Apa yang dilakukan Israel kepada Gaza adalah jenayah perang, ujar Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Berkongsi perasaannya mengenai situasi di Gaza, beliau menukil dan bersetuju dengan kenyataan yang dibuat mantan Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Olmert, mengenai tindak laku Israel.
“Mantan Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Olmert, sendiri telah berkata Israel melakukan jenayah perang di Gaza.
“Perit hati saya untuk mengatakan ini, memandangkan sumbangan Israel kepada Singapura pada tahun-tahun awal kita.
“Tetapi kita perlu berterus terang. Semakin ramai orang di seluruh dunia akan bersetuju dengan Encik Olmert termasuk diri saya,” katanya.
Beliau berkata demikian di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, ketika menghantar 44 jemaah haji Singapura berangkat ke Arab Saudi pada 31 Mei.
Pada 27 Mei, akhbar The Guardian menyiarkan rencana berupa pandangan Encik Ehud, yang dipetik daripada akhbar Israel, Haaretz.
Perdana Menteri ke-12 Israel (dari 2006 hingga 2009) itu, berkata Israel melakukan jenayah perang di Gaza tanpa sebab, dengan ribuan penduduk Palestin yang tidak bersalah dan ramai tentera Israel terkorban.
Dr Faishal turut mengulangi kenyataan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang berkata Israel mungkin melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Walaupun Singapura telah sentiasa menyatakan bahawa Israel mempunyai hak mempertahankan diri, Encik Wong berkata Israel “sudah keterlaluan dan tindakannya telah menyebabkan bencana kemanusiaan yang dahsyat.”
Sejak 2 Mac, Israel telah mengenakan sekatan hampir sepenuhnya terhadap bantuan kemanusiaan dan bekalan komersial ke Gaza selepas gencatan senjata selama dua bulan berakhir.
Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas menyatakan pada 29 Mei bahawa sekurang-kurangnya 3,986 orang telah terbunuh di wilayah itu sejak Israel menamatkan gencatan senjata pada 18 Mac, menjadikan jumlah keseluruhan korban perang kepada 54,249 orang, kebanyakannya orang awam.
Dr Faishal, yang juga sering berkongsi pandangannya tentang bencana kemanusiaan di Gaza di Facebook, berkata:
“Pada pendapat pemerintah Singapura, tindakan Israel berkemungkinan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Pemerintah Singapura telah menyertai banyak negara di seluruh dunia untuk mendesak gencatan senjata bagi melindungi nyawa orang awam, pembebasan para tebusan dan usaha menghulur bantuan kemanusiaan tanpa sekatan.”
Beliau juga bersyukur kerana terdapat pemimpin seperti mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, yang telah menyuarakan pandangan jujur mengenai krisis di Gaza.
Menurutnya, usahanya itu telah membantu semua rakyat Singapura untuk memikirkan tragedi tersebut “dengan belas kasihan dan rahmat.”
“Berdiam diri menjadikan kita bersubahat dalam pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menggalakkan keganasan serupa di tempat lain.
“Dunia kita menjadi lebih malang disebabkannya. Pertahankan nilai kemanusiaan,” tulisnya.
Dr Faishal yang meminta orang ramai mendoakan keselamatan mereka dan juga rakyat Palestin, berkata:
“Dalam kita perbanyakkan ibadah di bulan Zulhijjah yang mulia ini, mohon doakan keselamatan jemaah haji kita dan rakyat Palestin yang sedang menderita.
“Marilah kita juga bersyukur atas keamanan dan perpaduan yang telah kita nikmati di Singapura selama beberapa dekad.”
“
“Mantan Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Olmert, sendiri telah berkata Israel melakukan jenayah perang di Gaza. Perit hati saya untuk mengatakan ini memandangkan sumbangan Israel kepada Singapura pada tahun-tahun awal kita. Tetapi kita perlu berterus terang. Semakin ramai orang di seluruh dunia akan bersetuju dengan Encik Olmert termasuk diri saya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg