Refleksi Ramadan: Perkukuh sokongan bagi masyarakat
Hidupkan semangat Ramadan sepanjang tahun; pastikan setiap keluarga yang berdepan tekanan terima sokongan diperlukan
Ramadan mempunyai cara tersendiri untuk menyedarkan kita tentang hal-hal yang sering terlepas pandang dalam kesibukan seharian.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, amalan paling menyentuh hati saya ialah kebaikan sederhana yang dilakukan berulang kali, dengan penuh prihatin dan tanpa mengharap balasan.
Kita melihat sukarelawan membawa pek kurma dan botol air, bukan kerana diminta, tetapi kerana tahu ada yang memerlukannya.
Seorang sukarelawan muda berkongsi bagaimana pasukan kariahnya bergilir menyediakan ruang solat selepas kerja: membentang permaidani, menyusun kipas, memastikan warga emas mendapat tempat duduk, dan memastikan tandas selamat serta mudah digunakan.
Katanya dengan ringkas, “Kalau kita tak buat, siapa lagi?”
Seorang ibu atau bapa yang bekerja memberitahu saya, “Prof, saya nak datang masjid… tapi saya jaga anak, jaga mak. Kadang-kadang rasa bersalah.”
Dalam ayat itu terserlah kasih sayang dan tekanan yang dipikul diam-diam oleh ramai keluarga.
Kita juga melihat jiran bertanya, “Awak datang bertarawih malam ini?”
Soalan ringkas itu menjadi penghubung antara individu dengan keluarga yang biasanya sibuk dengan hal masing-masing.
Perbualan ini mencerminkan hakikat Ramadan: masyarakat paling kuat apabila kita saling peduli, dengan sokongan yang dekat, berkesan dan bermaruah.
Bagi saya, Ramadan mengingatkan kembali nilai yang saya pegang sejak memikul amanah jawatan: berkhidmat dengan amanah, kesyukuran dan keikhlasan.
Amanah terserlah dalam cara kita menunaikan tanggungjawab untuk satu sama lain.
Jawatankuasa masjid yang merasakan tanggungjawab untuk menyambut setiap jemaah walaupun ruang terhad.
Sukarelawan yang meluangkan masa selepas kerja untuk membungkus dan menghantar keperluan asas, serta pada mereka yang tampil bertanya khabar jiran tanpa beranggapan orang lain akan melakukannya.
Syukur bukan sekadar perasaan. Ia dizahirkan melalui tindakan.
Kita mengiktiraf nikmat yang dikurniakan, lalu menyalurkannya bukan melalui tindakan besar yang mencuri perhatian, tetapi melalui amalan memberi yang berterusan.
Ikhlas mengingatkan kita bahawa banyak yang menguatkan masyarakat berlaku tanpa disedari, dilakukan semata-mata kerana ia benar dan wajar.
Ramadan menghidupkan nilai-nilai ini dengan jelas dan nyata.
Sebab itu Ramadan meneguhkan kembali asas dan pegangan saya.
Ia mengingatkan saya bahawa kemajuan tidak pernah digerakkan oleh satu institusi sahaja.
Ia dibina melalui kekuatan bersama masyarakat kita seperti masjid, kumpulan kariah atau masyarakat setempat masjid, badan Melayu/Islam dan India/Islam, serta kumpulan akar umbi yang tampil apabila melihat keperluan.
Selama bertahun-tahun, saya menyaksikan banyak organisasi ini berkembang dari segi keupayaan dan keyakinan.
Mereka lebih profesional dan lebih kreatif dalam penganjuran program.
Kekuatan mereka berbeza, namun tujuannya sama: menyokong keluarga, memperkasa belia, menjaga warga emas dan mengukuhkan kebersamaan.
Inilah sesuatu yang wajar kita hargai dan perkasakan.
Ramadan juga mengingatkan kita akan satu hakikat yang tidak boleh diabaikan.
Keperluan tidak berakhir dengan tibanya Hari Raya.
Keluarga hari ini berdepan pelbagai tekanan seperti kos sara hidup, ketidaktentuan pekerjaan, tanggungjawab penjagaan, keperluan pembelajaran anak serta beban emosi yang dipikul sepanjang tahun.
Belanjawan menyediakan sokongan yang penting.
Namun di sebalik langkah nasional, yang sering memastikan keluarga terus bertahan ialah adanya sokongan yang dipercayai dan rangkaian yang dekat serta mudah dihubungi.
Justeru, saya sering bertanya kepada diri sendiri: bagaimana kita dapat membawa semangat terbaik Ramadan sepanjang tahun agar setiap individu berpeluang menjadi diri yang terbaik pada setiap peringkat kehidupan?
Untuk itu, sokongan tidak boleh jauh atau rumit.
Ia mesti sampai awal, mudah diperoleh, dan berakar pada titik sentuhan yang dipercayai seperti masjid, pertubuhan Melayu/Islam serta rakan masyarakat.
Di sinilah pentingnya kerjasama.
Apabila rakan menyelaras dengan rapat, sokongan menjadi dekat dan bantuan dapat disalurkan dengan cepat serta awal.
Kita boleh menangani tekanan sebelum ia menjadi lebih besar.
Dalam minggu-minggu mendatang, termasuk semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS), saya akan berkongsi lanjut tentang usaha memperkukuh sokongan merentasi peringkat kehidupan dan memastikan kehidupan agama serta budaya terus subur, bersama rakan masyarakat agar semangat Ramadan berterusan sepanjang tahun.
Dalam Singapura yang berbilang kaum dan agama, kita boleh berpegang teguh pada nilai sendiri sambil berlapang dada; tegas pada prinsip dan tetap saling menghormati.
Perpaduan kita lahir daripada kefahaman tentang apa yang kita perjuangkan dan kesediaan untuk berdiri bersama.
Ini yang pertama daripada siri refleksi. Dalam penulisan akan datang, saya berharap dapat menyentuh isu penting kepada masyarakat, daripada keyakinan budaya dan warisan hingga laluan pendidikan serta urusan haji dan kehidupan beragama.
Saya berharap dapat terus berkongsi pemerhatian saya, mendengar maklum balas anda dan memperbaiki usaha kita bersama.
Bagi pihak saya, saya akan terus berpegang pada amanah, kesyukuran dan keikhlasan, serta bekerjasama dengan organisasi, rakan dan pemimpin masyarakat agar tiada sesiapa terpinggir.
Penulis ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
“
“Dalam minggu-minggu mendatang, termasuk semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS), saya akan berkongsi lanjut tentang usaha memperkukuh sokongan merentasi peringkat kehidupan dan memastikan kehidupan agama serta budaya terus subur, bersama rakan masyarakat agar semangat Ramadan berterusan sepanjang tahun. Dalam Singapura yang berbilang kaum dan agama, kita boleh berpegang teguh pada nilai sendiri sambil berlapang dada; tegas pada prinsip dan tetap saling menghormati. Perpaduan kita lahir daripada kefahaman tentang apa yang kita perjuangkan dan kesediaan untuk berdiri bersama.”
