Faishal: Usaha kariah main peranan perkukuh keharmonian sosial

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Usaha kariah main peranan perkukuh keharmonian sosial

Daya usaha kumpulan kariah kian penting di tengah perkembangan konflik Timur Tengah
Mar 3, 2026 | 7:21 PM

Faishal: Usaha kariah main peranan perkukuh keharmonian sosial

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
kariah, faishal, iftar, majlis berbuka puasa, keharmonian sosial
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri) menghadiri majlis berbuka puasa bagi menghargai kumpulan kariah di auditorium Masjid Khalid pada 3 Mac. Bersama beliau ialah (dari kiri) pengerusi kumpulan kariah Qaryah 3, Ustaz Ustaz Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamed Sa’at A. Rahman; Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin; dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Usaha kumpulan kariah dalam menyediakan ruang solat sempena Ramadan mengeratkan hubungan antara jiran, memupuk rasa keterkaitan dalam masyarakat, serta mencerminkan sifat prihatin dan keikhlasan yang menjadi teras masyarakat Melayu/Islam.

Inisiatif seperti itu menjadi lebih penting dalam mengekalkan keharmonian dan kestabilan sosial di tengah-tengah perkembangan di Timur Tengah, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) bercakap demikian semasa majlis berbuka puasa bagi menghargai kumpulan kariah di auditorium Masjid Khalid pada 3 Mac.

“Ruang solat ini bukan sekadar untuk keselesaan; ia juga menjadi sumber ketenangan bagi mereka sepanjang Ramadan yang penuh berkat ini.

“Usaha anda menjadi inspirasi kepada generasi muda tentang kepentingan berkhidmat, mendorong mereka untuk meneruskan tanggungjawab dan memastikan kerja serta semangat (kumpulan) kariah terus berkembang pada tahun-tahun mendatang.”

Menurut beliau, masyarakat setempat tidak boleh mengendahkan perkembangan di luar negara seperti serangan di Timur Tengah yang memburukkan ketegangan di rantau yang sudahpun rapuh.

“Dalam landskap global yang kian tidak menentu, dengan pelbagai konflik dan ketegangan yang sedang berlaku, kita mesti terus berwaspada dan tidak terpengaruh dengan sentimen yang boleh memecahbelahkan masyarakat kita,” ujarnya.

Pada 28 Februari, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran yang kemudian memberikan tindak balas dengan menyerang negara Teluk Arab.

“Justeru, di saat-saat seperti ini, usaha masyarakat seperti yang dilakukan oleh anda semua menjadi lebih penting. Apabila masyarakat kekal bersatu, prihatin dan tabah, kita dapat mengekalkan keharmonian dan kestabilan yang amat dihargai oleh Singapura.

“Usaha-usaha ini mencerminkan nilai Ramadan iaitu kesyukuran, kemurahan hati dalam memberi, serta menjadi asas kepada keharmonian antara agama dengan perpaduan negara kita,” ujar beliau.

Selain kumpulan kariah, majlis berbuka puasa anjuran Masjid Khalid yang diadakan di Joo Chiat Road itu turut dihadiri beberapa pemimpin lain.

Ini termasuk Anggota Parlimen bagi GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamed Sa’at A. Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan pengurusan kanan Muis dan Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin.

Diadakan sejak 2023, majlis berbuka puasa itu merupakan inisiatif mantan pengerusi Masjid Khalid, Allahyarham Alla’udin Mohamed, untuk menghimpunkan pemimpin kariah dan menghargai sumbangan mereka dalam mengukuhkan perpaduan serta semangat sukarelawan dalam masyarakat.

Pada 2025, ia merupakan kali pertama majlis tersebut berlangsung tanpa kehadiran Allahyarham, namun legasi yang ditinggalkannya terus dihargai dan diteruskan.

Tentang peri pentingnya majlis berbuka puasa itu, Dr Ariffin berharap walaupun majlis itu dalam skala kecil, ia dapat menunjukkan kepada anggota kumpulan kariah bahawa sektor masjid serta pihak berkuasa sentiasa menyokong usaha mereka.

“Mereka tahu bahawa mereka boleh bergantung kepada masjid untuk menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada kumpulan kariah, dan sokongan ini mungkin dapat menangani beberapa kebimbangan yang dihadapi oleh anggota-anggota kumpulan tersebut,” ujar beliau.

Angka ini merupakan penambahan pada ruang solat di luar masjid berbanding tahun-tahun sudah dan peningkatan hampir 20 peratus berbanding 2025.

Usaha tersebut dalam melengkapkan kapasiti ruang solat yang disediakan oleh masjid turut disumbang oleh kumpulan kariah baru yang mula beroperasi tahun ini.

Antaranya ialah kumpulan kariah Qaryah 3, yang ditubuhkan pada Januari 2026 dan berpangkalan di Blok 555B, Pasir Ris Street 51.

Dewan serbaguna di blok tersebut dijadikan kariah yang boleh menampung lebih daripada 350 anggota jemaah, dan mengadakan sesi solat tarawih sejak 22 Februari.

Pengerusi kumpulan kariah tersebut, Ustaz Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed, yang menghadiri acara itu, berkongsi bahawa acara sebegitu menunjukkan penghargaan yang ikhlas daripada pihak kepimpinan agama dan politik terhadap sumbangan sukarelawan kariah.

“Kumpulan kariah dijalankan sukarelawan untuk penduduk, dan sukarelawan yang mengurus kariah mempunyai semangat untuk memastikan keperluan agama penduduk dipenuhi sepanjang Ramadan ini.

“Kehadiran majlis berbuka puasa melambangkan penghargaan dan isyarat yang baik daripada kepimpinan agama dan politik kita,” kongsi beliau, yang juga salah seorang anggota Lembaga Pengurusan Masjid (MMO) Masjid Al-Istighfar.

“Ruang solat ini bukan sekadar untuk keselesaan; ia juga menjadi sumber ketenangan bagi mereka sepanjang Ramadan yang penuh berkat ini. Usaha anda menjadi inspirasi kepada generasi muda tentang kepentingan berkhidmat, mendorong mereka untuk meneruskan tanggungjawab dan memastikan kerja serta semangat (kumpulan) kariah terus berkembang pada tahun-tahun mendatang.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg