulan serta jemaah di Masjid An-Nur di Admiralty Road pada 26 Jun bagi majlis Fi Rihabi Rahmah (Dalam Tautan Rahmah) untuk menyambut awal Muharam.

Semasa majlis tersebut, Ustaz Pasuni menyampaikan tazkirah mengenai Hijrah tentang mempertingkatkan diri dan mendekatkan diri pada Ilahi.

Dr Nazirudin pula mengetuai doa sempena sambutan tahun baru Hijrah.

“Dalam suasana dunia yang mencabar ini, marilah kita bersama-sama berdoa untuk keamanan dan kesejahteraan semua. Semoga sifat belas ihsan dan kebijaksanaan membimbing kita melalui masa yang penuh ketidaktentuan ini.

“Marilah kita melangkah dengan harapan baru, berusaha untuk maju sebagai insan yang berdaya tahan dan sebagai masyarakat yang bersatu padu berteraskan nilai dan aspirasi bersama,” tambah Dr Faishal dalam hantarannya di media sosial itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, masing-masing turut menyampaikan ucapan awal Muharam di media sosial kepada umat Islam Singapura.

Encik Wong berkata: “Dengan bulan Muharam bermula malam ini (26 Jun), ia menandakan bukan sahaja permulaan tahun baru Hijrah, bahkan juga masa suci untuk muhasabah dan pembaharuan.

“Semoga tahun baru Islam ini membawa ketenangan dan keberkatan buat semua umat Islam di Singapura.”

Encik Lee pula berkata Muharam merupakan peluang untuk mempertingkat diri ke arah yang lebih baik.

“Bagi umat Islam, ini adalah masa untuk menilai semula tahun yang baru berlalu dan menguatkan azam untuk pertingkatkan diri ke arah yang lebih baik bagi tahun-tahun mendatang.

“Semoga tahun Hijrah yang baru ini membawa kebahagiaan dan keberkatan kepada anda dan orang-orang yang disayangi,” kata Encik Lee.

“Malam ini (26 Jun), umat Islam di Singapura menyambut awal Muharam, menandakan permulaan tahun baru Hijrah 1447. Ia membuka lembaran baru – satu detik suci untuk memperingati, memperdalam penghayatan dan memperbaharui azam diri. Ia mengingatkan kita bahawa kemajuan bermula dengan muhasabah dan dibina atas keteguhan jiwa, hala tuju yang jelas, serta semangat ukhuwah yang utuh.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam hantaran Facebook.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg